Soalan : Apakah dalil 'naqli' yang menghalang kritikan kepada sesuatu Jemaah dakwah?

Jawapan :

Dalil Naqli ialah apa yang terbit dari sumber wahyu; iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Sebelum menjawab terang soalan di atas, saya akan menjelaskan beberapa perkara penting dalam hal ini. Perkara ini mesti difahami sebelum seseorang membuat sebarang kesimpulan.

Perkara itu ialah :

(1) Kritikan berbeza dengan kutukan, macian atau penghinaan.

- Perbuatan mengkritik ialah : seseorang atau kumpulan memberikan satu analisis dan teguran kepada suatu pihak.

- Perbuatan menghina ialah : seseorang merendahkan taraf kedudukan kepada suatu pihak.

(2) Perbuatan mengkritik kepada suatu perkara yang kena tempatnya, dibenarkan. Ia lagi dibenarkan apabila membawa kebaikan sejagat. Manakala kritikan kepada suatu yang tidak kena tempatnya tidak dibenarkan, seperti mengkritik arahan Allah dan Rasul-Nya.

(3) Perbuatan menghina serta membuka aib individu Muslim atau Jemaah Muslim merupakan suatu perbuatan yang dikeji Allah. Lagipula dalam perkara khilaf yang setiap orang mempunyai pandangan dan peganggannya masing-masing.

(4) Perbuatan membuka Aib yang dibenarkan hanyalah ketika menjadi saksi di Mahkamah, menasihatkan tentang keburukan sesorang yang akan mengakibatkat kerosakkan orang lain seperti menasihati untuk menolak pemimpin yang zalim dan tidak amanah, menasihati untuk menolak tunangan seorang lelaki yang buruk akhlaknya dan lain-lain.

(5) sekalipun perbuatan membuka aib itu dibenarkan pada situasi yang telah disebutkan, ia dibuka atas kadar-kadar yang diperlukan sahaja. Tidak perlu lebih-lebih.

(6)Pesan Nabi Muhammad :

"Janganlah kalian saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi, tetapi jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara." [ Hadis direkod oleh Muslim : 6690]

"Apabila seseorang berkata : 'Manusia sekarang telah rosak' (dan dia merasa dia seorang sahaja yang baik) maka dia adalah orang yang paling rosak dalam kalangan masyarakat."

[Direkod oleh Muslim : 2623]

Hadis ini merujuk kepada individu dan juga jemaah umat Islam.

(7) Saya telah jelaskan secara panjang lebar di dalam buku saya bertajuk "Untukmu Penyeru Kebaikan" pada hal "Berdebat dengan gaya lebih baik". Ringkasannya adalah seperti berikut:

Allah taala menyuruh kita menyeru manusia dengan cara yang bijaksana dan memberikan pengajaran-pengajaran yang baik. Bermaksud, berlemah-lembut dengan manusia. Manakala, kita disuruh untuk berdebat dengan orang yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan kita dengan gaya yang "LEBIH BAIK". Rujuk surah An-Nahl : 125.

(8) Justeru, melakukan penghinaan terhadap sesuatu kumpulan atau jemaah umat Islam merupakan suatu perkara yang melangkaui gaya yang "LEBIH BAIK" itu.

(9) Jemaah umat Islam hendaklah menjadi contoh terbaik buat Masyarakat. Janganlah mereka pula menjadi "Kepala Syaitan" yang merosakkan masyarakat.

(10) Syurga tidak akan dipelopori oleh satu Jemaah umat Islam sahaja, tetapi semua umat Islam yang mengucap 2 kalimah Syahadah berhak mendudukinya.

Jawapan jelas kepada soalan.

- Tiada sebarang dalil Naqli yang mengharamkan kritikan kepada individu atau Jemaah. Kritikan yang baik sangat dianjurkan.

--> Allah lebih mengetahui - Allahu Alam.

 

solat-jemaah