Didalam agama Islam, solat mempunyai kedudukan yang amat istimewa dan berbeza dari ibadah-ibadah yang lain, bahkan , solat merupakan amalan pertama yang akan dinilai oleh Allah SWT di akhirat kelak.solat

أول ما يحاسب به العبد يوم القيامة من عمله الصلاة فإن صلحت فقد أفلح و أنجح و إن نقصت فقد خاب و خسر

Rasulullah SAW bersabda : perkara pertama yang akan dinilai oleh Allah SWT di akhirat kelak adalah solat, oleh itu, jika seseorang hamba itu baik solatnya maka dia akan mendapat kejayaan dan sebaliknya pula jika dia tidak menyempurnakannya, dia akan mendapat kekecewaan dan kerugian.

[ Diriwayatkan oleh At-Tabrani]

Solat juga memainkan peranan penting dalam menyempurnakan pegangan akidah seseorang muslim, selagimana seseorang manusia itu tidak berpegang teguh pada kewajipan solat, maka beliau belum lagi berhak menerima gelaran "muslim" yang sebenarnya .

بني الإسلام على خمس شهادة ان لا اله الا الله وان محمدا رسول الله، واقام الصلاة، وايتاء الزكاة ، وصوم رمضان ،و حج البيت من استطاع إليه سبيلا

Nabi SAW pernah bersabda : Islam itu ditegakkan atas lima perkara ; mengucapkan penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruhnya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan ramadhan dan mengerjakan haji di baitullah bagi sesiapa yang mampu mengerjakannya.

[ Diriwayatkan oleh Bukhari (8) dan Muslim (16)]

Allah SWT telah berfirman didalam Al-Quran :

Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan Ibadah kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. dan yang demikian itulah agama yang benar.

[Al-Baiyyinah; 5]

Justeru, solat merupakan sebuah ibadah yang amat dititik beratkan oleh agama Islam sehinggakan ia menjadi pembeza antara seorang muslim dengan kafir. Oleh itu, kewajipan solat tidak pernah diragui oleh mana-mana pihak, bahkan, kewajipannya tidak akan terlucut dalam apa jua keadaan sekalipun kecuali ketika haid dan nifas.

Hukum muslim meninggalkan solat

Seorang muslim pastinya telah mengetahui kewajipan solat, kerana ia merupakan kewajipan yang jelas-jelas terzahir didalam peribadi muslim, bahkan , solat menjadi penyebab benteng kekuatan ukhuwah umat islam sentiasa baik dan terjaga. Namun, gejala meninggalkan solat yang semakin meruncing kini telah mengingatkan para ilmuan Islam supaya memberikan peringatan kepada semua orang islam akan akibat yang akan dikenakan kepada mereka yang meninggalkan kewajipan solat .

Para Ilmuan telah membahagikan orang yang meninggalkan solat ini kepada dua jenis utama ;

  1. Meninggalkan solat dan berkeyakinan bahawa solat itu tidak wajib
  2. Meninggalkan solat kerana malas dan segan namun masih meyakini kewajipan solat

Para ilmuan islam telah bersepakat bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan meyakini bahawa solat tidak wajib telah menjadi kufur dan telah terkeluar dari islam (murtad), ini adalah kerana, beliau telah mengingkari perkara utama dalam agama yang telah terdapat suruhan jelas melalui Al-Quran, Hadis dan Ijmak, orang sebegini akan dikenakan hukuman bunuh atasnya. Namun , mereka berselisih pendapat dalam jenis kedua.

Pendapat pertama ;

Mazhab Hanafi : orang tersebut tetap islam, tetapi telah tergolong dalam golongan Fasik, beliau perlu ditahan dan dipukul dengan pukulan yang kuat sehingga mengalirkan darah, beliau hanya akan dilepaskan apabila mula bertaubat dan kembali bersolat, jika beliau masih enggan dan terus berkeras ,beliau akan terus ditahan didalam penjara sehingga mati . Beliau tidak akan dijatuhkan hukum bunuh selagimana belum menyatakan bahawa solat itu tidak wajib.

Pandangan ini berhujjahkan hadis :

لا يحل دم امرئ مسلم إلا بإحدى ثلاث : الثيب الزاني ، والنفس بالنفس ، و التارك لدينه المفارق للجماعة

Nabi SAW bersabda : tidak halal darah orang islam kecuali mereka telah menjadi salah seorang dari tiga jenis manusia ; orang yang telah berkahwin berzina, membunuh manusia dengan sengaja, dan orang yang meninggalkan agama kerana memisahkan diri dari jemaah.

[ Hadis sahih disepakati oleh Bukhari dan Muslim]

Pendapat kedua :

Mazhab Maliki dan Syafiie : orang tersebut tetap Islam namun disuruh untuk bertaubat selama 3 hari sepertimana disuruh kepada orang yang telah murtad. Jika masih enggan bertaubat dan mendirikan solat, beliau akan dibunuh sebagai hukuman hudud, bukan hukuman kerana murtad.

Pandangan ini berhujjahkan Al-Quran dan Hadis :

Sesungguhnya, Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik terhadapnya dan boleh mengampunkan dosa selainnya jika Dia menghendaki demikian.

[An-Nisa` : 48]

إن أول ما يحاسب به العبد يوم القيامة : الصلاة المكتوبة ، فإن أتمها و إلا قيل : انظروا هل له من تطوع ، فإن كان له تطوع أكملت الفريضة من تطوعه ، ثم يفعل بسائر الأعمال المفروضة مثل ذلك

Sesunggunya, amalan pertama yang akan dinilai oleh Allah SWT diakhirat kelak adalah solat fardhu, jika dia menyempurnakannya , dia akan selamat, jika tidak, maka akan dikatakan kepada malaikat, cuba perhatikan pula pada amalan lain, adakah beliau melakukan amalan sunat, jika ada, sempurnakanlah solat fardhunya itu disebabkan amalan sunat yang dilakukannya, kemudian lakukan juga nilaian amalan fardhu yang lain seperti itu juga.

[ Diriwayatkan oleh yang berlima -khamsah]

Ayat Al-Quran dan hadis tersebut menunjukkan bahawa orang yang meninggalkan solat tidaklah kufur kerana kekufuran itu dinilai dari pegangan iktikad, iktikad orang yang malas bersolat ini masih betul, maka beliau masih tetap kekal didalam agama islam.

Pendapat ketiga :

Mazhab Hambali : orang tersebut telah Kufur dan dibunuh disebabkan kekufurannya.

Pendapat ini berhujahkan Al-Quran dan Hadis :

Apabila tamat bulan-bulan haram, maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat intipan. kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[At-Taubah : 5]

بين الرجل و بين الكفر : ترك الصلاة

Perbezaan antara lelaki muslim dan kafir adalah meninggalkan solat

[Diriwayatkan oleh majoriti ilmuan hadis kecuali Imam Bukhari dan Nasai`]

Penilaian pendapat

Pendapat kedua adalah pendapat yang lebih kuat kerana ianya diperteguhkan oleh banyak hujjah lain yang menyatakan bahawa orang muslim tidak akan kekal didalam api neraka.

يخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن شعيرة من خير ويخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن برة من خير ويخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن ذرة من خير

Akan terkeluar dari neraka , orang yang mengucapkan tiada tuhan selain Allah , walaupun didalam hatinya ada seberat timbangan seurat rambut dari kebaikan, dan terkeluar juga dari neraka , orang yang mengucapkan tiada tuhan selain Allah walaupun didalamnya ada seberat timbangan sebutir gandum dari kebaikan dan terkeluar juga dari neraka, orang yang mengucapkan tiada tuhan selain Allah , walaupun didalam hatinya ada seberat timbangan zarah dari kebaikan.

[Hadis Riwayat Imam Bukhori RH]

Bagaimana Hukuman dijalankan?

Islam bukanlah agama yang gemar menghukum sepertimana yang didakwa oleh banyak pihak, namun islam memberikan langkah-langkah yang cukup bertoleransi bagi memastikan keadilan disetiap hukuman.

  1. Dikenalpasti terlebih dahulu orang yang meninggalkan solat tersebut dari kategori mana.

Jika didapati orang tersebut tidak berada didalam dua jenis kategori yang telah dinyatakan kerana beliau sememangnya tidak tahu kewajipan solat lantaran tidak pernah didedahkan kewajibannya, maka dia perlu dijelaskan kewajiban tersebut terlebih dahulu.

    2. Disuruh untuk bertaubat dan menyegerakan solat, Jika masih engan bertaubat dan bersolat, barulah hukuman dijatuhkan.

Penggerak amal makruf nahi munkar tersebut adalah hakim/penguasa, atau wakilnya, jika mereka berdua tidak ada, maka seluruh umat islam dikawasan tersebut wajib menyuruh orang tersebut bertaubat, jika tidak.. mereka semua akan berdosa.

Hikmah dari ketegasan Islam

Solat merupakan perkara prinsip yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, oleh itu, Islam amat mementingkannya. Apabila melihat gejala meninggalkan solat disekeliling kita yang semakin meruncing kini, kita dapat mengesan kelemahan kesatuan dan perpaduan umat islam. Ummat islam tidak lagi menjadikan ibadah solat sebagai perkara prioriti didalam amali kehidupan mereka, bahkan, solat diabaikan, suruhan agama diperlecehkan.

Para Fuqaha` menyebutkan ;

Membunuh mereka yang tidak bersolat itu lebih baik dari membunuh 100 orang kafir kerana keburukannya lebih teruk.

[Feqh Manhaji- Bab Meninggalkan Solat]

Apabila solat dipermudah-mudahkan kewajibannya, ummat islam mendapat wabak penyakit tidak teguh dalam pendirian beragama, mudah terikut dengan globlalisasi dunia tanpa sekatan, bahkan, menjadikan islam hanya ada pada kad pengenalan mereka, sungguh menyedihkan apabila tanpa sedar, merekalah orang yang menjatuhkan maruah umat islam!.. emej islam tercalar kerana prinsip keislaman dicalari oleh mereka.. semoga kita tidak termasuk didalam golongan tersebut.

 

solat2

Kesimpulannya, sebagai muslim yang merasai tanggungjawab islam yang besar, kita seharusnya menjadikan solat sebagai perkara prinsip utama yang tidak akan kita remehkan sedikit pun, prinsip itu tidak hanya terhenti sekadar itu sahaja, namun ia berterusan dengan pemantauan kita kepada sanak saudara, sahabat dan insan terdekat yang kita damping, semoga islam dapat terus cemerlang, gemilang, dan terbilang ditangan kita.

Rujukan :

  • Dr Wahbah Az-Zuhaili , Feqh Islami wa Adillatuh, Damsyik, Maktabah Darul Fikr , 2008.
  • Dr Musthafa Al-Bugha-Dr Musthofa al-Khin,Ali Asy-Syarbaji, Feqh Manhaji, Damsyik, Maktabah Darul Qalam, 2008.
  • As-Said Sabiq, Feqhus Sunnah ,Kaherah , Maktabah Darul Hadis, 2009.
  • Imam Bukhari RH, Sahih Bukhari , Maktabah Darul Marefah, Beirut, 2009.
  • Imam Muslim RH, Sahih Muslim, Maktabah Ibnu Hizam, Kaherah , 2008.
  • http://www.al-eman.com