Soalan: Siapakah orang yang boleh menemani wanita sehingga dia tidak ditangkap khalwat oleh penguatkuasa agama?

Jawapan: Terdapat 15 bahagian orang yang menjadi mahram bagi wanita. Penjelasannya seperti di bawah ini;

Penjelasan: 

Rasulullah saw bersabda,

«لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ، وَلاَ تُسَافِرَنَّ امْرَأَةٌ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ»، فَقَامَ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، اكْتُتِبْتُ فِي غَزْوَةِ كَذَا وَكَذَا، وَخَرَجَتِ امْرَأَتِي حَاجَّةً، قَالَ: «اذْهَبْ فَحُجَّ مَعَ امْرَأَتِكَ»

“Janganlah sekali-kali seorang lelaki berdua-duaan dengan perempuan, kecuali dengan ditemani mahramnya.” Seorang lelaki bangkit seraya berkata. Wahai utusan Allah, isteriku berangkat hendak menunaikan haji, sementara aku diwajibkan untuk mengikuti perang ini dan ini.” Rasulullah saw bersabda, ”Kalau begitu, kembali dan tunaikanlah haji bersama isterimu.”

(HR Al-Bukhari  :3006 Kitab Jihad Dan Perang, Bab Diwajibkan Perang Tetapi Isterinya Pergi Haji Atau Dia Mempunyai Keuzuran, Adakah Diizinkan Pergi Perang)

Berdasarkan hadis di atas, kita dapat memahami beberapa perkara;
  1. Wanita dan lelaki yang tidak mempunyai apa-apa ikatan tidak boleh bersama-sama di satu tempat tanpa ditemani siapapun. 
  2. Mahram diperlukan bagi menjaga serta melindungi wanita daripada fitnah-fitnah dan ancaman orang yang berniat jahat. 
  3. Islam sangat mementingkan isu perlindungan wanita sehingga menjadikan mereka hendaklah dilindungi. 
Kenali Mahram

Wanita muslimah sering terpedaya dengan beberapa orang yang dianggap mahram tetapi sebenarnya, mereka bukanlah mahram wanita itu.

Apa maksud Mahram? 

Mahram ialah seseorang yang tidak boleh dinikahi selama-lamanya oleh seseorang disebabkan keturunan, penyusuan, dan perkahwinan. (Rujuk: Hasyiyah Ibnu `Abidin)

Justeru itu, mahram dirujuk oleh wanita kepada lelaki. Wanita itu menilai, adakah lelaki ini dan itu boleh menjadi penemannya, boleh melihat auratnya melainkan buah dada, bahagian daripada pusat hingga lutut, dan bolehkah lelaki itu menyentuhnya?

Mahram lelaki juga begitu. Lelaki perlu menilai adakah wanita ini dan itu boleh ditemani ketika bersendirian, boleh dilihat auratnya yang sekadarnya, dan bolehkah dia disentuh sehingga tidak terbatal wuduknya. (Pendapat yang kuat dalam Mazhab Asy-Syafii -disebut Al-Azhar- menyentuh mahram tidak membatalkan wudhuk.)

Siapakah Mahram?

Mahram boleh dikenali dengan 3 faktor;
  1. Keturunan
  2. Penyusuan
  3. Perkahwinan
Setiap faktor mempunyai 5 bahagian. Saya menfokuskan kepada mahram bagi wanita supaya memudahkan penjelasan. Mahram bagi lelaki juga boleh menggunakan kaedah ini dengan ditukar istilah lelaki kepada wanita sahaja, kerana merekamempunyai kesalingan antara satu sama lain.

1. Keturunan
  • Bahagian 1: Ayah, datuk, moyang lelaki, dan ke atas
  • Bahagian 2: Anak lelaki, cucu lelaki, dan ke bawah
  • Bahagian 3: Adik beradik sekandung, sebapa, atau seibu - maksudnya adik beradik kandung atau adik beradik tiri.
  • Bahagian 4: Anak saudara, cucu saudara dan ke bawah
  • Bahagian 5: Bapa saudara (Pak cik).
2. Penyusuan
  • Bahagian 1: Suami kepada ibu susuan
  • Bahagian 2: Anak ibu susuan, cucu ibu susuan, dan ke bawah
  • Bahagian 3: Saudara lelaki ibu susuan sekandung, seibu, atau sebapa sahaja.
  • Bahagian 4: Anak saudara sesusuan, cucu saudara sesususan dan ke bawah.
  • Bahagian 5: Bapa saudara sesuan (Saudara lelaki bapa atau ibu sesusuan)

3. Perkahwinan
  • Bahagian 1: Suami
  • Bahagian 2: Bapa mertua
  • Bahagian 3: Anak tiri (Anak suami)
  • Bahagian 4: Ayah tiri (Suami ibu kandung)
  • Bahagian 5: Menantu lelaki

Kesilapan

Ramai orang menyangka individu berikut adalah mahram mereka, sedangkan bukan.
  1. Ayah angkat, anak angkat, adik angkat, atau abang angkat
  2. Sepupu 
  3. Abang ipar atau adik ipar lelaki
  4. Teman lelaki (Boyfriend)
  5. Tunang
WallahuA`lam.

Rujukan bergambar bagi wanita:
Rujukan bergambar bagi lelaki