Mengutuk sesiapapun secara zalim adalah tidak baik. Bahkan, saya sendiri tidak bersetuju apabila orang mengutuk kerajaan secara terbuka. Apatah lagi mengutuk tempat saya menutut ilmu, Universiti al-Azhar dan guru-gurunya.

Saya pernah bertanya beberapa orang sahabat yang mendakwa saya mengutuk masyayikh al-Azhar, bolehkah mereka nyatakan siapakah masyayikh al-Azhar yang saya kutuk? Apakah buktinya? Apa sebabnya? Akhirnya mereka berdiam diri.

Masyayikh al-Azhar tiada kesan dengan sebarang kenyataan saya. Mereka adalah ilmuan yang dimuliakan Allah dengan ilmu.

Tetapi saya  menkritik pelajar-pelajar universiti al-Azhar yang malas ke kelas, terhad dalam pengajian, segan belajar, dan hanya hidup dalam lingkungan pelajar-pelajar asia sehingga lemah dalam penguasaan bahasa Arab. Lalu dengan megah dan tidak malu pula melabel diri dengan "Azhari". Saya mahu mempertahankan al-Azhar dan menjauhkan al-Azhar daripada terfitnah kerana masalah pelajar-pelajarnya.

Al-Azhar adalah nama besar yang sentiasa melahirkan graduan yang bermutu tinggi. Tidak jumud dan beku. Sentiasa menghasilkan idea-idea baharu yang berguna untuk agama dan umat. Tetapi mengapa masih ada yang tidak bermutu? Mengapa masih jumud? Mengapa tiada penonjolan akademik dan akhlak? Kesimpulan saya menyatakan bahawa mereka tidak mengikuti sistem yang dikelolakan Universiti al-Azhar.

Semoga Allah ampunkan kita.

Guru Fikah kami di Universiti al-Azhar Dumyat, Dr. Husni Ibrahim pernah berkata di dalam satu kuliahnya: "Saya mengharapkan para pelajar luar negara (luar dari negara Mesir) lebih bermutu berbanding pelajar-pelajar dalaman. Kamu bermusafir jauh daripada negara kamu untuk menuntut ilmu, sepatutnya kamu lebih bersungguh-sungguh daripada pelajar-pelajar dari Mesir."

Malangnya, kita lebih suka kepada gelaran tanpa menumpukan pada isu pembelajaran. Kita lebih mementingkan kehadiran program persatuan berbanding kelas, lebih banyak belajar bersama rakan-rakan berbanding bersama para guru. Ini realiti yang bukan lagi satu rahsia!

Buat penuntut ilmu, ingatlah pesan Nabi SAW:
«مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الجَنَّةِ»
"Sesiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mudahkan jalannya ke syurga."
(HR At-Tirmizi di dalam Sunan at-Tirmizi: 2646)

Bagaimana Allah mahu memudahkan jalan kita ke syurga sedangkan kita masih lagi mengabaikan pelajaran?

Jadilah tokoh al-Azhar yang berkhidmat pada agama dengan tembakan ilmu. Jangan hanya menyebut-nyebutkan nama tokoh sahaja, tetapi berusahalah supaya kita menjadi seperti tokoh berkenaan.

Al-Azhar tidak melahirkan pengikut semata-mata. Ia mahu melahirkan pemimpin. Ia bukan terbina dengan sekadar kenangan sejarah tetapi ia mahu mencipta sejarah!

Kritikan ini bukan mahu mengatakan saya lebih baik daripada anda. Tetapi mahu melaksanakan tanggungjawab persaudaraan.

Bertaqwalah kepada Allah, wahai sahabat-sahabatku!

____________
Syihabudin Ahmad,
Graduan Universiti al-Azhar.