Dihadapan kita terlihat ramai orang yang mahu membawa panji-panji slogan Islami, lalu mereka mewujudkan pelbagai pertubuhan dan gerakan. Namun, sangat menyedihkan pula, kebanyakkannya hanya mampu bertahan satu hari atau dua hari.

Bagi memastikan perjalanan suatu gerakan Islam itu lancar dan teratur, tiga rangka utama perlu diambil kira di dalam setiap gerakan Islam:

1.       Iman Yang Mendalam

2.       Perancangan Yang Rapi

3.       Jihad Yang Berterusan

Misi utama dakwah kita adalah menyeru manusia kembali kepada pegangan Islam yang tulin, oleh itu, keimanan dan keteguhan mestilah menjadi “Perancang Utama” bagi menyebarkan syariat Allah. Iman itu tidak boleh hanya berada diawang-awang percakapan sahaja, namun ia mestilah juga direalisasikan dalam amalan kehidupan seharian.

Ustaz Dahlan Mohd Zain pernah berkata:

Iman  yang mendalam bertugas melahirkan tenaga penggerak bagi individu-individu Muslim yang sebenarnya.  Dan sesekali tidak lahir amalan itu kecuali hasil dari desakan dan dorongan Iman.  Iman kepada rukun-rukun Iman, kepada Allah s.w.t dan rukun-rukun Iman yang  lain, barulah amalan-amalan itu benar-benar jitu dan bersih serta sepenuhnya Islamik dan diredhai Allah s.w.t.

Penyusunan yang rapi pula adalah jantung pergerakan, ia dinamakan sistematik. Setiap perancangan yang dibuat mestilah suatu perancangan untuk sebuah organisasi yang lebih besar, iaitu Islam. Kita mengajak ahli-ahli kita untuk komitmen dengan program tarbiah yang telah disusun. Perancangan itu berkitar pada 4 perkara berikut :

Fokus > Rancang  >  Laksana > Pantau

Manhaj

Fokus kita adalah tarbiah yang mencakupi 10 sifat keperibadian Muslim

1.       Akidah Yang Sejahtera

2.       Ibadah Yang Sahih

3.       Akhlak Yang Mantap

4.       Luas Pengetahuan

5.       Sihat Tubuh Badan

6.       Mampu Berdikari

7.       Mampu Berjuang Melawan Nafsu

8.       Bijak Mengurus Masa

9.       Tersusun Urusannya

10.   Bermanfaat Kepada Orang Lain

Jihad dalam erti kata bersungguh-sungguh memperjuangkan agama Allah mestilah menjadi ciri utama dalam dakwah yang kita kerjakan ini. Ia adalah perjuangan, bukan sekadar mengisi ruang-ruang kosong yang telah dikosongkan oleh orang lain.

Ketiga-tiga metode tersebut mestilah bergerak seiringan, jangan biarkan satupun yang terkebelakang. Ia adalah kekuatan kita yang berpaksikan kepada kebenaran.

Al-Imam Hasan al-Banna pernah berkata:

“Kekuatan tanpa kebenaran akan hancur dan begitu juga kebenaran tanpa kekuatan juga akan hancur.”

Firman Allah:

Ajaklah (manusia) ke jalan (agama) tuhanmu dengan hikmah (bijaksana)..

[Surah an-Nahl: 125]

____________________________________

Penulis: Syihabudin Ahmad MY

Posisi: Mas`ul Halaqah Malaysia