Pilihan Raya Umum, Insyaallah tahun ini. Namun sedikit malang apabila baru-baru ini saya melihat kedangkalan mahasiswa berpolitik. Sama ada dari pihak pembangkang mahupun kerajaan, keduanya berpolitik. Usah nafikannya.

Pada saya, berpolitik itu tidak menjadi suatu masalah. Berpolitiklah dengan akal yang waras, jiwa yang sedar, dan hati yang tenang. Tetapi yang menjadi masalahnya ialah apabila ketaksuban atas nama parti itu terlalu kuat. Seolahnya parti yang disokongnya itulah yang terbaik, dan yang lainnya pula teruk-teruk belaka.

Debat Facebook saja masih belum dapat bertolak ansur, berlapang dada. Bagaimana mahu debat berdepan mata?

Status penuh cacian dan merendah-rendahkan parti orang lain tanpa had batasan seorang manusia normal. Adakah jenis ini pemimpin yang kita idamkan?

Cukuplah dengan ketidakmatangan ahli politik yang sudah ada sekarang. Pemuda hari ini perlu lebih matang.

Bangkitkan politik idea, bukan politik selak kain.

Ajak orang untuk sokong parti anda kerana idea perubahan yang ada pada parti tersebut. Usah menyuruh orang menolak parti lain hanya kerana salah parti kamu ditutup Allah, sedang yang lain itu dibuka.

Apa yang kita keji pada hari ini, apa yang kita katakan "BODOH" pada hari ini, apa yang kita katakan "LAKNAT" pada hari ini, semuanya akan ditanya Allah di Akhirat kelak...

Ingat pesan Allah :

Peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

[Al-Baqarah, 281]

 

Pilihanraya-Umum-13-PRU-13-General-Election-13