Teringat selipar yang saya pakai lebih setahun di Mesir. Ketika itu saya di tahun pertama Universiti al-Azhar. Nak mintak duit kat mak ayah masa tu, tak sanggup. Jadi, terus saja pakai selipar yang sudah bocor di bahagian kaki.

Masa tu, mak susah-susah meniaga sana sini. Macam-macam kerja dia buat, dibantu oleh ayah yang berjalan tercungkit-cungkit.

Orang buat laksa, depa buat laksa. Orang buat belacan, depa buat belacan. Orang untung banyak, depa habis duit bagi anak-anak makan dan belajar.

Setiap kali nak minta duit dekat mak ayah, saya akan mula berfikir... "Kalau aku mintak, mesti mak ayah akan bagi. Sama ada depa ada duit atau tak ada, depa tetap akan bagi."

Mula-mula, mak ayah bagi RM 400 sebulan untuk sara hidup di Mesir. Masuk bulan seterusnya, susut RM 300. Kemudian RM 250 sebulan, hingga januari 2011,.. mak ayah bagi RM 200 Sebulan.

Saya tahu, RM 200 cuma cukup bayar duit sewa rumah dan belanja barang dapur sahaja. Tapi memikirkan mak ayah tidak mampu memberi lebih dari itu, maka saya sering berjimat. Setiap apa yang saya nak beli, saya akan catat dalam buku kecil.

Sebab kewangan yang terhad juga saya tidak mampu ikut program-program Kelab HALUANSiswa Mesir di Kaherah secara bulanan yang 'Awesome!'. Perjalanan dari kediaman saya di Dumyat ke Kaherah memakan masa hampir 5 jam. Kos yang perlu dikeluarkan sekitar LE 50 (RM25), tidak termasuk makan minum sepanjang di sana. Manalah saya mampu.

Saya pulang ke Malaysia sekejap pada Febuari 2011. Ketika itu saya bertemu dengan seorang hamba Allah budimannUmmi Roslina Nur Illahi. Beliau berbesar hati membantu pengajian saya di Mesir. Dia menyara RM 200 sebulan sepanjang saya di Mesir sehingga saya tamat belajar. Ketika itu, tamat perbelanjaan dari mak dan ayah.

Dengan takdir Allah, mak saya meninggal dunia pada pertengahan 2011 akibat derita kanser.

Sehingga hari ini saya menyimpan gambar selipar ini. Ia adalah bukti kerja keras mak dan ayah saya menyara pelajaran saya di Mesir. Ia bukti saya wajib mengenang budi mereka.

Saya sering teringat kata ayah, "Ayah tak mampu bagi apa pun kat hang. Ayah cuma boleh bagi hangpa pi mengaji saja.."

Mak dan ayah,
Mereka adalah permata dalam lubuk hati kita.

Hargai mereka selagi mereka ada di hadapan mata,
Sentiasa menambah pahala supaya mereka jadi beruntung membesarkan kita.

Insan Dhoif,
Syihabudin Ahmad.