Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

[Hadis Bukhari (1) dan Muslim (1908)]

Hadis ini merupakan tonggak dalam menentukan penerimaan sesuatu amal perbuatan manusia. Sama ada kerja yang dilakukan mendapat pahala, mahupun dosa. Sekiranya, niat mereka baik maka baik pula amalannya. Sekiranya rosaknya niat maka telah rosaklah seluruh amal perbuatan.

solat

AMALAN DAN NIAT

Hubungan antara amalan dan niat ini, terbahagi kepada tiga keadaan:

Pertama: Melakukan amalan kerana takutkan Allah Taala, ini adalah ibadah seorang hamba.

Kedua: Melakukan amalan bagi mengharapkan syurga dan pahala, ini adalah ibadah ahli perniagaan.

Ketiga: Melakukan amalan kerana malu kepada Allah Taala, melakukan amalan bagi menunaikan hak ibadah, senantiasa bersyukur kerana merasa diri penuh kekurangan. Melakukan dalam keadaan jantung hatinya penuh ketakutan, kerana dia tidak tahu adakah amalannya diterima ataupun tertolak? Ini adalah ibadah seorang yang bebas.

IBADAH : TAKUT ATAU HARAPAN?

Ibnu Taimiah memberi definasi ibadah :

Ibadah adalah satu kata nama yang merangkumi keseluruhan perkara yang dicintai Allah dan yang diredhai-Nya, sama ada dari kata-kata mahupun amalan batin dan zahir.

Persoalan: Adakah ibadah dengan penyertaan rasa takut itu lebih baik, ataupun ibadah dengan penuh pengharapan itu lebih baik?

Imam al-Ghazali r.h.m. berkata:

(( Ibadah dengan harapan itu lebih baik, kerana rasa harapan mewarisi kecintaan, dan ketakutan pula mewarisi keputus asaan.))

Allah s.w.t. berfirman:

Dan orang beriman itu amat mencintai Allah..

[Al-Baqarah:165]

harapan

RIAK PENGHAPUS AMALAN

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, niat yang tulus ikhlas akan menggalahkan sifat sombong dan riak. Sifat yang sentiasa merisaukan diri jiwa yang beriman.

Riak itu ada dua jenis:

Pertama: Melakukan amalan kerana mengharapkan manusia.

Kedua: Melakukan amalan kerana mengharapkan manusia dan tuhan manusia (Allah).

Kedua-dua jenis riak ini, akan menghapuskan amalan seorang muslim.

Berhati-hatilah dengan hati kita, kerana sifat hati itu sentiasa berbolak balik. Niat yang ikhlas, boleh berubah menjadi sombong dan riak sekiranya tidak diurus dengan baik.

Allah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

[Al-Baqarah: 264]

SYARAT PENERIMAAN AMALAN

Niat yang baik, mestilah disertai dengan tiga perkara, supaya amalan yang dilakukan diterima oleh Allah Taala:

1-      Keimanan kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. (Iman)

2-      Ikhlas

3-      Amalan dibenarkan oleh Islam ( Mutabaah)

Amalan yang dibenarkan itu, tersangatlah umum. Makan, minum, berjalan, menutup lampu, bekerja, menyanyi, menjaga anak, menolong rakan, belajar dan sebagainya merupakan amalan yang diiktiraf oleh Islam. Ianya, seperti definasi ibadah yang disebutkan oleh Ibnu Taimiah sebelum ini.

amalan

Semoga amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah Taala.

Wallahu Alam.

____________

Rujukan :Hadis Pertama Syarah al-Arbain an-Nawawiah, Imam Nawawi r.h.m.

VIDEO SHARING :