Header Ads

test

Entah Bila Waktunya

17 Januari 2011, tarikh yang bakal menjadi kenangan khususnya pelajar tahun 3 Universiti Iskandariah. Pagi yang sejuk, majoriti warga Iskandariah sedang sibuk mengulangkaji pelajaran kerana berada dalam fatrah peperiksaan. Saya yang tidak ketinggalan, sibuk dan khusyuk mengejar masa untuk menghabiskan bacaan bagi subjek Patologi yang hanya punya masa sehari untuk ulangkaji.

Panggilan telefon yang diterima sukar untuk dipercaya. Nurul Iman Ab Alim telah selamat menghadapYang Maha Kuasa. Lidah terkelu seketika, cuba meyakinkan diri bahawa ini adalah realiti. Ya, memang benar. Sahabat saya telah meninggal dunia. Air mata yang ditahan tanpa segan silu mengalir laju.

Iman harapan keluarga

Nurul Iman Ab Alim, tidak banyak memori yang boleh disingkap. Saya bukanlah sekelas dengan beliau, seusrah ataupun sebagainya. Cuma ziarah saya ke rumahnya yang selalu memberi peluang untuk mengusik beliau tanpa segan silu. Iyalah, orangnya pendiam, jadi saya cuba mencuri kesempatan untuk beramah mesra dengan gadis Kelantan ini.

Namun pastinya, seluruh warga tahun 3 Universiti Iskandariah merasa kehilangannya. Hospital Salamah sudah dibanjiri oleh rata-rata pelajar tahun 3 yang sudah mengetahui berita pemergiannya. Semua masih tercegat menunggu dihadapan hospital tersebut, untuk mengetahui apa yang akan berlaku berikutnya walaupun sedar buku Patologi belum siap disantap. Masing-masing masih terpukul dengan berita pemergian rakan seperjuangan yang sama-sama sedang berhempas pulas menghadapi medan peperiksaan akhir semester 5.

Usai peperiksaan Patologi, saya sudah berkira-kira untuk terus ke asrama untuk bersama-sama menunaikan solat jenazah buat Allahyarhamah Iman. Bangunan Mara yang selalunya hanya dipenuhi oleh pelajar tahun 1, petang itu penuh dengan seluruh warga Iskandariah. Masing-masing mahu memberikan penghormatan terakhir buat arwah sebelum dihantar untuk urusan pengkebumian di Kaherah. Terdengar esak tangis sahabat-sahabat perjuangan yang lain semasa menunggu van yang membawa jenazah bertolak. Sebuah bas disediakan oleh pihak PERUBATAN untuk sama-sama mengiringi jenazah keKaherah.

Sehari sebelum peperiksaan Patologi berlangsung, arwah menghadap Ilahi

Tanpa saya sedari, kaki turut sama melangkah masuk ke dalam bas, bersama-sama rakan yang lain walaupun menyedari kertasPharmacology yang bakal menyusul selang sehari. Rupa-rupanya didalam bas tersebut memang sudah ramai pelajar tahun 3 yang lain yang tidak mahu terlepas dari mengiringi jenazah. Saya tahu, ada yang daripadanya terus dari dewan peperiksaan, yang masih belum menjamah sebarang hidangan, yang tidak membawa apa-apa bersama mereka, hanya sehelai sepinggang. Kerana ukhwah yang telah terbina, semuanya diabaikan demi memberikan penghormatan terakhir buat arwah.

“Kenangan bersama Iman seolah-olah bagai mimpi”, ujar salah seorang rakan serumah Iman. Kejadian yang berlaku pagi Isnin itu berlalu dengan pantas. Dan pemergian Iman seolah-olah seperti tidak pernah berlaku. Beg plastik Fathallah yang baru sahaja dibeli oleh Iman masih disitu tempatnya. Meja belajar Iman masih tidak berubah dan buku Patologi arwah masih bertanda, tempat terakhir yang menjadi bacaannya sebelum beliau dijemput menghadap Ilahi.Kalendar milik arwah bertanda tarikh 17 Januari dengan highlighter. Menurut rakan sebiliknya, 17 Januari adalah hari lahir bapa beliau. Sebak hati saya. Seorang ayah kehilangan anaknya pada tarikh kelahiran beliau.

Pemanas air yang dikatakan mengeluarkan gas karbon monoksida

Saya menyusul ke tandas, tempat arwah ditemui jatuh. Pintu bilik air terkopak.

Pintu bilik air yang dikopak

Ya, ahli rumah beliau memecahkan pintu selepas arwah tidak menyahut setelah dipanggil berkali-kali.Pemanas air yang mengeluarkan gas karbon monoksida yang menjadi punca kematian. Tingkap yang sering kali dibiarkan sedikit terbuka, ditutup rapat semasa hari kejadian. Semuanya telah tersurat. Cukup membuat saya insaf, bila-bila masa Allah boleh menarik nyawa saya. Dan segala-galanya hanyalah penyebab. Memang sudah tertulis di azali yang usia Iman hanya setakat itu.

Kenangan-kenangan Iman dirumah itu pasti mencungkil memori-memori mereka bersama. Yang pasti ahli rumah beliau yang lain telah bersepakat untuk berpindah keluar. InsyaAllah selepas tamat peperiksaan. Saya akui, saya yang tidaklah begitu rapat dengan arwah ini pun amat merasai kehilangan beliau, apatah lagi ahli rumahnya. Menurut mereka, pagi itu Iman masak untuk sahur. Iman sempat memasak ayam masak kicap untuk sama-sama mereka bersahur. Siapa sangka itu adalah kali terakhir mereka makan bersama-sama. Iman pergi dalam keadaan berpuasa, dalam keadaan menuntut ilmu, dalam keadaan dia menjadi naqibah smart circle. Alhamdulillah, bertuah Iman.

Kita yang tinggal? Pemergian Iman bukanlah hanya untuk ditangisi. Pemergian Iman meninggalkan satu perjuangan yang mesti diteruskan, meninggalkan diri kita yang masih perlu diperbaiki. Seribu hikmah yang pastinya boleh disingkap andai mata hati kita masih tidak buta. Ajal yang kita tidak langsung dapat jangkakan, andai kita masih menunda-nunda taubat dan perubahan yang mahu dilakukan. Ayuhlah, jadikan ini satu iktibar. Doakan Iman tenang di sana. Kita disini yang perlu menimbang-nimbang balik amalan kita. Sejauh mana kita telah bersedia.

Penanda buku terakhir buat adik-adik SC beliau

Al-Fatihah.

Nukilan,

Sakinah Binti Ismail,

Pelajar tahun 3,

Universiti Iskandariah.

No comments

Powered by Blogger.