Mazhab asy-Syafiie adalah mazhab yang sangat hebat daripada sudut kajian dalil, membuka medan ilmu serta menutup gerbang taqlid buta dan kejahilan. Para ulamanya handal-handal belaka dan menjadi bualan setiap orang yang mendalami ilmu agama.

Malangnya, pengikut mazhab asy-Syafii moden lebih suka melebel diri dengan istilah mazhab tanpa sebarang proses menuntut ilmu dan kajian. Serta lebih suka untuk taqlid buta dan menyelimuti diri dengan kejahilan.

Mereka suka dilabel "Saya Bermazhab asy-Syafiie". Tetapi mereka telah jauh daripada seruan mazhab. Kelas-kelas di masjid, surau, sekolah dan universiti yang mengajarkan fikah asy-Syafii ditinggalkan.

Tetapi, apabila isu-isu hukum disebutkan, merekalah orang pertama yang menjadi mufti dan orang kuat agama. Padahal, mereka tidak tahu apa-apa melainkan hanya mengikut perbuatan orang yang tidak diketahui betulkah daripada mazhab asy-Syafii atau bukan. Lebih lajak dari laju.

Pelajar Yang Corot

Jika kita umpamakan mazhab ini seperti sekolah dan pelajar adalah penuntut ilmu di tempat tersebut, maka kita akan dapati gambaran seperti berikut.

Seorang pelajar daripada sekolah berprofil tinggi, tetapi tidak mahu belajar, dia hanya suka mengatakan dia belajar daripada sekolah sekian-sekian.

Sekolah itu bagus, tetapi dia pelajar yang tidak bagus. Dia pelajar yang corot. Bahkan, dia telah membawa wajah buruk kepada nama sekolah.

Belajar, bukanlah proses yang mewajibkan kita menjadi ulama. Tetapi belajar adalah tuntutan agama. Bukan wajib untuk tahu semua perkara, tetapi jika semua perkara tidak mahu tahu maka ia suatu jenayah yang kejam terhadap agama dan diri sendiri.

Imam al-Bukhari dengan sanadnya meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ العِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ العِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ العِلْمَ بِقَبْضِ العُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا، فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا»

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan sekali cabut dari manusia. Akan tetapi,  Allah mencabut ilmu dengan cara mematikan para ulama. Dan ketika tiada seorang pum alim (ulama) dalam kehidupan manusia. Manusia akan melantik pemimpin-pemimpin yang bodoh. Kemudian para pemimpin bodoh tersebut akan ditanya dan mereka pun berfatwa tanpa ilmu. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan.”
(HR al-Bukhari, Sahih al-Bukhari: 100)

WallahuAlam.