Baru-baru ini, saya telah menerima laporan dan aduan dari beberapa orang Naqib dan Naqibah usrah Halaqah Malaysia berkenaan kehadiran usrah yang sangat mengecewakan bagi mereka. Ada diantara usrah yang hanya dihadiri oleh seorang anak usrah sahaja, lalu si naqib merasa kecewa lantas usrah pada hari tersebut dibatalkan.

tarbiyah

Sahabat-sahabat Halaqah yang dirahmati Allah sekelian,

Proses tarbiah ini memfokuskan hati sebagai sasaran utamanya, sekiranya hati itu mampu dibawa untuk bersama-sama memahami hakikat sebenar agama Islam, serta kejahatan dunia jahiliah maka ia sudah menjadi satu program yang sangat berjaya. Namun, malangnya pula apabila program-program yang berjaya dilaksanakan, dan memperoleh kehadiran yang sangat membanggakan namun tiada satupun hati-hati yang mampu dibawa untuk mengenali Islam dan jahiliah, maka ia adalah program yang sia-sia.

Sahabat-sahabat,

Walaupun seorang yang hadir dalam usrah kita.. teruskanlah berusrah kerana ia adalah pilihan Allah Taala. Inilah yang dinamakan nikmat khususiah; nikmat kecenderungan hati kepada perkara kebaikan yang tidak diberikan Allah kepada kesemua umat manusia.

Sahabat, ingatlah bahawa pertemuan yang dirancang itu sebenarnya adalah takdir Allah yang sangat berharga..

Firman Allah :

(Maksudnya)

Dan (Allah-lah) yang menyatu padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan diantara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan diantara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

[Al-Anfaal: 63]

Penulis : Syihabudin Ahmad MY

Posisi : Mas`ul Halaqah