Imam Muslim –rhm- berkata dalam kitab as-Sahih ( Sahih Muslim):

Daripada Abi Malik al-Asy`ari –ra- berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Bersuci -wudhuk -  itu sebahagian dari keimanan, zikir al-Hamdulillah pula memenuhi timbangan mizan, zikir subhanallah dan al-Hamdulillah akan memenuhkan langit dan bumi dengan pahala. Solat adalah cahaya, sedekah adalah hujah, sabar adalah cahaya yang menerangi, al-Quran adalah hujah yang membantu engkau atau hujah yang akan membinasakan engkau, Setiap jiwa manusia melakukan amal untuk menjual dirinya, maka ia  membebaskannya (dari siksa Allah) atau  menjerumuskannya (dalam siksa-Nya).

[Hadis riwayat Muslim;223, at-Turmizi;3528, an-Nasaii;2437, Ibn Majah;280, ad-Darimi;653]

clean water

MAKNA AT-THUHUR

Makna bersuci (الطهور ) dalam kontek ini difahami sebagai sebuah perbuatan .

At-Thoharah dalam bahasa Arab membawa maksud : Kebersihan dan perbuatan membuang kotaran.

Dari segi istilah Syarak pula, membawa maksud: Sifat hukmiah yang disabitkan kepada sesuatu yang dapat membolehkan solat. Oleh yang demikian, kebanyakkan kitab telah membincangkan perkara ini di dalam tajuk wudhuk, kerana bersuci yang dimaksudkan adalah wudhuk atau tayamum. – Wallahu alam.

{BERSUCI SEBAHAGIAN DARI IMAN}, MACAM MANA??

Ulama telah berselisih pendapat dalam makna kalimah hadis ini, ianya seperti berikut:

Pendapat Pertama: Maknanya adalah ganjaran pahala wudhuk itu berakhir sehingga separuh dari ganjaran pahala iman.

Pendapat Kedua: Maknanya adalah solat, seperti mana tafsir dalam ayat 143, surah al-Baqarah, bermaksud:

Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu .

Bersuci  adalah salah satu syarat sah solat, maka ianya menjadi seolah-olah sebahagian. Dan tidak semestinya, sebahagian itu membawa maksud setengah.

Imam Nawawi berkata: ini adalah pendapat yang lebih membawa maksud berbanding pendapat-pendapat lain.

Pendapat Ketiga: Maknanya adalah , iman itu membenarkan dengan hati, dan patuh dari segi zahir. Keduanya adalah sebahagian dari iman. Bersuci pula termasuk dalam solat, ianya adalah kepatuhan dari segi zahir

.clean

MENGAPA MEMILIH PERKATAAN BERSUCI , TIDAK KEBERSIHAN?

Sebahagian penterjemah menggunakan perkataan “Kebersihan adalah sebahagian dari keimanan”. Saya tidak menyalahkan pent jemahan demikian, kerana saya mengetahui , betapa lemah dan kerdilnya bahasa melayu kita berbanding bahasa Arab. Namun, penterjemahan yang demikian akan membawa sedikit kekeliruan dalam masyarakat.

confius

Masyarakat memahami kebersihan itu dari skop yang meluas. Kebersihan rumah, pejabat, sekolah dan sebagainya. Sedangkan, hadis yang sedang kita bincangkan ini membicarakan persoalan wudhuk dan yang berkaitan dengannya.

Masyarakat Melayu sering salah faham terhadap kebersihan; contohnya, jika seorang yang pakaiannya terkena cat, kotor disebabkan debu dan tanah… mereka tidak bersolat, kerana menganggap pakaian mereka tidak bersih, dan tidak sah solat dengan pakaian demikian.

Sedangkan, pakaian sedemikian boleh di buat solat. Melainkan, jika terdapat kotoran najis di pakaian mereka.

Walaupun begitu, Islam bukanlah menentang kebersihan UMUM . Bahkan, Islam merupakan agama yang amat kuat berkempen kepada kebersihan.

HADIS-HADIS TENTANG KEBERSIHAN

KEBERSIHAN TUBUH BADAN DAN PAKAIAN

Jabir bin Abdullah ra berkata: rasulullah telah dating kepada kami selaku seorang pelawat, lalu Baginda melihat seorang lelaki yang rambutnya serabut lalu baginda bersabda: Adakah sesuatu yang boleh mengelokkan rambutnya?, dan Baginda memandang pula lelaki lain yang kotor bajunya, lalu bersabda: Adakah sesuatu yang boleh membasuh bajunya?”

[Riwayat Abu Daud]

MALAYSIA/

KEBERSIHAN TEMPAT TINGGAL

Abdullah bin Maghfal berkata : Rasulullah telah bersabda: janganlah kamu membuang air kecil di tempat mandi, kerana ia membawa kepada  was-was.

[Riwayat Turmizi dan Abu Daud]

KEBERSIHAN JALAN

Dari Abu Hurairah: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: seorang lelaki telah berjalan di sebatang jalan, terdapat ranting yang menghalangi jalan, lelaki tersebut membuangnya, lalu Allah berterima kasih padanya dan mengampunkannya (dosa-dosa kecil).

[Riwayat imam Malik, Al-Muwatta`]

Demikianlah, sebahagian hadis berkenaan kebersihan. Banyak lagi hadis yang diriwayatkan oleh imam-imam terkemuka. Selaklah halaman-halaman hadis dan buku-buku agama, nescaya kita akan menemui hadis-hadis tersebut , InsyaAllah…

Wallahu Alam.

__________________

Rujukan : Ar-Ruh Wal Raihan Fi Ahadis Al-Ahkam, Dr As-Sayyid Ahmad Muhammad Sahlul, Pensyarah Hadis dan Ilmu-Ilmunya, Universiti Al-Azhar.