Kita hidup pada zaman abad ke-21. Kita hidup bersama manusia yang berotak dan bersikap abad ke-21. Lantaran itu, kaedah dakwah juga perlu berubah dari peninggalan lama kepada minda abad ke 21.

Di dalam ilmu fiqh, menjelaskan kepada kita tentang sebuah prinsip yang diguna pakai dalam fatwa , iaitu :

“Fatwa berubah dengan perubahan zaman, tempat, keadaan, dan adat.”

Apabila fiqh itu menerima perubahan, maka konsep dakwah lebih utama menerima perubahan tersebut. Dengan itu, setiap para pendakwah hendaklah berkomunikasi bersama masyarakat sesuai dengan zaman ini.

Allah Taala berfirman :

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ

Dan Kami tidak mengutuskan seseorang rasul melainkan dengan bahasa/lidah kaumnya, supaya dia dapat menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.

[Ibrahim : 4]

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menjelaskan ayat tersebut dengan katanya :

“Aku tidak hanya memahami ayat ini dengan kefahaman luaran sahaja, seperti kamu bercakap dengan bahasa inggeris, lalu berdakwah dengan bahasa inggeris, German dengan bahasa German, dan Rusia dengan bahasa Rusia, kemudian tamat. Tidak. Bahkan, (ia mencakupi juga) ucapan lidah orang yang bertaraf tinggi kepada dengan yang bertaraf tinggi, orang awam dengan lidah orang awam, orang kampung, dengan lidah orang kampung, orang bandar dengan lidah orang bandar..”[1]

Setiap kaum mempunyai bahasa mereka tersendiri, dan mereka merasa selesa dengan bahasa mereka. Dengan itu, menepikan urusan bahasa ini akan menjadikan para daie terpinggir dan sering di katakan kolot dan tidak bertamadun.

for_syria_freedom_by_sameer_kh-d3j7v16

Sebahagian graduan dari timur tengah, pulang ke tanah air dengan membawa iklim timur tengah yang tidak mesra masyarakat Malaysia. Oleh itu, kita dapat melihat sebahagian ustaz atau ustazah yang bercakap keras, tidak memahami suasana dan sebagainya.

Contohnya : Di tanah arab, mereka berkhutbah panjang dengan dalil dan syair arab yang sukar difahami majoriti masyarakat Malaysia, lalu syair ini dibawa pulang dan di dendangkan tanpa mengira masyarakat memahaminya atau tidak.

Ini adalah bentuk dakwah yang tidak menepati zaman. Sepatutnya, setiap orang hidup pada zamannya, dan berkomunikasi dengan manusia seiring apa yang mampu mereka fahami.

Zaman ini, teknologi semakin berkembang pesat, setiap orang tidak lagi buta IT, bahkan boleh dikatakan setiap rumah sudah memiliki kemudahan komunikasi seperti internet sendiri.

Jika tidak pun, pastinya ada dari kalangan anak-anak mereka yang melanggan perkhidmatan broadband.

Lalu, perhubungan antara manusia menjadi tidak terbatas, perkongsian ilmu dan perkara lalai bergerak seiringan. Sungguh! Dunia hanya di hujung jari!

Suasana ini tidak berlaku pada zaman Rasulullah saw, tidak juga pada zaman Khalifah yang empat. Tetapi berlaku pada zaman kita. Zaman abad ke 21.

Justeru, kaedah dan wasilah dakwah perlu mengalami perubahan sesuai dengan perubahan mendadak ini. Seandainya para daie lalai akan urusan penting ini, pastinya urusan dakwah akan terbantut, menjadi sangat lambat dan tidak mencapai maksudnya.

Agama ini, memerlukan para daie yang berminda semasa. Daie yang melihat Islam itu pada tunjang-tunjangnya, sandaran-sandarannya dengan jelas, kemudian melihat juga keadaan semasa yang berlaku, permasalahan-permasalah yang timbul. Lalu dia mengumpulkan kedua-duanya dalam perkara yang disebut “Yang asal & yang baru”, atau “Al-Asalah wal Muasirah”.

Kata-kata menarik dari ulamak tentang hal ini:

·         Allah merahmati siapa yang menjaga lidahnya, mengenali zamannya, dan membangunkan jalan dakwahnya (sesuai dengan zamannya).

·         Jangan membenci anak-anakmu yang tidak mengikut jejak langkahmu, kerana mereka diciptakan pada zaman (lain) yang bukan zaman kamu.



[1] Ad-Da`wah Ila Allah, m/s 20