Lafaz Israiliyat menurut bahasa Arab adalah lafaz Jamak (Plural) , dan mufradnya (singular) adalah Israiliah. Ia adalah kisah dan peristiwa yang direkodkan dari sandaran bangsa Israil. Dan dihubungkan kepada bangsa Israil. Mereka adalah golongan Yahudi dari keturunan Nabi Ya`kob bin Ishak bin Ibrahim (Bapa 12 Kabilah).

Lafaz Israiliat, walaupun secara zahirnya membawa maksud cerita-cerita yang direkodkan secara asalnya dari sandaran bangsa Yahudi, para ulama Tafsir dan Hadith juga memberi maksud yang lebih meluas dan menyeluruh berbanding hanya kisah-kisah Yahudi. Dari Istilah mereka (ulama Tafsir dan Hadith), perkataan Israiliyat menunjukkan kepada setiap jalan (memahami) tafsir dan hadith dari lagenda-lagenda lama yang pada asalnya direkodkan dari sandaran bangsa Yahudi atau Kristien atau selainnya.israil

Sebahagian ulama Tafsir dan Hadith pula, ada yang memperluaskan lagi maknanya dengan menyatakan: apa sahaja (cerita) yang dimasukkan oleh musuh-musuh Islam dari kalangan Yahudi dan selainnya kedalam (pemahaman) Tafsir al-Quran dan Hadith. Ianya adalah berita yang tiada sumber asal dari sandaran kuno. Ia hanya ciptaan musuh-musuh Islam, mereka menciptanya dengan niat yang kotor, dan suara hati yang jahat. Lalu mereka masukkan kedalam (pamahaman) tafsir al-Quran dan Hadith bagi merosakkan akidah (pegangan) umat Islam,.

Mengelirukan

Dr Mohd Asri Zainal Abidin menyebut dalam buku beliau : (Mengemudi Bahtera Perubahan Minda) :

“Kebanyakan orang Barat jika mereka tidak jelas antara Israiliyyat dengan inti kandungan asal al-Quran, boleh menyebabkan mereka mengganggap Islam mengandungi ajaran-ajaran yang bercanggah dengan penemuan sains yang dibuktikan kebenarannya. Maka mereka akan memandang lekeh kepada Islam, lalu mernolak dan mempertikaikannya. Apa tidaknya, jika mereka mendengar Ustaz di Malaysia ini yang menyatakan umur dunia ialah 7000 tahun. Alangkah terperanjatnya mereka kerana para saintis yang mengkaji umur kehidupan di atas muka bumi menyatakan ia sudah mencapai jutaan tahun. Mereka akan tertanya: inikah Islam yang bersumberkan wahyu yang sebenar?!! Sedangkan mereka tidak tahu bahawa itu semua adalah riwayat Israiliyyat. Abu Syahbah menyatakan bahawa riwayat yang menyatakan Nabi melihat usia dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyat dan dusta, tidak kaitan dengan Islam. (Lihat: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-Sunnah, 1/14, Damsyik: dar al-Qalam)

Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi:

 “Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan”. Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum muslimin”. (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Nafas baru perlu diberikan kepada penafsiran al-Quran demi generasi baru. Nafas itu membawa kita kembali kepada wajah Islam yang asli dan tulen.

Penjelasan Hadith Nabi Tentang Israiliyat

Abu Hurairah bercerita:

Bahawa Ahli Kitab (Orang Yahudi) membaca at-Taurat dalam (bahasa) Ibrani dan mereka menafsirkannya ke dalam (bahasa) Arab kepada umat Islam. Lantas Rasulullah berkata: “Janganlah kamu membenarkan (tafsiran) Ahli Kitab dan jangan pula kamu menyatakan bahawa mereka berbohong. Dan {Katalah aku beriman dengan apa yang diturunkan kepada kami-al-Ankabut: 46}

Hadis di atas direkodkan oleh al-Bukhari dalam Kitab Tafsir (4485), Kitab Akhbar Ahad (7265), dan Kitab Tauhid (7542).

Syeikh Ibnu Uthaimin membahagikan cerita Israiliyyat kepada tiga bahagian:

1. Berita yang disahkan oleh Islam dan disahkan benar. Maka ia adalah benar.

Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa daripada Ibnu Mas’ud

“Telah datang seorang pendita Yahudi kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata:

“Wahai Muhammad, sesungguhnya kami dapati (dalam kitab kami) bahawa Allah meletakkan tujuh petala langit atas satu jari, tujuh petala bumi atas satu jari, segala pokok atas satu jari, air dan tanah atas satu jari dan seluruh makhluk atas satu jari lalu berkata, “Akulah raja.”

Mendengar itu, Nabi tergelak sehingga ternampak gusinya, membenarkan kata-kata pendita itu. Kemudian Baginda membaca (ayat 67 surah al-Zumar 39 yang bermaksud):

“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggamanNya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kananNya. Maha suci Tuhan dan maha tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan.”

[Direkodkan oleh al-Bukhari]

2. Berita yang ditolak oleh Islam dan disahkan bohong. Maka ia adalah Bathil.

Contohnya seperti yang direkodkan oleh al-Bukhari dari Jabir r.a. berkata:

Orang Yahudi mendakwa bahawa (lelaki) apabila menyetubuhi (isterinya) dari arah belakang (dan menyetubuhi bahagian hadapan), maka anak (yang bakal dilahirkan) akan menjadi juling.” Lantas turunlah ayat:

“Isteri-Isteri kamu adalah ladang-ladang kamu, oleh itu datangilah ladang kamu menurut cara yang kamu sukai-al-Baqarah: 223”

[Direkodkan oleh al-Bukhari]

3. Berita yang tidak diiktiraf dan tidak pula ditolak oleh Isla. Maka wajib tawaqquf (berdiam diri) padanya.

Sepertimana yang direkodkan oleh al-Bukhari . Abu Hurairah bercerita:

Bahawa Ahli Kitab (Orang Yahudi) membaca at-Taurat dalam (bahasa) Ibrani dan mereka menafsirkannya ke dalam (bahasa) Arab kepada umat Islam. Lantas Rasulullah berkata: “Janganlah kamu membenarkan (tafsiran) Ahli Kitab dan jangan pula kamu menyatakan bahawa mereka berbohong. Dan {Katalah aku beriman dengan apa yang diturunkan kepada kami-al-Ankabut: 46}

Kebanyakan kisah Israiliyat tidak mempunyai manfaat kepada agama dan contoh kisah-kisah tersebut ialah warna anjing ashabul kahfi, dan sebagainya.

Adapun bertanyakan Ahli Kitab terhadap perkara-perkara agama adalah diharamkan. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Jabir bin Abdullah, beliau berkata:

Rasulullah pernah berkata: Janganlah kamu bertanya kepada Ahli Kitab tentang suatu apa pun, mereka itu tidak akan memberi bimbingan kepadamu, dan sesat. Mereka itu sama ada membenarkan kebatilan, dan membohongi kebenaran. Seandainya Musa (a.s.) masih hidup diantara kami (ketika ini), tidak halal baginya melainkan dia akan mengikutiku.”

Rujukan:

(1)  Dr Muhammad Hussain adz-Dzahabi, al-Israiliyyat fit Tafsir wal Hadith, Maktabah Wahbah, Kaherah

(2)  Dr Mohd Asri ainal Abidin, Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd, 2008

(3)  Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Usul Fi Tafsir, Darul Ibnu Jauzi, 2008.