Anjing bukanlah haiwan yang baru muncul setelah beberapa tahun ini. Tetapi, ia merupakan binatang yang telah wujud sejak berzaman lagi. Oleh itu, hukum berkaitan anjing ini telah terdapat pada zaman Nabi s.a.w. Bahkan, di tanah arab sendiri seperti Mesir dikelilingi oleh anjing liar yang banyak sekali.

Maka, Ulama telah bersepakat dengan wujudnya anjing pada zaman Nabi s.a.w. , namun mereka berbeza pendapat dalam hukumnya. Adakah ia Najis?

Pendapat Pertama

Mazhab Syafiah dan Hanabilah  berpendapat, anjing itu sendiri adalah najis.

Hujah mereka adalah hadis :

Abu Hurairah r.a. , beliau berkata: Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam bersabda:

“Untuk mensucikan bekas air  salah seorang diantara kalian jika dijilat anjing ialah dengan membasuhnya tujuh kali, dimulakan dengan tanah.”

Hadis Riwayat Muslim 649

Seperti mana yang telah disebutkan oleh Ibnu Qudamah dalam kitab masyhur beliau, Al-Mughni. Beliau menyebutkan:

( Dan semua bekas menjadi najis apabila dijilat oleh anjing, ataupun terkena najisnya atau selainnya. Ianya perlu dibasuh sebanyak tujuh kali, dan salah satunya adalah dengan tanah )

Imam Syamsuddin Muhammad bin Al-Khatib al-Syarbini, ketika menjelaskan kandungan kitab Minhaj at-Tholibin telah berkata:

Semua haiwan adalah bersih sepertimana yang telah diterangkan, kecuali haiwan yang dikecualikan oleh syarak, oleh itu penulis telah memberi peringatan dengan katanya : ( Anjing ) walaupun yang diajar, hadis Muslim (( Akan bersih bekas salah seorang dari kamu apabila ia dijilat anjing dengan dibasuh sebanyak tujuh kali dan didahului dengan tanah ))” .

Maka, mereka berpendapat bahawa anjing itu adalah najis secara keseluruhannya. Kerana ludah anjing itu adalah peluh mulutnya, yang sebahagian dari mulutnya, ianya bernajis, maka keseluruhan badannya juga bernajis kerana dikelilingi oleh peluh badan.

Pendapat Kedua

Telah berpendapat mazhab Hanafiah, bahawa anjing itu sendiri tidaklah bernajis. Tetapi bekas minum, dan basahan anjing adalah najis.

Mazhab Malikiah pula berpandangan: Diri anjing itu sendiri adalah bersih dengan pendapat mereka: Asal dalam segala sesuatu adalah bersih. Maka, semua yang hidup – samada anjing atau khinzir – adalah bersih, begitu juga peluhnya, darahnya, hingusnya, dan air liuhnya. Kecuali telur, atau hingus, atau air mata, atau air liuh yang keluar dari haiwan yang telah mati tanpa disembelih secara yang dibenarkan – ianya adalah najis. Haiwan yang mati adalah najis.

Mereka berhujahkan ayat Al-Quran, surah al-Maidah:

فكلوا مما أمسكن عليكم

Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu

[Al-Maidah: 4]

Maka binatang buruan yang ditangkap menggunakan anjing yang diajar tidak kotor, kerana kita tidak diseuruh untuk membersihkannya.

Hadis Ibnu Umar r.a. juga menguatkan hujah mereka:

Anjing sentiasa kencing, masuk dan keluar dalam masjid di zaman Rasulullah s.a.w. , akan tetapi sedikitpun ia tidak disirami

[Riwayat Bukhari :174]

Bahkan, pendapat kedua ini menjelaskan hadis yang disebutkan oleh pendapat pertama dengan mengatakan : hadis suruhan membersihkan bekas dengan tujuh kali basuhan yang disebutkan, tidaklah menunjukkan kenajisan anjing, tetapi ianya bertujuan penyataan ibadah (التعبد ), kerana jika ianya bermaksudkan najis, maka ia memadai dengan tidak dinyatakan tujuh kali. Maka, tujuh kali yang disebutkan adalah untuk tujuan penyataan ibadah.

Pendapat yang terpilih:

Pendapat yang kuat adalah pendapat kedua, bahawa anjing itu sendiri tidaklah bernajis. Tetapi bekas minumnya, dan basahan anjing seperti air liur, hingus dan tahinya adalah najis.

Boleh Menyentuh Najis?

Najis boleh disentuh, tetapi mestilah dibersihkan setelah itu.

Kajian Saintifik

Kajian saintifik membuktikan bahawa tanah mempunyai antiseptic. Apabila ia digaulkan bersama bakteria yang terdapat pada air liur dan basahan anjing, ia dapat membersihkan segera bakteria tersebut. Ianya hanya boleh dibersihkan dengan tanah sahaja!

Mengapa perlu tujuh kali?

Virus bakteria yang terdapat pada basahan anjing bersaiz amat kecil dan bersifat melekat dengan kuat. Oleh itu, basuhan sebanyak tujuh kali ,salah satunya dengan air tanah dapat membantu menghilangkan bakteria ini.

Ahli sains juga menyatakan, ramai orang mati disebabkan bakteria septic, jika ia tidak dibersihkan akan mengakibatkan kuman tersebut akan tersebar. Maka, suruhan Nabi s.a.w. untuk membersihkan bekas yang dijilat anjing amat releven.

Kajian saintifik juga menunjukkan bahawa apabila anjing yang diajar berburu menggigit suatu binatang buruan, ia akan mengeluarkan air liur yang berbeza dari air liur biasa. Dan air liur ini mengandungi enzim yang berbeza. Tidak memudaratkan.

Untuk lebih memahami permasalahan kajian saintifik ini, sila hubungi pakar sains yang berkaitan. Wallahu alam.

Rujukkan:

1- Dr Said Ahmad Muhammad Sahlul, Ar-Ruh wal-Raihan Fi Ahadis al-Ahkam, Darul Islamiah, Cetakan Pertama 2011.

2- Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, Mausuah Fiqhiah, Cetakan Kedua Kementerian 1983.

3- Syeikh Syamsuddin Muhammad bin Al-Khatib Al-Syarbini, Mughni Muhtaj, Darul Makrifah, Cetakan Pertama 1997.

4- Laman Saintifik : www.kaheel7.com