Antara gaya hikmah yang di ajarkan Allah Taala adalah, berbicara dengan ‘lidah’ orang yang mendengar, supaya mereka dapat memahami apa yang daie bicarakan, lalu mendapat kesan dari komunikasi tersebut.

Firman Allah:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ

Dan Kami tidak mengutuskan seseorang rasul melainkan dengan bahasa/lidah kaumnya, supaya dia dapat menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.

[Ibrahim : 4]

Maksud ayat di atas bukanlah hanya bicara bahasa sahaja, seperti orang melayu berdakwah dengan bahasa melayu, orang cina dengan bahasa cina sahaja, tetapi ayat tersebut juga membawa maksud, dakwah kepada orang kaya menggunakan gaya orang kaya, dakwah kepada orang muda menggunakan gaya orang muda, begitu juga seterusnya.

Bahkan, di era Alaf 21 ini, para daie perlu bijak menggunakan komunikasi dakwah yang selaras dengan gaya abad ini.

Kebanyakkan orang pada zaman ini sudah rendah tahap penguasaan ilmunya, maka tidak sesuai berdakwah dengan menggunakan hujah ilmu yang terlalu banyak.

Penulis sering mengingatkan kepada rakan-rakan yang ingin mencuburi bidang penulisan artikel supaya lebih mesra pembaca. Bagaimana?

Pembaca melayu zaman ini, terlalu cepat bosan dengan penulisan yang panjang dan mempunyai terlalu banyak dalil dan hujah dari Al-Quran. Oleh itu, penulis nasihatkan supaya menghadkan satu artikel dengan satu hujah dari al-Quran atau hadis sahaja. Apa yang lebih penting bukanlah panjang artikel tersebut, tetapi yang lebih penting adalah fokus artikel itu berjaya ditangkap oleh pembaca.

Inilah generasi zaman ini. Ganerasi Twitter, Facebook, dan blog yang lebih berfikiran objektif berbanding subjektif. Mereka gemar mengemaskini status sesawang sosial setiap masa dan saat, namun sungguh sedikit membaca karya ilmiah.

shut_up_hd_widescreen_wallpapers_1920x1200