Diantara kelebihan Islam adalah ia memuliakan wanita, mengiktiraf kemanusiaannya, keahliannya di dalam memikul amanah, mendapat ganjaran pahala dan memasuki syurga sama seperti hak kemanusiaan yang ada pada lelaki. Ini kerana mereka berdua (lelaki dan wanita) adalah dua cabang dari satu pokok. Mereka bersaudara. Bapa mereka ialah Adam dan ibu mereka ialah Hawa.

· Sebagaimana mereka sama pada asal penciptaan, mereka juga sama pada ciri-ciri kemanusiaan secara umum. Memikul amanah yang sama, mendapat pahala dan balasan yang sama.

Allah menjelaskan perkara ini dalam Surah An-Nisa`, ayat 1 :

Maksudnya :

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan wanita yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Oleh itu, semua manusia samada lelaki atau wanita diciptakan dari diri yang satu iaitu Nabi Adam. Kemudian Allah menjadikan dari diri itu suami atau isteri yang saling melengkapi. Inilah yang berjaya difahami berdasarkan kata-kata Allah dalam surah Al-A`raf, ayat 189:

Maksudnya :

Dan Dia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain.

Kemudian dilahirkan dari keluarga ini, lelaki dan wanita dalam bilangan yang banyak. Semua mereka menyembah Tuhan yang satu, iaitu Allah.

Al-Quran menyuruh manusia supaya bertaqwa kepada Allah dan menjaga hubungan silaturrahim yang mengikat mereka. Allah berkata dalam surah Al-A`raf, ayat 189,

Maksudnya :

Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan kaum kerabat.

· Lelaki adalah saudara bagi wanita, dan wanita adalah pendamping bagi lelaki. Nabi Muhammad menjelaskan perkara ini dengan berkata,

Maksudnya :

Sesungguhnya wanita adalah adik beradik bagi lelaki

[Hadis direkodkan oleh Ahmad : 6/256 ]

· Allah juga menjelaskan tentang kesamarataan tanggungjawab dalam ibadah buat lelaki dan wanita. Allah menjelaskan dalam surah Al-Ahzab, ayat 35,

Maksudnya :

Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang wanita yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang wanita yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang wanita yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang wanita yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang wanita yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang wanita yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang wanita yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang wanita yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang wanita yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang wanita yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

· Al-Quran juga menyamakan tanggungjawab beragama, bersosial dan berpolitik antara lelaki dan wanita. Allah menjelaskan perkara ini dalam surah At-Taubah, ayat 71 ,

Maksudnya :

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah.

Di dalam kisah Nabi Adam, tanggungjawab dan larangan yang diberikan kepada Adam dan isterinya Hawa adalah sama. Hal ini dinyatakan oleh Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 35,

Maksudnya :

Dan Kami berkata: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.

Namun, setelah itu Adam dan Hawa mengingkari arahan Allah atas godaan syaitan. Mereka berdua mengingkarinya bukan atas godaan Hawa sepertimana yang sering disebut-sebutkan oleh ramai orang. Perkara ini dijelaskan oleh Taurat dan Al-Quran.

Allah menjelaskan perkara ini dalam surah Al-Baqarah, ayat 36 ,

Maksudnya :

Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya.

Bukanlah Hawa sahaja yang memakan pokok yang dilarang itu, tetapi Adam dan Hawa melakukan kesilapan itu bersama-sama. Juga bertaubat dan menyesal bersama-sama.

Kata Allah dalam Surah Al-‘Araf, ayat 23:

Maksudnya :

Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.

Malah, di dalam sesetengah ayat, kesalahan itu hanya diletakkan di atas Nabi Adam sahaja. Ini dijelaskan dalam surah Toha, ayat 115:

Maksudnya :

Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.

Allah menjelaskan lagi hal ini dalam surah Toha , ayat 120 pula:

Maksudnya :

Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?.”

Dinyatakan lagi dalam ayat 121 :

Maksudnya :

Dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).

Juga disandarkan taubat itu kepada Adam sahaja. Allah menjelaskan perkara ini dalam surah yang sama, ayat 22 :

Maksudnya :

Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.

Walauapapun keadaannya, kesalahan yang dilakukan oleh Hawa ini tidak diwarisi oleh keturunannya tetapi ditanggung oleh dirinya sendiri. Kesalahan-kesalahan hanya ditanggung oleh si pelaku itu. Allah menjelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 143 :

Maksudnya :

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.

· Mengenai kesamaan antara lelaki dan wanita pada ganjaran dan memasuki syurga, Allah berkata dalam surah Ali Imran, ayat 195 :

Maksudnya :

Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau wanita, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain.

Oleh itu, petikan dari Al-Quran secara jelas menunjukkan semua amalan yang dilakukan tidak akan menjadi sia-sia di sisi Allah. Tidak kira dilakukan oleh lelaki atau wanita. Semuanya sama sahaja, diciptakan dari tanah dengan jenis yang sama.

Allah menerangkan dalam surah An-Nahl, ayat 97 :

Maksudnya :

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau wanita, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

Allah menerangkan lagi dalam surah An-Nisa, ayat 124 :

Maksudnya :

Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau wanita, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun .