20140209_125606

Sebahagian kita membaca buku kecil Manzil dan mengamalkannya. Ada sebahagian menjadikan buku ini sebagai panduan dalam merubat orang yang kerasukan. Justeru, setelah meneliti buku ini dengan secara tenang dan ilmiah, saya mendapati perkara berikut,

1- Ayat-ayat al-Quran dalam buku ini boleh diamalkan untuk memohon kesihatan pada Allah. Namun, tidak boleh yakin bahawa ayat-ayat ini dapat memberi kesembuhan. Yakinlah pada Allah dengan membaca kata-kataNya.

2- Kisah Abu Darda` dalam buku ini mempunyai kritikan keras para ulama.

Berikutan kisah Abu Darda`, ini penemuan saya.

1. Kandungan Kisah

Seorang telah datang kepada Abu Darda` dan memberitahu bahawa rumah beliau terbakar. Abu Darda` menjawab, “Tidak, rumah saya tidak terbakar.” Kemudian seorang lagi datang dan memberitahu bahawa rumahnya terbakar. Kemudian, ada seorang lagi datang dan memberitahu perkara yang sama dan Abu Darda` memberi jawapan yang sama.

Pada kali keempat seseorang datang dan memberitahu Abu Darda`, “Wahai Abu Darda`, api telah naik tinggi tetapi apabila sampai kepada rumah tuan, api telah padam!”

Abu Darda` menjawab, “Saya yakin bahawa Allah tidak akan membakar rumah saya. Rasulullah telah mengajar saya suatu doa yang mana jika dibaca selepas Subuh si pembaca akan terselamat dari semua bala dan musibah sehingga petang. (saya telah membaca kalimah-kalimah ini selepas subuh). Oleh itu saya yakin rumah saya tidak akan terbakar.”

Doanya,

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لا إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ ، عَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ ، وَأَنْتَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ ، مَا شَاءَ اللَّهُ كَانَ ، وَمَا لَمْ يَشَأْ لَمْ يَكُنْ ، وَلا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ ، أَعْلَمُ أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ، وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِي ، وَمِنْ شَرِّ كُلِّ دَابَّةٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا ، إِنَّ رَبِّي عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيم

Maksudnya,

Ya Allah, Engkaulah Tuhanku. Tidak ada tuhan melainkan Engkau. Hanya kepadamu daku bertawakkal. Engkaulah Tuhan `Arasy yang Maha Agung. Apa sahaja yang dikehendaki Allah pasti terjadi dan apa yang tidak dikehendakinya pasti tidak akan terjadi. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah, yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Aku sedar bahawa Allah Maha Kuasa atas setiap sesuatu dan sesungguhnya ilmu Allah meliputi segala sesuatu. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan diriku dan kejahatan sekelian yang melata. Yang segala roh mereka dalam genggamanMu. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus (adil).

2. Sumber

Kisah ini direkod oleh ramai ulama dalam kitab-kitab mereka. Antaranya,

I. Ibnus Sunni dalam kitab `Amal Yaum wal lailah

II. Ath-Thabrani dalam kitab ad-Du`a’

III. Al-Kharathi dalam kitab Makarimul Akhlak

IV. Al-Baihaqi dalam Kitab al-Asma` was Shifaat

Mereka merekodkan dari jalan Hudbah bin Khalid, dia berkata; ‘al-Aghlab bin Tamim pernah bercerita kepada kami dari al-Hajjaj bin Furafishoh, dari Thalqi.’

Dalam buku-buku Manzil bahasa Melayu yang dicetak, disebut “Talha ra meriwayatkan…” sedangkan tidak ada sahabat Nabi yang bernama Talha. Yang ada cumalah,

a. Thalhah bin Ubaidillah

b. Thalqi bin Habib[1]

Saya berkeyakinan bahawa mereka mahu menyandarkan kepada Thalqi yang meriwayatkan kisah ini. Tetapi mungkin berlaku kesilapan dari segi tulisan atau cetakkan. Ini kesilapan yang biasa berlaku dalam dunia penerbitan.

Nota : Dalam rekod yang lain pula, kisah ini disampaikan oleh orang yang tidak dikenali.

3. Kritikan

Kisah ini mempunyai kecacatan pada orang yang menyampaikannya. Iaitu al-Aghlab bin Tamim. Siapakah dia?

I. Menurut Imam al-Bukhari dalam kitab At-Tarikh al-Kabir , “Aghlab bin Tamim dia ialah seorang yang Munkarul Hadis.”

Ø Apabila al-Bukhari berkata seorang itu Munkarul Hadis menunjukkan orang itu sangat lemah periwayatannya. Al-Bukhari menyandarkan Munkarul Hadis kepada orang yang tidak layak diambil riwayat daripadanya. [2]

II. Menurut Ibnu Hibban dalam kitab Al-Majruhin, “Aghlab bin Tamim ialah seorang Munkarul Hadis. Dia menceritakan sesuatu dari orang yang sangat dipercayai sedangkan mereka tidak berkata demikian. Sehingga terkeluar dari batasan untuk berhujah dengan cerita itu kerana banyaknya kesalahannya.”

4. Kesimpulan

Setelah membuat penelitian ini, saya merumuskan perkara berikut,

I. Kisah ini tidak benar dari Abu Darda`

II. Sekalipun begitu, beramal dengan doa ini tidak mengapa kerana ia tidak mengandungi masalah yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Syaratnya, tidak boleh menyandarkan doa ini kepada Abu Darda` apatah lagi kepada Rasulullah saw. Tidak boleh berkayakinan dengan kelebihan doa ini.

Rujukan Utama : Kitab Tahdzhir ad-Da`iyah Min Qashashil Wahiyah, oleh Syeikh `Ali bin Ibrahim Hasyish. m/s 468 – 472.

WallahuTaala A`lam.

_______________

Ustaz Syihabudin Ahmad,

BA Pengajian Islam & Bahasa Arab,

Universiti al-Azhar, Mesir.

Email : syihabudinahmad89@yahoo.com

Phone : 017-3162287


[1] Rujuk riwayat Amal Yaum wa Lailah, m/s 25. Hadis 57

[2] Rujuk kitab At-Tadrib ar-Rawi, oleh Imam as-Suyuti