Islam telah meletakkan sebuah ikatan bagi lelaki yang mahu berpoligami iaitu, seorang lelaki tidak boleh mempunyai empat orang isteri (2, 3 dan 4), selagimana tidak menepati dua syarat yang ditetapkan, jika seorang lelaki mampu memenuhi kedua-dua syarat ini, maka diharuskan baginya berpoligami, jika tidak, maka berpadalah dengan seorang isteri sahaja kerana takut akan azab Allah Azza wa jalla, inilah kedua syarat-syarat itu :

  1. Mampu berlaku adil kepada setiap isteri
  2. Mampu memberi nafkah

Namun, dalam penulisan ini, hanya akan menjelaskan syarat pertama, iaitu “adil” kerana syarat ini sering disalah tafsirkan oleh ramai orang, samada lelaki, wanita, muslim mahupun non-muslim. aacaagym1zk9

TAK BOLEH ADIL, CUKUP SEORANG 

Allah SWT berfirman :

“jika kamu takut tidak mampu berlaku adil , maka cukup sahajalah seorang isteri”

An-Nisa` :3

Ayat suci diatas menunjukkan bahawa keadilan itu adalah syarat utama bagi mengharuskan poligami, jika seseorang lelaki takut tidak mampu berlaku adil sesama isterinya apabila beliau beristeri lebih dari seorang, maka dilarang keatasnya untuk berkahwin lebih dari seorang. Dan tidak disyaratkan baginya untuk mesti yakin tidak mampu berlaku adil, tapi cukuplah sekadar andaian sahaja. Jika andaiannya cenderung kepada - jika dia berkahwin lain , dia tidak mampu berlaku adil, maka haram baginya untuk berkahwin lain.

Apa yang dimaksudkan dengan Adil adalah ; sama rata diantara isteri didalam nafkah , pakaian, makanan, minuman , baik dalam pergaulan, dan keseluruhan perkara yang berkaitan kesamarataan diantara isteri-isteri dalam perkara kebendaan yang mampu dilakukan oleh seorang lelaki. Inilah keadilan yang dimaksudkan oleh syarak.

Adapula kesamarataan kepada semua isteri dari segi cinta , kecenderungan ,emosi dan perasaan maka tidaklah dituntut untuk menepatinya. Kerana ianya diluar kemampuan manusia. Ianya terkeluar dari kehendak manusia. Inilah keadilan yang dinyatakan oleh Allah SWT didalam ayat :

Dan kamu tidak akan sesekali dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu membiarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

An-Nisa`:129

Seorang suami pastinya menyayangi salah seorang isterinya melebihi dari yang lain, kerana hati itu bukanlah milik manusia.

Ayat 129 ini juga disalah gunakan oleh sesetengah manusia untuk memberi hujjah keatas pengharaman poligami. Sedangkan, ia tidak bermakna demikian. Syariat Allah bukanlah bahan lawak! Dalam ayat lain menyatakan kebolehan tetapi didalam ayat lain pula mengharamkannya! Sedangkan keadilan itu dituntut didalam ayat 3 dalam surah an-nisa`. –ianya menjelaskan kepada tidak dibolehkan poligami jika takut tidak boleh menepati sifat-sifat adil dalam pergaulan dan nafkah.

DUA JENIS KEADILAN

Manakala keadilan yang dinafikan Allah dalam ayat ;

“Dan kamu tidak akan sesekali dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya)”

iaitu adil dari segi cinta dan perasaan. Ini adalah perkara yang susah untuk dicapai. Dari sini mungkin untuk kita membahagikan keadilan itu kepada dua bahagian :

  • keadilan yang mampu ditepati
  • keadilan yang tidak mampu ditepati

Keadilan yang tidak mampu ditepati adalah kesamarataan dalam emosi dan perasaan.

Bagitu juga yang berlaku pada Rasulullah SAW, baginda adil kepada semua isterinya, dengan tidak melebihkan Sayyidah Aisyah RA sedikitpun, walaupu beliau merupakan isterinya yang lebih baginda cintai berbanding yang lain, bahkan, baginda akan tinggal bersama isterinya, kesemuanya dengan samarata. Baginda akan bergilir-gilir kepada semua isterinya tanpa mengira perasaan baginda . Ianya sepertimana yang digambarkan oleh Sayyidah Aisyah RA sendiri, :

Diriwayatkan oleh Al-Hakim dengan sanadnya, bahawasanya Sayyidah Aisyah RA berkata kepada Urwah bin Zubir : “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya Rasulullah tidak melebihkan salah seorang pun antara kami ketika tinggal bersama kami, baginda tidak kurang satu haripun kecuali baginda akan bergilir-gilir antara kami dan baginda akan mendatangi setiap isterinya tanpa perasaan (tanpa meluahkan perasaan lebih menyintai), sehinggalah baginda pergi kerumah orang yang lebih dicintainya pada masa gilirannya dan bermalam disitu”

Beginilah keadilan total yang ditonjolkan Rasulullah kepada isteri-isterinya dalam perkara zahir yang mampu dikawalnya dan dikuasainya, dan dalam masa yang sama , tidak ada seorang pun dari isterinya yang tidak mengetahui bahawa baginda lebih menyintai Sayyidah Aisyah RA.

KESIMPULAN

Beginilah keadilan yang sepatutnya difahami oleh seorang lelaki dan wanita muslim , samada mereka bersedia untuk berpoligami mahupun tidak. Islam mementingkan keadilan dalam seluruh kehidupan manusia. Oleh itu, janganlah sesekali kita salah sangka terhadap agama ini dengan menuduhnya dengan pelbagai tuduhan tanpa kita mengetahui maksud sebenar hokum syarak. Intaha.

Rujukan : Dr Muhammad Ahmad Ismail, Dr Majdi Muhammad Abdullah, تيسير الملك العلام في تفسير آي الأحكام , Kitab Tafsir Tahun Dua , Syukbah Syariah, Dumyat.