Aisyah Ummul Mukminin meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. pernah bercerita: 

" نِمْتُ، فَرَأَيْتُنِي فِي الْجَنَّةِ، فَسَمِعْتُ صَوْتَ قَارِئٍ يَقْرَأُ، فَقُلْتُ: مَنْ هَذَا؟ قَالُوا: هَذَا حَارِثَةُ بْنُ النُّعْمَانِ " فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كَذَاكَ الْبِرُّ، كَذَاكَ الْبِرُّ» وَكَانَ أَبَرَّ النَّاسِ بِأُمِّهِ

Aku telah memasuki syurga, lalu aku mendengar di dalamnya suatu suara yang sedang membaca (al-Quran). Aku bertanya, Siapakah orang ini? Lalu mereka berkata: Harithah bin Nu`man. Lantas Rasulullah s.a.w. berkata: Begitulah ganjaran kebaikan untuk kamu, begitulah ganjaran kebaikan untuk kamu!! [ Beliau merupakan seorang yang amat baik terhadap ibunya] 

(HR Ahmad di dalam Musnad Ahmad, bilangan: 25182, Sahih)

Mengenang hadis di atas, saya terasa amat terkilan dengan berita penderitaan dan kegelisahan hati ibu saya. Sekarang, penyakitnya telah diketahui.. dan ianya amat merisaukan seisi keluarga. 

mak

Namun, saya rasakan seolah sayalah anak beliau yang paling sedih sekali mendengar berita ini. Saya hanya mampu berdoa dan menuliskan artikel ini sahaja. Saya tidak mampu memberi bantuan yang lebih kepada Mak.

PERINGATAN ALLAH

Mungkin sejak mendengar berita penderitaan Mak beberapa hari lepas. Saya banyak termenung dan terkenang beberapa peringatan Allah di dalam Al-Quran. Ayat-ayat tersebut, seolah-olah bermain di minda saya..

Allah berfirman…

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (15)

- dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah juga. Sedangkan tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang engkau kurniakan kepadaKu dan kepada ibu bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan Jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan Sesungguhnya aku dari orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)".

أُولَئِكَ الَّذِينَ نَتَقَبَّلُ عَنْهُمْ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا وَنَتَجَاوَزُ عَنْ سَيِّئَاتِهِمْ فِي أَصْحَابِ الْجَنَّةِ وَعْدَ الصِّدْقِ الَّذِي كَانُوا يُوعَدُونَ (16)

- mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (Mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.

(Al-Ahqaf: 15-16)

Begitu juga dengan sepotong ayat yang sering dibaca ini:

وَوَصَّيْنَا الإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (oleh itu) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Luqman:14)

HAKIKAT MAK DAN AYAH

Saya kenal perangai abang, kakak dan adik-adik saya. Masing-masing amat peka dengan urusan Mak dan Ayah. Namun, selaku saudara yang tidak berada disisi anda, saya ingin sama-sama kita berkongsi beberapa perkara:

  Mak dan Ayah adalah anugerah yang tidak ternilai di muka bumi ini. Hanya merekalah satu-satunya di dunia ini, tiada dua mahupun selebihnya. Oleh itu, anugerah akan ditarik bila-bila masa sahaja oleh Allah s.w.t., maka jangan kita biarkan sia-sia peluang berbakti untuk mereka.


Mak dan Ayah dicipta untuk membahagiakan anak-anak, memberi mereka pakaian, makanan dan perlindungan. Tetapi sedarkah kita bahawa segala yang diberikan itu adalah berpunca dari perasaan semulajadi dalam jiwa manusia. Oleh itu, dalam situasi kita berkemampuan ini, mengapa kita tidak menyatakan perasaan semulajadi itu semula kepada mereka?

Ramai orang yang saya kenali, begitu menghargai ibubapa mereka setelah mereka pergi meninggalkan kita. Mereka berdoa dengan penuh harapan. Bahkan, ada yang melakukan majlis yasin kematian bagi menghadiahkan pahala kepada ibubapa mereka. Walaupun perkara itu tidak dibenarkan oleh agama. Oleh itu, adakah kita mahu mengikut jejak mereka? Menyesal di kemudian hari. Mengapa kita tidak membantu semampu kita sekarang ini?

dsda

APA YANG PATUT DILAKUKAN SAAT INI?

Saya sebenarnya tidak berhak memberi cadangan kerana saya tidak berada disisi mak dan ayah pada masa ini. Tetapi, saya mempunyai beberapa cadangan yang boleh kita lakukan.

1- Terus berdoa kepada Allah s.w.t. 

Hubungan dengan Allah pada masa ini perlulah kuat, dan mendoakan kesembuhan untuk Mak adalah yang terbaik pada masa ini kerana doa anak yang soleh itu akan diterima oleh Allah. Bahkan, kita perlu ingat, yang menyembuhkan penyakit Mak bukanlah doktor mahupun alatan perubatan moden, tetapi Mak akan sembuh dengan izin Allah s.w.t.

2- Terus membantu dari segi kewangan dan moral.

Walaupun ubat tidak menyembuhkan kerana Allah lah yang menyembuhkan. Tetapi ubat adalah “Penyebab” keizinan Allah. Oleh itu, berusaha mengubat penyakit Mak dengan pelbagai cara adalah diperlukan. Namun, ianya menagih perbelanjaan wang. Kadarnya tidak diketahui, namun pasti diperlukan. Maka, bantulah Mak dan Ayah dengan wang, sepertimana mereka membantu kita ketika membesarkan kita.

Bantuan moral juga diperlukan oleh Mak. Sewaktu saya menghubungi Mak tempoh hari, saya mendengar suara kerisauan teramat sangat. Dan kerisauan tersebut amat mencemaskan. Oleh itu, berilah kekuatan moral sepertimana yang dilakukan oleh Ayah, Kak Timah, Abg Pozie, Abg Mat, Abg Die, Abg Lim, Kak Ah, Abg In, Mat Patih, Abg Mat, Abg Kori, MatPah, Mat Cakit dan lain-lain. Mereka bersama Mak ketika Mak amat memerlukan anak-anaknya bersama beliau.

10

BERSABARLAH…

Abang-abang, kakak-kakak, dan adik-adik yang ku sayangi sekelian. 

Pada detik ini, kita berhadapan dengan pertembungan perasaan yang teramat sadis. Duka, sedih dan pilu memenuhi lubuk hati kita. Ibu yang kita kasihi sedang menderita. Sedangkan kita tidak merasai penderitaan tersebut. Entah sakitnya panjang, entah sakitnya pendek.. namun ianya KESAKITAN. 

Namun, marilah sama-sama kita bersabar dengan dugaan yang Allah berikan ini. Semoga, ujian ini menambahkan amalan kita, dan lebih mendekat diri kita dengan Allah s.w.t. Ingatlah pesanan Allah s.w.t.:

· وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمْوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ · الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ · أُوْلَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. - (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali." - Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta mendapat rahmatNya; dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk hidayahNya.

[Al-Baqarah: 155-157]
Wallahu Taala Alam.

mak