Soalan:

Assalamualaikum ustaz.. Saya ada sedikit kemusykilan dan saya nak mohon bantuan pencerahan dari ustaz.. ini soalan saya.. ustaz..saya menghadapi sedikit kekeliruan berkenaan hukum perempuan yang datang haid mengambil wuduk..adakah perempuan dibenarkan mengambil wuduk ketika haid..? apakah hukum pada wuduk yang dia ambil ketika itu ? saya ada bertanya kpd ustaz yang lain lalu saya mendapat 2 jwapan dari ustaz yang berlainan membuatkan saya menjadi keliru..kerna ustaz yang pertama..ustaz tu kata wuduk boleh diambil,tiada masalah dan tidak berdosa.. ustaz yang kedua..ustaz itu kata haram mengambil wuduk ketika haid.. mohon ustaz bantu saya..

Jawapan:

Waalaikumusalam. Semoga Allah merahmati saudara.


Tiada pengharaman atau galakkan secara jelas tentang wanita mengambil wudhuk ketika Haid daripada hadis-hadis Nabi SAW.


Sebahagian orang mahu menggunakan dalil berikut sebagai menyatakan sunat bagi wanita berhaid berwudhuk:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ جُنُبًا فَأَرَادَ أَنْ يَأْكُلَ أَوْ يَنَامَ تَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلَاة
"Aisyah meriwayatkan bahawa Apabila Rasulullah SAW berada dalam keadaan berjunub, baginda akan berwuduk seperti wuduk untuk solat ketika mahu makan atau tidur."
HR Muslim: 305.

Namun, hadis ini hanya khusus pada junub, tidak pada haid kerana kedua-dua keadaan tersebut berbeza. Wuduk dapat meringankan hadas janabah tetapi ia tidak meringankan hadas haid.

Justeru itu, Imam an-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim berkata:
وأصحابنا متفقون على أنه لا يُستحب الوضوء للحائض والنفساء [يعني : قبل النوم] ؛ لأن الوضوء لا يؤثر في حدثهما ، فإن كانت الحائض قد انقطعت حيضتها صارت كالجنب ، والله أعلم

Ashab kita (Mazhab Asy-Syafii) bersepakat bahawa tidak ada galakkan berwudhuk bagi wanita berhaid atau nifas. Kerana wuduk tidak memberi kesan kepada kedua-duanya. Apabila wanita berhaid telah habis haidnya, maka barulah dia berhukum seperti orang berjunub. WallahuA`lam. 

Kaedah fikah menyebutkan: Asal bagi perkara ibadat ialah tawaqquf (berhenti) sehinggalah dijumpai dalil yang mengharuskannya. Wuduk ketika haid adalah perkara ibadah.



Setelah penelitian di atas, saya berpendapat bahawa tidak sunat bagi wanita berhaid untuk berwuduk.

WallahuA`lam.