Sebahagian daie berkomunikasi dengan manusia tidak sesuai dengan zamannya. Mereka berbicara dengan orang yang hidup seperti bicara kepada orang mati, dia tidak merasai perjalanan dunia disekitarnya. Pengetahuannya adalah pengetahuan yang lama, alamnya semuanya masih dalam zaman yang lampau, permasalahan-permasalahan yang ditimbulkannya juga masih lagi permasalahan lama yang sudah diperbahaskan dan diselesaikan oleh ulamak lampau, dia menyandarkan sesuatu pada kurun ke lima belas (sebagai contoh) sedangkan dia berada dalam kurun ke dua puluh satu. Dia berada disuatu negeri tempat ia dilahirkan tetapi dia tidak menjadi penduduk negeri tersebut.

Kita dapat lihat dalam zaman ini, sebahagian para ustaz dan daie masih lagi berbicara tentang permasalahan “Al-Quran Makhluk atau Tidak?”, mereka sangat marah dengan Muktazillah yang menentang Imam Ahmad bin Hanbal dalam perkara tersebut, bahkan mereka melebel kelompok Muktazilah ini akan menerima azab yang sangat pedih sekali.

Namun, mereka ini tidak melihat dunia yang mereka berada skarang. Permasalahan itu sudah lama diselesaikan oleh para ulamak lampau, perbahasannya telah jelas dan terang, ianya telah selesai. Mengapa mahu membangkitkannya semula? Apa faedah yang didapati dari perkara tersebut?

Masalah kita pada zaman ini bukanlah pada orang yang mengatakan Al-Quran itu makhluk, tetapi masalah kita sekarang ini adalah pada orang yang mempertikaikan kebenaran Al-Quran, mempertikaikan bahawa ianya datang dari Allah Taala. Bahkan, dalam zaman ini, masalah kita lebih berat apabila sebahagian umat Islam hanya mahu menjadikan Al-Quran itu sebagai buku bacaan semata-mata, namun tidak mahu mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Inilah permasalahan abad ke dua puluh satu!

[www.win-7themes.blogspot.com] (17)