Soalan:
Apakah hakikat As-Sufiyyah dan at-Tasawwuf? Apakah pendirian Islam berkaitannya? Kami mendengar bahawa sebahagian daripada orang Sufi telah berkhidmat untuk agama Islam daripada sudut ilmu dan amal. Kami juga mendengar bahawa sebahagian mereka berperanan menghancurkan Islam dengan bidaah serta kesesatan. Apakah perbezaan antara mereka-mereka ini? 

Jawapan:
At-Tasawwuf adalah aliran yang terdapat di dalam hampir setiap agama. Ia adalah aliran yang menfokuskan pada sudut rohani serta sangat mementingkannya. Penfokusan ini wujud terutamanya di dalam agama yang lain. 

Di India terdapat para fuqara’ Hindu yang sangat mementingkan aspek rohani yang melampau sehingga menyeksa diri. Ia dilakukan dengan keyakinan mampu meningkatkan darjat serta menyucikan rohani. 

Demikian juga yang berlaku kepada penganut Kristian. Mereka tidak lari daripada sistem kerahiban. Di Parsi pula terdapat aliran Mani[1]. Bagi orang-orang Yunani pula muncul aliran ar-Ruwaqiyin (Stoicism)[2]. Di dalam negara yang lain juga terdapat begitu banyak aliran ini. Telah jelas pada mereka pertembungan rohani yang radikal dalam aspek tubuh badan serta kebendaan. 

Kesimbangan Unsur Rohani, Jasadi dan Akli di dalam Islam

Islam pula, apabila ia datang, ia  mengajak kepada keseimbangan di antara kehidupan rohani, jasmani, serta akal. Manusia – sepertimana di dalam gambaran Islam – adalah gabungan jasad, akal dan roh. Justeru itu, setiap muslim hendaklah menunaikan hak bagi setiap bahagian tersebut. 

Apabila Nabi SAW melihat sebahagian daripada para sahabatnya yang melebihkan bahagian rohani, maka baginda menghalangnya. Sepertimana yang tersurat di dalam hadis Abdullah bin Amru bin al-`As. Dia telah berpuasa tanpa meninggalkannya, bangun qiyam tanpa tidur, meninggalkan isteri dan kewajiapan terhadap isteri. Lantas Rasulullah berkata: 
«فَلاَ تَفْعَلْ، صُمْ وَأَفْطِرْ، وَقُمْ وَنَمْ، فَإِنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِعَيْنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا»
Jangan buat begitu! Berpuasa dan tinggalkanlah, bangun qiyam dan dan tidurlah. Sesungguhnya jasad kamu mempunyai hak, kedua-dua mata kamu mempunyai hak, serta isteri kamu juga mempunyai hak.[3] [4]


Ketika sekumpulan sahabat Nabi pergi ke rumah baginda lalu bertanya para isteri Nabi tentang ibadah baginda, setelah diberitahu maka mereka berkata sesama mereka:
وَأَيْنَ نَحْنُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ، قَالَ أَحَدُهُمْ: أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا، وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلاَ أُفْطِرُ، وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلاَ أَتَزَوَّجُ أَبَدًا،

“Dimanakah kedudukan (ibadah) kita jika dibandingkan dengan Rasulullah SAW? Baginda telah diampunkan segala dosa yang telah lalu dan akan datang.” Berkatalah salah seorang daripada mereka; “Adapun aku, aku akan solat malam selama-lamanya.” Orang lain berkata: “Aku pula akan berpuasa sepanjang tahun tanpa ponteng.” Orang lain pula berkata: “Aku berlepas diri daripada wanita. Aku tidak akan berkahwin selama-lamanya.”

 فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ، فَقَالَ: «أَنْتُمُ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا، أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي»

Apabila Rasulullah datang kepada mereka, baginda berkata: “Kamu semua yang mengatakan itu dan ini. Demi Allah! Aku adalah orang yang paling takutkan Allah di kalangan kamu. Aku yang paling bertaqwa. Tetapi aku berpuasa dan berbuka. Aku bersolat malam dan aku tidur. Aku juga mengahwini wanita. Sesiapa yang membenci sunnahku, dia bukan daripada umatku.”

[HR Al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 5063.]

Dari sini kita dapat fahami bahawa Islam datang dengan kesimbangan di dalam kehidupan. Ia melunaskan hak pada setiap bahagian. Tetapi as-Sufiyyah telah muncul pada waktu umat Islam dipengaruhi dengan harta benda dan pemikiran. 

Latar Belakang Kemunculan Sufiyah

Sudut harta benda dikenali daripada kesan kekayaan yang menenggelamkan sebahagian generasi setelah meluasnya penguasaan Islam dan banyak harta mereka. Ekonomi juga berkembang sehingga ia menjadikan manusia berlebih-lebihan daripada sudut harta benda. Ia dikukuhkan lagi dengan sikap berlebih-lebihan pada sudut pemikiran. Sehingga menjadikan iman itu hanyalah penyataan “Falsafah”, “Ilmu Kalam” dan “Perdebatan”. Ia tidak memberikan makanan rohani yang setimpalnya kepada manusia. Sehinggakan Fikah hanya sekadar kulit luaran agama dan perbuatan tubuh badan, tidak lagi pada  intipatinya. Tidak juga pada amalan-amalan hati, ia semata-mata ibadat tanpa roh. 

Daripada sinilah munculnya kelompok sufi yang berperanan mengisi kekosongan tersebut. Ia adalah sesuatu pekerjaan yang tidak mampu dilakukan oleh para Mutakallimin dan Fuqaha’. Jadilah ramai manusia yang dahagakan sisi rohani. Tidak ada yang mengisi kelaparan ini melainkan para ahli sufi yang bermaksud untuk menyucikan batin sebelum zahir, mengubati penyakit jiwa, meletakkan keutamaan pada amalan hati, menyibukkan pendidikan rohani dan akhlak. Orang ramai memandang mereka dari sudut pemikiran, kepentingan, dan kegiatan mereka. 

Sehingga sebahagian daripada mereka menyatakan:

التصوف هو الخلق، فمن زاد عليك في الخلق فقد زاد عليك في التصوف.
At-Tasawwuf ialah akhlak. Sesiapa yang bertambah pada nilai akhlaknya, maka bertambahlah tasawufnya.

Generasi ahli sufi yang awal sangat teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah. Mereka sentiasa berperinsip atas timbangan Allah (hudud Allah). Sangat menjauhi bidaah dan penyelewengan di dalam pemikiran dan cara hidup (suluk). 

Sumbangan Ahli Sufi

Ramai orang yang masuk Islam kerana pengaruh mereka. Ramai orang yang bertaubat di tangan mereka daripada kalangan orang yang berbuat dosa dengan tidak mampu dihitung. Kekayaan ilmu makrifat dan pengalaman rohani mengikuti mereka, tidak ada yang mengingkarinya melainkan orang yang sombong atau orang yang taksub menentang mereka.

Sikap Melampau

Tetapi ramai pula ahli sufi yang melampau di dalam bahagian rohani ini. Lalu mereka menyimpang daripada jalan yang benar. Sebahagian daripada mereka mempraktikkan pemikiran yang tidak islami. Seperti kata-kata mereka (yang membezakan) antara hakikat dan syariat. Sesiapa yang memandang kepada akhlak (Tasawwuf) dengan pandangan syariat, maka mereka itu orang yang dibenci. Sesiapa yang melihat mereka dengan pandangan hakikat, maka diiktiraf. 

Pandangan mereka menyatakan bahawa; Az-Zuoq (Rasa dalam jiwa) dan al-Mawajid (rasa cinta dan rindu yang teramat sangat, yang terkadang sampai membuat seseorang kehilangan akalnya dan bahkan sampai tidak sedarkan diri) menjadi salah satu daripada sandaran hukum. Manusia merujuk hukum kepada zouq, wijdan dan hatinya. 

Sebahagian daripada mereka pula memandang lekeh kepada para ahli hadis kerana mereka berkata: Diceritakan kepada kami oleh fulan, diceritakan kepada kami oleh fulan. Sedangkan orang sufi menyatakan: (حدثني قلبي عن ربي) Diceritakan kepadaku oleh jantung hatiku daripada tuhanku…

Ataupun mereka mendakwa: 

إنكم تأخذون علمكم ميتًا عن ميت، ونحن نأخذ علمنا عن الحي الذي لا يموت
Kamu mengambil ilmu kamu daripada orang mati daripada orang mati, manakala kami mengambil ilmu kami daripada Yang Hidup Tidak Mati. 

Mereka menyangka hadis itu bersambung terus ke langit. Ini adalah sejenis sikap berlebih-lebihan.
Antara contohnya lagi ialah dalam bidang pendidikan. Mereka meruntuhkan peribadi murid dengan kata-kata:

إن المريد بين يدي شيخه كالميت بين يدي غاسله، ومن قال لشيخه: لم ؟ لا يفلح . ومن اعترض " انطرد ".
Seorang murid di hadapan gurunya seumpama orang yang mati di hadapan orang yang akan memandikannya . Sesiapa yang berkata kepada gurunya: Mengapa? Dia tidak akan berjaya. Sesiapa yang membangkang, ia akan dibuang. 

Pandangan-pandangan seperti ini telah membunuh potensi ramai daripada kalangan anak-anak umat Islam. 

Mereka juga telah menyemaikan nilai negetif sepertimana pegangan mereka yang menyebutkan: Seorang hamba bangun pada apa yang dia mahu… biarkan kerajaan kepada pemerintah. Tinggalkan makhluk kepada penciptanya. 

Dengan itu pendirian mereka negetif di hadapan penyelewengan, kerosakan, kezaliman,dan tirani. Ini juga salah satu daripada jenis berlebih-lebihan dan penyelewengan yang terdapat pada ahli sufi. 

Ahli Suffi Yang Salafi

Banyak daripada golongan  Ahlus  Sunnah  dan  ulama  salaf  yang mengukuhkan ilmu  tasawuf,  sebagaimana diajarkan oleh Al-Quran dan as-Sunnah. Ramai   pula    yang    berusaha    meluruskan    dan mempertimbangkannya    dengan    timbangan   Al-Quran   dan As-Sunnah. Lalu kita temuilah dalam bidang ini orang seperti Ibnu Qayyim yang mengindahkan ilmu Tasawwuf dengan neraca yang seimbang dan tidak difahami dengan salah. Ianya timbangana al-Quran dan as-Sunnah. Lalu dia menulis  sebuah buku tasawwuf yang seimbang iaitu  "Madaarijus-Saalikin ilaaManaazilus-Saairiin," (Tangga  bagi  Perjalanan Menuju  ke  Tempat  Tujuan). Buku berkenaan ialah suatu ulasan kepada risalah as-Suffiyah yang kecil berjudul: “Manazilul Zairin lil Muqamat: Iyyakana`budu wa iyya ka nasta`in”. Yang ditulis oleh Syeikhul Islam Ismail al-Harawy al-Hanbali. 

Kitab ini mempunyai tiga jilid. Ia merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah. Kita mampu membacanya dan mengambil manfaat daripadanya dengan tenang. Hakikatnya setiap kata-kata manusia diambil dan ditolak. Yang menghukum ialah nas yang suci yang diambil daripada al-Quran dan as-Sunnah. 

Ambil Sisi Baik Sufiyyah

Kita boleh mengambil sisi yang bagus daripada ahli Sufi iaitu ketaatan kepada Allah. Demikian juga sisi mencintai sesama manusia, mengetahui kekurangan diri, tempat-tempat dimasuki syaitan di dalam jiwa serta pengubatnya, mementingkan jiwa yang lembut serta sering mengingati hari akhirat.
Kita dapat mengenali hal tersebut di dalam sebahagian jalan ahli sufi seperti Imam al-Ghazzali dengan diawasi penyelewengan dan sikap berlebih-lebihan mereka. Kemudian ditimbang dengan neraca al-Quran dan as-Sunnah. Tidak ada yang mampu melakukan hal ini melainkan ahli ilmu dan ma`rifah sahaja. 

Justeru itu, saya menasihati setiap orang awam supaya merujuk para ulama umat Islam as-Salafiyyin al-Mu`tadilin yang mahu mengembalikan setiap kata-katanya kepada Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW. 

Wallahumuwaffiq.



(Rujuk: Fatawa Mu`asirah, Jilid 1, Muka Surat: 734)



[1] Ajaran Mani muncul di parsi. Menurut al-Biruni dalam bukunya Al-Atharul Baqiyah, Mani telah dilahirkan dalam tahun 215 atau 216 Masehi. Meskipun mengalami tekanan, namun agamanya dapat hidup kekal sehingga abad ketujuh lepas hijrah atau abad ketiga belas masehi. Ajaran Mani adalah saduran antara ajaran Kristian dan Zoroasterianisme. Secara ringkasnya, agama Mani ini tidak banyak bezanya dengan agama Zoroaster. Ajaran ini juga bersependapat bahawa di alam ini terdapat dua sumber iaitu sumber kebaikan dan sumber kejahatan. Bagi agama Zoroaster, manusia harus hidup secara semula jadi, berkahwin dan melahirkan keturunan, mengawasi pertaniannya, memelihara keturunan dan haiwan-haiwan ternakan, menambah kekuatan tubuh serta jangan berpuasa. Maka dengan cara kehidupan sedemikian dapat membantu Tuhan Baik melawan Tuhan Jahat. Tetapi ajaran Mani ini mempunyai suatu aliran fikiran yang berlainan, ia lebih menyerupai cara-cara kependitaan. Oleh sebab itu, ia mengharamkan perkahwinan, menganjurkan cara-cara hidup zuhud, menentukan penganutnya berpausa tujuh hari sebulan. Perbezaan yang besar ialah ajaran Mani mengakui kenabian Isa dan Zoroaster.

[2] Orang-orang Stoik percaya bahwa emosi negatif yang menghancurkan manusia dihasilkan daripada keputusan yang salah. Seorang sophis ialah orang yang memiliki "kesempurnaan moral dan intelektual" tidak akan pernah mengalami emosi-emosi yang merosakkan kebahagiaan, seperti marah berlebihan, kerisauan berlebihan, sedih berlebihan, dan sebagainya. Seorang Stoik, seperti kata Epictetus hendaklah tidak banyak berbicara tentang idea besar, apalagi kepada orang-orang awam, melainkan bertindak selaras dengan apa yang difikirkannya tentang kebaikan.Stoikisme adalah cara hidup yang menekankan dimensi internal manusia. Di mata kaum Stoa, Logos Universal (Sang Ilahi) adalah yang menata alam semesta ini dengan rasional, senegatif apa pun kejadian yang menimpa, seorang Stoa yang bijak akan melihat kejadian tersebut sebagai sebahagian daripada tenunan indah tuhan atau Logos. Ia akan menyesuaikan rasional dirinya sebagai manusia dengan hukum alam (hukum sebab akibat) dari alam semesta.
[3] Hadis ini diperbetulkan daripada teks asal. Teks asal seperti berikut:
يا عبد الله إن لعينك عليك حقًّا، وإن لأهلك عليك حقًا، وإن لزوجك عليك حقًا، وإن لبدنك عليك حقًا، فأعط كل ذي حق حقه
[4] Di dalam kisah Salman al-Farisi dan Abu Dardak pula, Salman berkata kepada Abu Darda’ seperti hadis di atas dengan tambahan:
فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ
Berikanlah hak kepada setiap orang yang mempunyai hak.