Zaman ekonomi gawat sekarang, sebahagian mak dan ayah terpaksa dapatkan pendapatan luar biasa bagi menampung sara hidup keluarga. Sebahagiannya terpaksa memecahkan tabung duit syiling dan mencari duit yang diselit-selitkan di bawah bantal dan di poket baju.

Namun, adakah ia berbaloi?

Berpuluh tahun bekerja keras, rupa-rupanya masih belum boleh berehat tenang. Setiap hari membilang detik menerima duit KWSP yang ditangguhkan.

Pandangan peribadi saya sering bertegas: Ibubapa yang telah melepasi umur kerja kuat tidak wajar dibiarkan oleh anak-anak untuk terus memerah keringat. Biarkan mereka rehat di rumah dan bantulah mereka dengan sepenuh tenaga sebagai balasan atas pengorbanan mereka yang telah lalu.

Dahulu, anak bujang lelaki dan perempuan berumur 18 tahun keluar daripada rumah untuk mencari rezeki buat keluarga. Mereka berbangga dengan hadiah kepada mak dan ayah daripada gaji pertama. Mereka tahu tanggungjawab dan budi sekalipun tidak memegang ijazah dan gaji besar.

Jiwa kecil saya sering mengingatkan: Duit bukan segala-galanya di dalam kehidupan. Ramai orang banyak duit tetapi keluarganya berpecah belah. Tetapi ada orang yang bersyukur dengan kehidupannya lalu hidup bahagia bersama keluarga dengan sedikit nasi dan 5 ekor ikan goreng setiap hari.

Bukan duit dan mata wang sebagai ukuran, tetapi nilai kekeluargaan yang dicipta mampu melebarkan senyuman.

#Susah bersama,
#Senang bersama.

Sewaktu kecil dahulu, keluarga saya agak susah. Ayah menjadi nelayan dengan bekalan sampan kecil, Manakala mak pula bermodalkan basikal beroda besar ala-ala zaman jepun menjual makanan petang di sekitar kampung.

Tetapi kami adik beradik sangat gembira dan menjerit kuat apabila melihat ayah pulang dari laut. Kami jeritkan, "Ayah dah balik! Ayah dah balik!" dengan penuh emosi. Selalu juga ayah hulurkan ais kepak (juga dikenali air POP yang beku) untuk dikongsi seorang sebahagian.



Saya juga selalu ikut mak meniaga makanan petang. Mak arahkan saya menjerit: "Laksa! Laksa! Meeeee Goreng!!! Pasemboq! Pasemboq!!" Ia adalah kenangan indah bersama arwah mak yang tidak akan saya lupakan.

Hari ini, kami 13 adik beradik sudah besar panjang. Adik bongsu juga sudah 18 tahun. Mak pula sudah meninggal dunia akibat derita kanser ketika saya di kemuncak musim peperiksaan Universiti al-Azhar, Mesir.

Baca: Pemergian Mak, Suatu Kebahgiaan Untuknya.

Tinggal ayah, bapa dan ibu mertua yang kini ditumpukan usaha untuk membahagiakan mereka. Kerana mereka adalah jantung hati saya dan Mimi Zaty yang masih ada di hadapan mata.. Apabila mereka pergi, kita hanya mampu bercerita tentang kenangan.

{{Sisipan Rohani}}

Ayah dan ibu adalah dua orang yang berada di bawah tanggungjawab kita. Al-Quran dan hadis sentiasa berkempen untuk kita membuat banyak kebaikan kepada mereka.

Berbuat baik ialah sifat ihsan yang tertinggi kepada mak dan ayah.

Rujuk al-Quran:

►al-Isra': 23
►an-Nisa': 36
►Luqman: 14
►al-Ahqaf: 15
►al-`Ankabut: 8

Nabi SAW bersabda: Aku memasuki syurga lalu aku mendengar bacaan (al-Quran) di dalamnya. Aku bertanya, siapakah ini? Mereka (para malaikat) menjawab: Harisah bin an-Nu`man! Lantas Rasulullah bersabda: Demikianlah (contoh) kebaikan buat kalian! Demikianlah (contoh) kebaikan buat kalian!

Perawi: Harisah bin an-Nu`man ialah orang yang paling baik kepada ibunya.

(Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis ini di dalam kitab Khalqu Af`al al-`Ibad tetapi tidak meriwayatkannnya di dalam Sahih al-Bukhari. Hadis ini Sahih menurut al-Hakim dan dipersetujui oleh az-Zahabi)

_____________
Syihabudin Ahmad,
Penulis, Penterjemah,
Pendakwah, serta Perunding Pendidikan.