Header Ads

Book an appointment with SetMore

Kertas Kerja : Hukum Memperdengarkan Sesuatu Selain Azan Di Corong Masjid


Ø  Pendahuluan Isu :
Terdapat aduan dari kalangan orang bukan Islam di Pulau Pinang pada bulan Ogos 2011 yang mendakwa laungan al-Quran sebelum azan Subuh menggangu orang tidur terutamanya bayi dan orang sakit.
Pada bulan April 2014 pula, tersebar satu pesanan ringkas di Facebook yang mendakwa laungan selain azan di corong masjid dan surau sebelum azan subuh telah menggangu anak-anak kecil yang sedang tidur.
Justeru itu, isu ini diselidik.

Ø  Kesimpulan Kajian :

1-      Adalah tidak wajar, atas alasan agama menggunakan pembesar suara untuk memasang alunan bacaan selain azan sehingga mengganggu ketenteraman dan ketenangan orang ramai.

2-      Umat Islam tidak boleh menghalang azan dikumandangkan di corong masjid atau surau jika ia dikumandangkan pada waktunya.

Ø  Keputusan Fatwa dirujuk :

1-      Fatwa Negara Mesir (Darul Ifta`) bertarikh 19 Julai 2007
2-      Fatwa al-Lujnah ad-Daimah Arab Saudi bernombor 9908, Jilid kedua.
3-      Fatwa Majlis Fatwa al-A’la Negara Arab Saudi bertarikh 25 Mac 2007
4-      Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 7 April 2011
Nota : Semua rujukan fatwa yang dirujuk di atas menunjukkan kesimpulan yang sama.

Ø  Metodologi Kajian :

Dalam membuat kajian ini, saya menjadikan beberapa isu sebagai kayu ukur.
1-      Isu yang dibangkitkan ialah isu memasang sesuatu bacaan atau suara di corong pembesar suara masjid atau surau sebelum azan. Jadi, ia turut merangkumi laungan bacaan al-Quran, bacaan hadis, ceramah peringatan, siaran rakaman, bacaan tahrim subuh, zikir dan seumpamanya.

2-      Pandangan yang saya bawakan dalam kajian diwajibkan mempunyai rujukan yang sahih terutamanya ayat al-Quran, hadis, dan pendapat para ulama moden dan silam.

3-      Kajian ini mengambil kira isu umat Islam di Malaysia yang hidup bersama-sama dengan masyarakat bukan Islam dalam satu negara. Pada pandangan saya, setiap rakyat di Malaysia termasuk yang bukan Islam mempunyai hak yang sama rata sebagai warganagera dengan umat Islam. (Bukan Islam) mereka dibenarkan untuk menyampaikan pendapat tentang agama Islam selagimana mereka mampu memberi ruang kepada umat Islam memberi penjelasan.

Fakta 1 : Hadis Nabi Melarang Menggangu Orang Dengan Bacaan al-Quran 
Saya melihat hadis yang kuat menyokong sebarang kesimpulan dalam isu ini ialah hadis riwayat Abu Daud di bawah,
اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فِى الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ : « أَلاَ إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلاَ يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلاَ يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِى الْقِرَاءَةِ »
Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran). Lalu baginda mengangkat langsir dan berkata: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain”
Menurut Syeikh Syu’aib al-Arnauth, hadis ini Sahih.
Memahami Hadis : Dalam hadis di atas, terdapat larangan yang jelas daripada menguatkan bacaan al-Quran di dalam masjid apabila menggangu orang di dalam masjid.
Isu ini jelas kepada kita, apabila bacaan al-Quran di dalam masjid secara kuat menggangu orang yang beribadah di dalam masjid dilarang, maka menggangu orang yang di luar masjid adalah lebih utama untuk dilarang.

Fakta 2 : Islam adalah agama yang menghormati waktu setiap orang.[1]
Islam adalah agama toleransi, adil, penuh adab dan kasih sayang. Ia adalah satu-satunya agama yang diiktiraf sebagai benar oleh Allah swt. Agama ini tidak pernah memaksa siapapun untuk memeluknya. Ia memberi kebebasan untuk semua orang memilihnya sebagai pegangan hidup.
Allah menyatakan hal ini dalam surah al-Kahfi, ayat 29,

"Katakanlah, “Kebenaran ialah sesuatu yang datang daripada tuhan kamu, sesiapa yang mahu beriman, maka berimanlah! Sesiapa yang mahu menjadi kafir, maka jadilah dia orang yang ingkar!.."

Setelah agama Islam memberi ruang yang besar kepada manusia membuat pilihan dalam beragama, maka tibalah saat umat Islam untuk berdakwah dengan penuh disiplin dan beradab. Umat Islam hendaklah menyebarkan slogan-slogan Islam dengan jalan yang betul dan sesuai.
Umat Islam tidak boleh menjadi fitnah dalam masyarakat sehingga mereka menjadi benteng yang menghalang daripada orang mendapat penjelasan tentang hakikat Islam yang sebenar.
Umat Islam ditegah dari memaksa-maksa orang lain sehingga menggangu kehidupan di rumah dan tempat kerja mereka. Apatah lagi gangguan itu menyebabkan terganggunya masa rehat dan berhibur.
Gangguan terhadap bukan Islam tidak dibenarkan, apatah lagi gangguan terhadap orang Islam yang mempunyai kedudukan khusus berdasarkan perintah Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 58,

"Orang-orang yang menyakiti lelaki dan perempuan yang beriman sedangkan mereka tidak bersalah maka orang-orang itu telah menanggung kesalahan berbohong serta dosa yang amat jelas."


Rasululah saw juga mengingatkan bahawa umat Islam hendaklah memberikan hak kepada umat Islam yang lain dalam kata-katanya,
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Orang Islam ialah orang Islam yang lain merasa selamat dari gangguan lidah dan tangannya.
(Direkod oleh Muslim, 171)
Dalam kitab Tafsir al-Quran al-‘Adzhim oleh Imam at-Tabrani menyebutkan kata-kata Imam Qatadah bin Da’amah as-Sadusi[2] :

“Waspalah kamu dari menyakiti orang-orang yang beriman, kerana Allah murka terhadap orang jenis itu dan akan menyakiti sesiapa yang menyakiti orang yang beriman.”[3]

Oleh itu kekacauan seperti memperdengarkan ceramah agama dan bacaan-bacaan ayat al-Quran tanpa memperhatikan keadaan masyarakat sekitar, sehingga mengganggu ketenangan dan waktu istirehat mereka, serta menggangu fokus mereka yang sedang bekerja adalah dilarang.
Dakwah hendaklah disesuaikan dengan waktu, kemampuan dan kesediaan setiap orang. Justeru tidak sepatutnya seorang muslim menggunakan pembesar suara masjid untuk mengganggu ketenangan masyarakat, baik di waktu malam mahupun siang. Sekalipun niatnya adalah untuk memberi nasihat dan melihat pentingnya isi ceramh yang mahu disampaikan. 
Fakta 3 : Nabi Menghormati Waktu dan Keadaan Orang Lain
Waktu malam adalah waktu rehat untuk setiap orang. Waktu ini tidak boleh diganggu dan dikacau oleh sesiapapun sekalipun dia ialah seorang pendakwah dan berniat baik.
Dalam kehidupan dakwah Nabi saw, baginda sentiasa menjaga perasaan dan waktu rehat orang yang baginda mahu dakwah. Dalam pelbagai hadis, kita dapati Rasulullah sangat prihatin dalam isu ini.

Pada suatu hari Rasulullah bercerita,
إِنِّي لأَدْخُلُ فِي الصَّلاَةِ فَأُرِيدُ إِطَالَتَهَا فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأَتَجَوَّزُ مِمَّا أَعْلَمُ مِنْ شِدَّةِ وَجْدِ أُمِّهِ مِنْ بُكَائِهِ.
Aku bersolat lalu aku berkeinginan untuk memanjangkan solat tersebut. Tiba-tiba aku terdengar suara tangisan bayi lalu aku meringankan solatku kerana aku mengetahui betapa besarnya kesedihan ibu anak itu kerana tangisan anaknya.
(Direkod oleh al-Bukhari: 710)

Rasulullah saw sangat prihatin dengan isu orang lain. Sekalipun memanjangkan solat dengan bacaan ayat al-Quran yang kuat tidak salah, tetapi menggangu orang lain adalah satu kesalahan. Niat yang baik tidak menghalalkan semua perbuatan.
Satu peristiwa yang pernah diceritakan oleh Jabir bin Abdullah juga mampu menjelaskan kepada kita bahawa Islam sangat prihatin terhadap masa dan keadaan orang lain sekalipun dalam amal ibadat.
Jabir bercerita,
“Mu’adz bin Jabal sering solat bersama Rasulullah, kemudian pada suatu hari dia solat bersama kaumnya dan menjadi imam mereka. Lalu dalam solat itu Mu’adz membaca surah al-Baqarah. Seorang lelaki telah keluar dari solat berjemaah itu lalu solat dengan ringan. Isu tersebut telah sampai kepada Mu’adz lantas dia berkata ‘Sesungguhnya lelaki itu telah menjadi munafik.’
Cerita tentang kata-kata Mu’adz itu telah sampai kepada lelaki berkenaan. Dia pun pergi bertemu Nabi saw dan mengadu, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami adalah kaum yang memiliki pekerjaan untuk menyiram ladang, sementara semalam Muaz solat mengimami kami dengan membaca surat al Baqarah, hingga aku keluar dari shaf, lalu dia menyangka aku seorang munafik." Maka Nabi s.a.w. bersabda: "Wahai Muaz, apakah kamu hendak membuat fitnah?" -Baginda mengucapkannya hingga tiga kali- “bacalah Was syamsi wadluhaaha dan wasabbih bismirabbikal a'la atau yang serupa dengannya."
(Direkod oleh al-Bukhari: 6106)
Dalam hadis yang lain, keprihatinan Islam itu nampak lebih jelas. Abu Mas’ud al-Ansari bercerita,
قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللهِ لاَ أَكَادُ أُدْرِكُ الصَّلاَةَ مِمَّا يُطَوِّلُ بِنَا فُلاَنٌ فَمَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فِي مَوْعِظَةٍ أَشَدَّ غَضَبًا مِنْ يَوْمِئِذٍ فَقَالَ أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ مُنَفِّرُونَ فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمُ الْمَرِيضَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ
Seorang lelaki pernah mengadu kepada Nabi saw, "Wahai Rasulullah, aku hampir tidak sanggup solat yang dipimpin seseorang dengan bacaannya yang panjang."
Sewaktu itu itu aku (Abu Mas’ud) belum pernah melihat Nabi saw memberi peringatan dengan lebih marah dari yang disampaikannya pada hari berkenaan.
Rasulullah berkata: "Wahai manusia, kalian membuat orang lari menjauh. Maka barangsiapa solat mengimami orang lain maka ringankanlah. Kerana di antara mereka ada orang sakit, orang lemah dan orang yang ada keperluan"
(Direkod oleh al-Bukhari: 90)


Fakta 4 : Menambah Sesuatu Sebelum Azan Tiada Asal Usulnya
Majlis Fatwa Palestin mewartakan,
“Penambahan sesuatu bacaan sebelum azan seperti zikir-zikir dan bacaan al-Quran adalah satu penambahan kepada azan. Sedangkan azan ialah satu ibadah yang tidak boleh menerima sebarang penambahan atau pengurangan (Tauqifiyah). Justeru itu tidak boleh menambah terhadap azan atau sekadar menambah untuk memberi peringatan tentang azan yang akan dikumandangkan. Rasulullah berkata, ‘Sesiapa yang menambah sesuatu ibadah dalam urusan agama kita sedangkan ia tidak ada maka ia tertolak’[4][5]
Nota : Kenyataan fatwa itu dikuatkan apabila tiada dalil yang menunjukkan bolehnya menambah bacaan-bacaan atau zikir sebelum azan dikumandangkan melainkan azan pertama sebelum subuh.



Pandangan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Pada isu ini, Dr. Mohd Asri[6] menyimpulkan beberapa perkara,
1.      Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.
2.      Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.
3.      Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.


Pendapat Syeikh Ibnu ‘Uthaimin Tentang Membuka Pembesar Suara Luar Masjid Ketika Solat
Ketika menjelaskan isi kandungan Riyadhus Sholihin pada “Bab Sunat Datang Solat dan Majlis Ilmu Dengan Tenang”, Syeikh berkata,
Sesuatu yang sangat dibimbangi mendapat dosa ialah apa yang kita lihat dilakukan oleh sebahagian orang yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid) atas menara.
Perbuatan ini telah mengelirukan orang yang berada disekeliling masjid. Tidak kiralah ketika solat malam atau solat siang.  Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa..tiada syak lagi meninggalkan perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid..dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan hal ini..Boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”.[7]

Ini adalah Tipu Daya Iblis!
Imam Ibnu Jauzi menyebutkan dalam kitabnya berjudul “Talbisul Iblis” pada muka surat 787[8],
Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat.  Perkara ini telah dimakruhkan oleh Malik bin Anas[9] dan lain-lain dengan makruh yang sangat keras. Kerana ia telah mengeluarkan azan dari tempat yang mulia kepada penyerupaan dengan muzik.
Sebahagian mereka mencampur adukkan azan subuh dengan zikir, tasbih, dan ceramah. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan.
Banyak aku lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar.”

Ø  Penutup
Islam adalah agama yang releven untuk setiap zaman dan setiap orang. Justeru itu, mengembalikan Islam kepada wajahnya yang asal merupakan satu tugas yang berat yang wajib dipikul oleh setiap umat Islam.

Semoga Allah menerima amalan saya dan memberkati hidup saya dan keluarga.
وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِهِ وَسَلَّمَ

WallahuA’lam.


[1] Merujuk keputusan Fatwa Negara Mesir (Darul Ifta`) bertarikh 19 Julai 2007
[2] Qatadah adalah seorang pakar dari kalangan penduduk Basrah di Iraq. Dilahirkan pada tahun 60 H. Beliau adalah seorang lelaki yang buta dalam generasi Tabiin.  Dia akan menghafal setiap perkataan yang dia dengar. Dia meninggal pada pertengahan tahun 118H dalam usia 56 tahun.

[3] Tafsir surah al-Ahzab, ayat 58.
[4] Direkod oleh al-Bukhari, 2697
[6] Artikel bertajuk “Saya Menyokong Keputusan S.S Mufti Pulau Pinang” – drmaza.com
[7] M/s 97-98 Syarah Riyadhus Solehin, Jilid 4, Madarul Wathan, 1426H.
[8] Rujuk Kitab Talbisul Iblis, Tahqiq Ahmad bin ‘Uthman. Darul Wathan. 1423 H.
[9] Rujuk Mudawan Kubra 158, Mawahibul Jalil 437, az-Zakhirah 47, Syarah Muntaha Iradat 130, dan al-Majmu’ Jilid 3 m/s 118.

No comments

Powered by Blogger.