Soalan: Saya pernah terbaca sekiranya Hari Raya (Aidilfitri/Aidiladha) jatuh pada hari Jumaat,jika kita telah mengerjakan solat raya maka tak wajib kita mengerjakan solat Jumaat. Memadai dgn solat Zuhur. Benar?

**********************

Itulah sedikit soalan yang dikemukan oleh seorang sahabat saya di facebook, maka disini saya akan menjawap persoalan tersebut menurut pandangan Syed Sabiq Rahimahullah ta`ala di dalam kitab beliau ; Feqhus Sunnah yang dijadikan panduan oleh segenap masyarakat tanpa mengira mana-mana mazhab. 

Bahkan , ianya menjadi kitab pilihan Al-Ustaz Hassan Al-Banna Rahimahullah dalam menghuraikan masalah-masalah hukum hakam islam. Cara penyampaian yang mudah dan sahih merupakan ciri terbaik kitab ini.

Syed Sabiq Rahimahullah berkata :

"Jika bergabung hari jumaat dan hari raya pada hari yang sama, maka jatuhlah hukum solat hari jumaat bagi orang yang telah mengerjakan solat hari raya (fitrah/adha).

Dari Zaid bin Arqam berkata :Nabi SAW telah bersolat hari raya, kemudian baginda memberi kemudahan pada kewajipan solat jumaat. ( barangsiapa yang mahu, maka bersolatlah (solat jumaat))"

Diriwayatkan oleh Imam yang lima ( Ahmad, Abu Daud, Nasaie,Turmizi dan Ibnu Majjah) dan di SAHIH kan oleh ibnu Khuzaimah dan Al-Hakim.

Dan ,

Dari Abi Hurairah RA , sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, barangsiapa yang hendak mendirikan solat jumaat (setelah solat hari raya), maka bersolatlah, dan kami (Rasulullah SAW) akan mendirikan solat jumaat.
Diriwayatkan oleh Abu Daud

Justeru, menjadi perkara sunat pada imam untuk mengimami solat jumaat bagi orang yang menghadiri solat hari raya, ataupun tidak menghadiri solat berkenaan berdasarkan dalil "dan kami (Rasulullah SAW) akan mendirikan solat jumaat".

Dalam mazhab hanbali, mereka berpendapat, orang yang tidak menghadiri solat hari raya wajib bagi mereka solat zohor menggantikan solat jumaat. Namun secara jelasnya, ia tidaklah wajib sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud daripada ibnu Zubeir , dia berkata :

Apabila dua hari raya berada didalam satu hari, maka digabungkan keduanya dan disolatkan pada dua rakaat yang paling awal (solat hari raya) bahkan tidak ditambah solat tersebut sehinggalah solat asar. "

Maklumat :
Kitab: Feqhus Sunnah
Jilid : pertama
Muka surat : 228 ,
Cetakkan : Darul Hadis,
Tahun : 2009.

Ulasan saya;

Setelah meneliti dalil dan hujah Syed Sabiq Rahimahullah , maka saya telah membuat satu ringkasan mudah untuk digunakan oleh para pembaca ;

1) Siapa yang tidak sempat solat hari raya, maka wajib baginya solat Jumaat
2) Siapa yang telah bersolat hari raya diberi pilihan baginya untuk memilih empat keadaan:
  1. Mazhab Abu Hanifah dan al-Malikiyah: Wajib solat Jumaat.
  2. Mazhab Ahmad bin Hanbal: Solat Jumaat hanya diringankan kepada orang yang ada keuzuran seperti sakit sahaja. Justeru itu, mereka hanya wajib untuk solat Zohor.
  3. Pendapat Imam Ahmad: Mencukupi dengan solat Hari Raya tanpa ada kewajipan solat Zohor atau Jumaat.
  4. Mazhab Asy-Syafii: Wajib solat Jumaat untuk orang setempat manakala orang yang rumahnya jauh daripada masjid, tidak diwajibkan. Tetapi tetap wajib solat Zohor.

(Rujuk: Mausu`ah Fiqhiyah: jilid 27, ms: 209)

Bagi mengelakkan daripada perselisihan, maka dicadangkan kepada umat Islam untuk bersolat hari raya dan Jumaat. Kaedah ini disebutk: "al-Khuruj minal Khilaf".

Tuntasnya, Islam agama yang mudah dan praktikal, ianya difahami dan diamalkan dengan penuh harmoni, jika muncul perbezaan pendapat, ianya menjadikan islam lebih praktikal dengan keadaan semasa. Oleh itu, sesiapa yang mendirikan solat jumaat tidak perlulah bertegang urat dengan orang yang tidak mendirikan solat jumaat tetapi telah mendirikan solat hari raya.

"Islam tidak diambil dengan emosi, tetapi ianya diguna pakai berdasarkan sumber wahyu"

waAllahu `alam.