ashabul ukhdudUsai kuliah subuh kitab As-Syariah sebentar tadi, saya berjalan pulang kerumah dengan membaca sebuah buku kecil yang bertajuk ; Qishah Ashabul Ukhdud (Tragedi Penghuni Jurang Berapi).

Sebenarnya, saya ingin menghabiskan bacaan sebuah kitab kecil lain bertajuk Al-Hasad , namun kitab tersebut tidak saya jumpai didalam beg yang sentiasa saya jinjing, mungkin saja tertinggal dirumah lantaran sibuk memindah-mindahkan buku kuliah dan talaqqi setiap hari.

Suasana bumi Dumyat hari ini amat tenang sekali, matahari bersinar dengan penuh gah dan menyelesakan, angin sedikit dingin merayap-rayap dikulit sawo matang ini, membuatkan bacaan saya menjadi semakin enak dan menyentuh.

Pada permulaan kitab, Syeikh Yasseir Burhami memberikan pendahaluan yang amat baik sekali, beliau berkata :

"Saya seringkali menulis kisah-kisah dakwah yang terdapat didalam Al-Quran dan As-Sunnah, dengan penulisan ini, semoga orang dapat mengetahui darinya peranan setiap pihak didalam peperangan antara kebenaran dan kebatilan, dan juga dapat mengetahui gerak kerja yang manakah sepatutnya didahulukan, antara amalan, dakwah dan kecenderungan yang kuat diantara kebaikan dan keburukan…"

Setelah itu, Syeikh Yasseir memberikan hadis yang lengkap berkenaan cerita ashabulu ukhdud, dari awal sehingga ke akhirnya.

Sungguh! apabila membaca hadis tersebut, hati ini menikam-nikam, jiwa ini goyang , perasaan pilu menguasai diri, air mata kagum juga turut mengalir.. seolah-olah , saya merasakan Rasulullah SAW sendiri sedang bercerita dihadapan saya…

"Dari Suhaib RA; sesungguhnya Rasulullah SAW berkata : Dahulu, ada seorang raja sebelum zaman kamu sekarang ini, dia mempunyai seorang tukang sihir, apabila tukang sihirnya telah menjangkau umur tua, beliau berkata kepada si raja : Sesungguhnya aku ini telah tua, bawakanlah kepadaku seorang kanak-kanak supaya aku dapat membimbingnya dalam ilmu penyihiran, maka raja pun memperkenankan permintaan tersebut dan membawa seorang kanak-kanak kepada tukang sihir untuk diasuh menjadi pewarisnya…………."

Saya tidak berniat untuk menghabiskan hadis itu, kerana mungkin kebanyakan kita telah mengetahui kisah tersebut, namun saya ingin mengajak para pembaca semua untuk sama-sama kita merenung dan meneliti, apakah makna tersirat dari permintaan tukang sihir.

Ya! Berkenaan permintaannya untuk mengajar seorang KANAK-KANAK . Mengapa perlu mengajar kanak-kanak? apakah hubungan antara kanak-kanak dan permusuhan dengan agamakanak-kanak

Musuh-musuh islam amat mementingkan kanak-kanak dalam melancarkan peperangan mereka dengan agama Islam, perancangan busuk itu bermula sejak dahulu lagi. Tukang sihir tersebut tidak meminta lelaki gagah atau pemuda yang berjiwa membara, namun dia meminta kanak-kanak yang tak mampu untuk menggangkat senapang gajah atau batu untuk menjadi peluru meriam sekalipun.

Demikianlah juga musuh-musuh islam kini, mereka sering menumpukan pendidikan pada peringkat kanak-kanak untuk dibentuk mengikut acuan yang mereka inginkan dan pastinya bentukkan yang mereka cipta dalam diri kanak-kanak tersebut adalah untuk menjadi penyebar kepada dakyah yang menyeleweng dari kebenaran.

Persoalannya, dimanakah tumpuan kita sebagai ummat islam terhadap kanak-kanak dalam memberikan pendidikan agama Allah SWT ? sesungguhnya, orang bukan islam bahkan musuh islam telah menggunakan peranan kanak-kanak untuk membantu perjuangan mereka, mereka bertukus lumus mengajar dan mendidik kearah kerosakan, kemungkaran, penyelewengan kebenaran, memalingkan kebaikan, merobohkan agama dan menyebarkan kekafiran dan kemunafikan.

Dimana orang islam dalam menanggung tanggungjawab ini? Bukankah kita selalu mendengar sabda Nabi SAW :

"Suruhlah anak-anak kamu bersolat setelah umur mereka tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekadar mengajar) jika mereka tidak bersolat setelah berumur sepuluh tahun."

-Hadis Hasan ; Riwayat Ahmad ( 6467 ) dan Abu Daud ( 418 )

Kita perlu memperkasakan fokus terhadap kanak-kanak dan melihat mereka dengan potensi yang besar dan cemerlang, kita perlu didik mereka untuk morebek dan mencantas pohon-pohon kebatilan dan menjaga mereka dari terjerumus kepadanya. Bahkan, kita juga perlu menanamkan pohon-pohon cintakan kebenaran di jantung hati mereka.

Kesimpulannya, kisah ashabul ukhudud memberitakan kepada kita tentang peranan kanak-kanak yang besar didalam setiap perjuang. Musuh-mush islam telah memahami perkara tersebut, sedangkan perkara itu seharusnya kitalah yang terawal memahami dan menguasainya..oleh itu, marilah sama-sama kita bukakan hati kita, lapangkan minda kita, dan perluaskan pemikiran kita, seupaya islam dapat tertegak ditangan kita.