Daripada Suhaib Radhiallahuanhu : Nabi SAW pernah bercerita :

"Pada zaman dahulu, terdapat seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir, apabila tukang sihir baginda telah tua, maka dia berkata kepada sang raja; "Patik ini telah tua, bawakanlah kepada patik seorang budak lelaki (remaja) untuk patik ajar ilmu sihir patik".. maka dibawakan kepadanya seorang budak lelaki untuk diajarkan ilmu sihir.

jurang

Terdapat seorang rahib (orang agama) yang tinggal diantara rumah budak lelaki itu dan tempat tukang sihir mengajar, budak itu duduk dan mendengar ceramah si rahib dan ianya berjaya menarik hatinya. Pertemuan itu berterusan setiap kali beliau menuju ke tempat tukang sihir, pastinya beliau akan berhenti mendengar ceramah si rahib. Apabila beliau terlewat menghadiri pengajian bersama tukang sihir, beliau akan dipukul. Lalu, beliau pun mengadu kepada si rahib, maka rahib pun berkata kepadanya : "Jika kamu takut dari dipukul oleh tukang sihir, maka kamu katakanlah padanya : aku dilambatkan oleh keluargaku, jika kamu khuatir dipukul pula oleh keluargamu kerana lambat pulang, katakanlah ; aku dilambatkan oleh tukang sihir"

Pembelajaran beliau berterusan sehinggalah berlaku satu peristiwa, seekor binatang buas telah menghalang perjalanan orang ramai disebatang jalan, berkatalah budak itu : "Hari ini, aku akan tahu ilmu siapakah yang lebih baik antara tukang sihir dan si rahib".. beliau pun mengambil sebiji batu dan berkata ;"Wahai tuhanku, sekiranya ajaran si rahib lebih engkau sukai berbanding ajaran tukang sihir, maka bunuhlah binatang buas ini supaya orang ramai boleh melalui jalan ini"

Beliau pun membaling batu itu dan terbunuhlah binatang buas tersebut ,lalu orang ramai pun dapat melintas jalan dengan baik.

Kemudian, beliau bertemu rahib dan dan memberitahunya kejadian yang telah berlaku, lalu rahib pun berkata padanya ;"Wahai anakku, hari ini kamu telah menjadi lebih baik dariku, peristiwa itu telah membuktikannya, ingatlah, apabila kamu diuji, janganlah kamu menceritakan tentang diriku"

Selepas peristiwa tersebut, budak itu dapat menyembuhkan penyakit buta sejak kecil, sopak dan berbagai-bagai penyakit lagi, kehebatan budak tersebut telah sampai ke pendengaran seorang pembesar raja yang mengalami penyakit buta. Lalu beliau pergi bertemu budak tersebut dengan membawa hadiah yang banyak sekali ,seraya berkata ; "Segala yang ada ini akan menjadi milikmu jika kamu berjaya mengubatiku" lantas dijawab oleh budak itu ; " Sesungguhnya aku tidak mampu mengubati siapa pun, sesungguhnya yang menyembuhkannya adalah Allah, sekiranya kamu beriman kepada Allah SWT dan memohon supaya Allah menyembuhkanmu, nescaya Dia akan menyembuhkanmu." Pembesar tersebut pun beriman dan Allah memakbulkan permintaannya lalu beliau sembuh dari penyakit yang menimpanya.

Setelah itu, pembesar tersebut duduk ditempat pembesar disisi raja seperti biasa, lalu ditanya oleh raja ; "Siapakah yang mengembalikan penglihatan kamu?" dia menjawab " Allahlah yang menyembuhkanku,Dia adalah tuhanku dan tuhanmu" lalu beliau ditangkap dan diseksa sehinggalah beliau terpaksa menceritakan perihal budak yang ditemuinya sebelum ini.

Raja bergegas bertemu budak tersebut dan bertitah : "Wahai budak! Kamu telah pandai menggunakan ilmu sihir sehingga berjaya menyembuhkan penyakit buta sejak kecil dan sopak.. dan kamu semakin menjadi-jadi!!" budak tersebut berkata : "Patik tidak mampu mengubati seorang pun, tetapi yang mengubatinya adalah Allah SWT".. lalu beliau ditangkap dan diseksa sehingga beliau terpaksa menceritakan tentang rahib yang ditemuinya saban hari.

Tanpa berlengah, raja bertemu dengan si rahib dan menitahkan ; "Kembalilah kepada agamamu (menyembah raja)!!" tetapi rahib yang beriman itu ingkar, raja pun mengarahkan pengawalnya untuk mengambil gergaji, lantas diletakkan dileher rahib dan digergaji sehingga terpisahlah badan dan kepalanya.

Kemudian raja beralih pula kepada pembesarnya dan berkata: "Kembalilah kepada agamamu!!" beliau juga enggan lalu diletakkan gergaji dilehernya dan digergaji sehingga terpisahlah kepala dan badan pembesar yang beriman itu.

Akhir sekali, raja datang pula kepada budak yang menjadi punca masalahnya, dan mengulangi perintahnya ; "Kembalilah kepada agamamu !" beliau juga enggan, lalu diserahkan kepada sekumpulan tentera diraja , dan raja bertitah ; " Pergilah kamu membawa budak ini ke sebuah bukit dan mendakilah kalian dibukit itu sehingga sampai kepuncaknya, jika dia mahu meninggalkan agamanya, lepaskan dia, jika dia masih enggan, maka campakkanlah dia!" mereka pun pergi membawanya dan mendaki bukit yang dimaksudkan, lalu budak itu berdoa: " Ya Allah, selamatkanlah aku dengan cara yang engkau sukai" lalu bergoncanglah bukit itu dan tentera-tentera diraja semua jatuh ke gaung.

Lantas budak itu kembali menghadap raja dan terkejutlah raja lalu bertanya; "apa sudah jadi dengan tentera-tenteraku yang mengiringimu?" budak itu berkata ; "Aku telah diselamatkan oleh Allah SWT" beliau ditangkap sekali lagi dan diserahkan kepada pasukan tentera diraja yang lain, lantas raja bertitah ; "Pergilah kalian dengan membawanya ke tengah-tengah lautan, jika dia mahu meninggalkan agamanya, lepaskanlah dia, jika dia masih enggan , campakkanlah dia kedalam lautan tersebut!" mereka pun menuruti perintah raja dan pergi bersama budak tersebut, apabila telah sampai, budak tersebut berdoa lagi " Ya Allah, selamatkanlah aku dengan cara yang engkau kehendaki" maka bergoleklah kapal yang mereka naiki dan tenggelamlah seluruh isi kapal, dan budak itu terselamat lagi dan kembali lagi kepada raja , lalu tercenganglah raja seraya berkata; " Apakah yang telah terjadi kepada tentera-tenteraku yang mengiringimu?" budak itu berkata ; "Allah telah menyelamatkanku"

Kemudian, budak tersebut berkata lagi kepada paduka raja ; "Sesungguhnya tuanku tidak akan dapat membunuh patik kecuali setelah tuanku mengikut arahan patik" raja bertanya; "apakah dia?" budak itu mula mengarah :"Kumpulkan orang ramai disuatu kawasan yang luas dan saliblah patik disebatang kayu, kemudian ambillah anak panah dari bekas panah milik patik , kemudian letakkan anak panah tesebut ditengah-tengah busur dan berserulah ; "Dengan nama Allah, Tuhan budak ini" kemudian panahlah patik.. jika tuanku lakukan seperti yang patik arahkan, pastinya tuanku akan dapat membunuh patik."

Raja pun mengumpulkan orang ramai disatu kawasan yang lapang dan menyalib budak itu disebatang kayu , kemudian baginda mengambil anak panah dari bekas panah budak tersebut , lalu meletakkannya ditengah-tengah busur dan berseru: "Dengan nama Allah, tuhan budak ini" kemudian baginda memanah dan tepat mengena kawasan antara mata dan telinga budak itu, lalu budak itu meletakkan tanggannya dikawasan panahan dan meninggal…

Berkatalah orang ramai yang melihat kejadian tersebut, " Kami beriman dengan tuhan budak ini, kami beriman dengan tuhan budak ini, kami beriman dengan tuhan budak ini, !"

Berkatalah seseorang kepada paduka raja: "Tidakkah tuanku melihat kejadian yang tuanku kuatiri selama ini telah berlaku didepan mata tuanku?, Allahlah yang merealisasikan kekuatiran tuanku, rakyat jelata telah beriman!" lantas baginda memerintahkan supaya digali sebuah jurang dan dinyalakan api didalamnya lalu bertitah kepada tenteranya : "Barangsiapa yang tidak mahu kembali dari agamanya, maka campaklah mereka kedalam jurang tersebut atau bentaklah mereka dengan berkata: terjunlah!"

fire

Lalu perintah tersebut dilaksanakan sehinggalah sampai giliran seorang wanita yang bersamanya seorang bayi, dia berhenti kerana takut terjun kedalam jurang api tersebut, lalu bayinya berbicara: " wahai ibuku, bersabarlah, sesungguhnya kamu berada dalam jalan kebenaran"

[ Hadis Riwayat Muslim dalam tajuk zuhud, bab ; kisah penghuni jurang berapi (ashabul ukhdud) ]