Kita Hanya Penyambung Warisan

Dakwah yang dibawakan Halaqah merupakan antara sambungan seruan dakwah yang pernah diulang-ulang oleh para pendakwah terdahulu disetiap zaman dan suasana. Para pendakwah dahulu menjadikan dakwah sebagai kepentingan utama,ia sentiasa diulang-ulang tanpa jemu dan penat, ia disemat dengan penuh kesungguhan dan keteguhan iman. Mereka terus mengajak hati-hati masyarakat untuk bersama berpadu atas jalan dakwah. Mereka yakin bahawa kejayaan akan berpihak kepada mereka, kerana panji-panji kebenaran ditangan mereka. Bahkan, seruan “Ayuh bersatu” “Ayuh berkasih sayang” dan “Ayuh berjuang” sentiasa dikobar-kobarkan.

Hari ini, Halaqah bangun atas semangat juang yang diwarisi dari mereka. Perjuangan atas keimanan yang membara, kematangan pemikiran yang tajam, dan kekemasan penyusunan barisan pejuang dan langkahnya.

1234

Hala Tuju

Hala tuju dakwah setiap umat islam sama ada secara individu, keluarga, masyarakat, organisasi, mahupun negara adalah ALLAH. Allah-lah tujuan perjalanan dakwah kita, ia adalah hala tuju yang termulia dan terbaik – selain dari itu hanyalah kecil belaka. Setiap kerja yang dilakukan adalah sebagai khidmat untuk Allah, kita melihat dengan kaca mata Allah, kita berfikir untuk meninggikan agama Allah, kita mencari redha Allah dalam setiap perbuatan kita. Kita yakin, bahawa setiap usaha yang kita lakukan di dunia ini – yang bermatlamatkan keredhaan Allah- adalah usaha-usaha yang sangat bermakna dan membahagiakan, walaupun ia sedikit, kecil mahupun tidak bernilai di mata manusia. Kita mendahulukan kepentingan Allah berbanding kepentingan-kepentingan kita, bahkan.. kita mencintai Allah dengan sepenuhnya, kita sayangkan sesuatu kerana Allah, dan kita bencikan sesuatu juga kerana Allah.

Firman Allah:

Dan orang yang beriman itu amat dahsyat cintanya kepada Allah..

[Al-Baqarah: 165]

Dakwah Adalah Slogan Kita

Menyeru manusia kembali kepada tuhannya-Allah- adalah tugas kita selaku hamba-Nya yang setia. Justeru, hati dan setiap pergerakan tubuh kita sentiasa melaungkan slogan : “Ayuh kembali kepada jalan hidup Islam”. Kerja kita adalah dakwah, pelajaran kita adalah dakwah, kesungguhan kita adalah dakwah, perkahwinan kita adalah dakwah, update facebook kita adalah dakwah, bahkan.. tidur kita juga adalah dakwah!

Firman Allah:

(Katakanlah wahai Muhammad) “Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan ta`at), sesungguhnya Aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.”

[Adz-Dzariyaat: 50]

Tugas Kita

Tiada lagi kerja yang lebih baik dari mengajak seluruh alam raya kepada mentaati perintah Allah, menuruti sistem hidup Islam, dan bahagia dengan perjuangan. Tugas ini bukanlah tugas yang terpecah-pecah atau separuh-separuh, ia bukan hanya pada sisi ibadah dan peribadi, bukan sekadar pandangan politik dan budaya, bukan juga hanya pada ekonomi dan teknonogi sahaja, bahkan ia merangkumi keseluruhan sistem kehidupan manusia. Ia tidak terhad pada mana-mana daerah atau tanah air, ia merangkumi setiap detik dan nafas. Apabila tugas ini dijalankan dengan baik, maka seluruh dunia akan menghirup kebahagiaan dan rahmat.

Ganjaran?

Apabila pendakwah itu sama seperti peniaga yang menjalankan satu perniagaan yang sangat menguntungkan. Mereka tidak menjual agama dengan kesesatan, namun mereka memperdagangkan agama keseluruh alam, dan upah dari kerja mulia tersebut akan diperolehi terus dari Allah, sama ada upah tersebut diberi di dunia berupa kebahagiaan dan kemustajaban doa, ataupun upah yang pasti di hari Akhirat kelak.

Para pendakwah akan menanti kurniaan syurga yang tidak mampu dibayangkan secara tepat oleh akal manusia yang cetek, di dalamnya ada bidadari dan bidadara yang bertugas melayan kehendak penghuninya, air-air sungai mengalir lembut, penghuninya dihiburkan dengan pelbagai keindahan.. ohhh... manisnya... namun, terlebih manis apabila Allah Taala mengurniakan keredhaanNya kepada para pekerja dakwah yang ikhlas berjuang untukNya.

____________________________

Penulis: Syihabudin Ahmad MY

Posisi : Mas`ul Halaqah