Sebagai seorang manusia, kita sering mengalami detik-detik masa suka dan duka. Ianya telah menjadi ranjau kehidupan seorang manusia. Demikianlah hikmah penciptaan perasaan. Apabila manusia menerima berita gembira, mereka melonjak keriangan. Apabila kesedihan menguasai suasana, jiwa yang runtun akan menumpahkan air mata yang bertakung.

Namun, perasaan yang dikongsikan bersama, pastinya lebih membawa keindahan. Muncul pepatah : berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, walaupun berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, perasaan yang dikongsi bersama akan melahirkan rasa saling menghargai antara satu sama lain.

Seorang rakan saya, Nurarina binti Mohd Shapii. Kini sedang terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Beliau menghidap penyakit barah tulang belakang. Beberapa hari yang lepas, beliau telah selesai menjalani satu pembedahan membuang tulang belakangnya… kini beliau lumpuh dari dada hingga ke kaki..

arina hadiah

Laporan Berita Harian ( klik )

Laporan Harian Metro ( Klik )

Laporan New Strait Time ( Klik )

Saya tidak memahami jiwa wanita yang dihimpit masalah. Tetapi, saya memahami penderitaan seorang sahabat yang kesakitan menahan penyakit yang mengganggunya lebih dari lima tahun.

BERSAMA ARINA

Waktu disekolah menengah dahulu, saya bukanlah teman rapat beliau. Bahkan, saya hanya mula mengenali beliau, pada Tingkatan Empat kerana kami di satu aliran, Aliran Sains Tulen. Ketika itu, sememangnya telah terkenal, Arina sering pengsan di kelas, wajah tidak bermaya dan bermacam-macam lagi. Sumpah, saya tidak banyak mengenali beliau ketika di sekolah dahulu..

ketika sihat

Setelah saya aktif menghubungi kawan- kawan lama di Facebook, barulah saya berjumpa semula dengan Arina. Kadangkala, saya berbual dengan beliau di chat box, adakalanya di YM.

Pernah satu hari, saya bertanya :

Budin: “ko pernah jumpa doctor?”

Arina: “aku dah g hospital pakar, tapi doctor kata xda pape”

Budin: “habis tue…., apa aku boleh buat?”

Arina: “aku nk mintk tlg ko n kwn2 len doakn aku cpt sembuh”

Subhanallah..bayangkan perasaan saya tika itu. Saya merasakan dirinya memerlukan sokongan dan dokongan yang kuat dari sahabat-sahabatnya.

BLOG SI COMEL BERKULIT PUTEH

Saya di Mesir. Saya tidak tahu, bagaimana untuk membantu. Tiba-tiba , terlintas untuk bertanya Arina :

Ko minat menulis x? aku boleh buat blog untuk ko

Dia membalas dengan cepat sekali, berminat!. Lalu saya Tanya, apa nama blog dia ingini? Lalu dia menjawab :

Apa yang ko fikirkan tentang aku.

Saya letakkan nama blog beliau : SI COMEL BERKULIT PUTEH.

arina blog

Banyak yang dikongsikannya di blog tersebut. Dia pernah menulis..

“Aku tak boleh nak berjalan jauh sangat sebab kalau duduk lama-lama dalam kereta pun buat aku sakit je. Aku ni dah la jenis manusia yang tak boleh duduk diam jadi bila terpaksa duduk diam2 macam ni ibarat satu cabaran dan penyeksaan jugak la kan..”

Saya lihat, beliau amat berminat menulis. Saya tanya bakal isteri saya, : dia ni, memang minat menulis ker? Lalu dia menjawab : erm..time sekolah dulu dia memang minat menulis.

DOAKU SENTIASA MENGIRINGIMU..

arina 2

Teringat 3 baris ayat Al-Quran :

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan dengan merasai kelaparan, dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:

إنا لله وإنا إليه راجعون،

"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

[Al-Baqarah ; 155-157]

Sebagai seorang sahabat, saya mendoakan agar Arina akan cepat sembuh dan terus bersabar dengan ujian Allah ini.

 

Semoga Terus Teguh!

 

arina

Orang ramai yang ingin menderma boleh memberi sumbangan melalui cek atau wang pos atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd dan alamatkan sumbangan anda ke Bahagian Kewangan/ Tabung Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.