Khutbah Hajat adalah suatu sunnah yang telah diajarkan oleh Rasulullah kepada umatnya ketika memulakan setiap ucapan. Walaupun pada dasarnya, hadis yang menunjukkan ucapan ini bermula ketika menyampaikan hajat bertunang, tetapi ia umum kepada semua jenis hajat seperti memulakan forum, ucapan pidato, perasmian, tazkirah, pengajian, pengajaran, memberikan fatwa dan pendapat, dan sebagainya.

Ia bukanlah suatu ucapan yang wajib dibaca, tetapi ia telah menjadi kebiasaan para ulama, guru-guru, penulis buku ilmiah, dan umat Islam selainnya.

Semoga dengan penyebaran sunnah ini, akan menjadikan kita semua mendapat ganjaran pahala dari Allah Taala. Ia perlu dihafal, diamalkan dan disebarkan.

Bagaimana Melakukannya?

Abdullah berkata : Rasulullah telah mengajarkan kami tentang Khutbah Hajat :

(Bacaannya seperti berikut)

KHUTBAH HAJAT

Terjemahannya:

Segala puji-pujian bagi Allah, yang padaNya-lah kita meminta pertolongan, keampunan dan juga perlindungan dari kejahatan-kejahatan diri-diri kita. Siapa yang diberi hidayah oleh Allah, dia tidak akan sekali-kali akan sesat, dan siapa yang dikehendaki kesesatan oleh Allah, nescaya tidak akan mendapat hidayah petunjuk. Aku bersaksi bahawa tiada sembahan melainkan Allah, dan aku juga bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba-Nya dan utusan-Nya. Wahai orang-orang beriman :

Firman Allah:

{Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhatikan (mengawasi) kamu.}

[Surah An-Nisaa: 1]

Firman Allah:

{Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.}

[Surah Ali Imraan: 102]

Firman Allah:

{Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara).

[Surah Al-Ahzaab: 70]

Komentar Hadis :

Syeikh Al-Albani berkata hadis ini sahih, manakala Syeikh Syuib al-Arnauth pula berkata : Isnad hadis ini sahih mengikut syarat Imam Muslim.