Kuliah daripada Ustaz Azmi Ahmad (Pensyarah Kolej Universiti Sultan Azlan Shah Perak) di dalam Topik Jumaat IKIM.fm (31/7/2015) ini sangat bagus. Saya dapat banyak ilmu baharu pagi ini.

Antaranya:

الإسم يدل على المسمى – Nama dirujuk kepada orangnya. Allah juga ada nama yang layak bagi-Nya. Jika manusia ada nama lalu terangkat maruahnya, maka mustahil Allah tidak mempunyai nama.

Sebahagian daripada nama Allah boleh digunakan di dalam panggilan seperti Rahim, Malik, Hakim, Rahman dan Raouf. Ini bertepatan dengan kaedah al-Quran (at-Taubah: 128) yang menyandarkan nama tersebut kepada Nabi SAW. Al-Quran juga disandarkan kepada al-Hakim di dalam surah Yaasin. Tetapi ia tidak sama diantara manusia dan Allah.

Tetapi sebahagian nama yang lain tidak boleh digunakan oleh manusia seperti Allah, Khaliq (Pencipta) dan sebagainya. Ia khusus hanya kepada Allah. Elakkan daripada memberi nama anak tanpa diletakkan Abdul (Hamba).

Sifat 20 adalah intisari daripada nama-nama Allah SWT. Inilah yang dijelaskan oleh asy-Syeikh Izzuddin Abdus Salam.

Pepatah Arab ada menyebutkan:
من تكرر تقرر
(Sesiapa yang banyak mengulang akan cepat menghafal)

Pesan guru Ustaz: Ajar anak-anak kamu dengan Asma’ ul Husna. Anak-anak berada diperingkat hafalan, bukan di dalam memahami. Apabila tahapnya sudah sesuai maka uraikan ia lebih lanjut.

Nama-nama Allah ada beberapa riwayat. Sebahagian riwayat sebut al-Wahid al-Ahad, sebahagian riwayat lain al-Ahad dan al-Wahid. Kedua-duanya betul.

Kesilapan sebutan: Al-Mughni sering kali dibaca al-Mughniyu. Sama ada sambung atau tidak ia hendaklah disebut al-Mughniy sahaja tanpa ada tambahan apa-apa.

Kita hidup pada zaman moden yang kurang spiritual rohani. Oleh itu, jika rohani tidak diisi maka manusia akan menjadi jiwa kosong. Inilah kunci kepada kebahagiaan, iaitu dengan menghayati Asmaul Husna.

Al-Imam Al-Ghazali: Ketahuliah bahawa kebahagian itu terletak pada sejauh mana dia menghayati nama Allah.

Al-Imam Al-Khusyairy: Sesiapa menghayati nama Alla, namanya akan harum di dunia dan akhirat.

Penerbit: Ustaz Syafiq Zulakifli