PANDUAN SOLAT
ketika berMUSAFIR

Disusun oleh: Syihabudin Ahmad
Graduan Universiti al-Azhar (Syariah) | www.usatzusa.com

Apabila bermusafir, umat Islam sentiasa mendapat banyak kesusahan dalam pelbagai segi. Penat, lelah, mengejar masa, dan sebagainya. Maka dengan kemuliaan Islam yang sentiasa meraikan praktikal hidup umatnya, ia mensyariatkan solat Musafir yang akan memberi jalan penyelesaian.

Seseorang disebut bermusafir apabila dia telah keluar daripada tempat tinggalnya dengan jarak dan niat tertentu. Bagi orang musafir, mereka diberi kelonggaran (rukhsah) oleh agama untuk melakukan dua perkara, iaitu solat Qasar dan Jama`.

Bahagian 1: Qasar

Definasi

Qasar daripada sudut bahasa difahami dengan makna pendek. Manakala daripada sudut syariat agama Islam pula ia ditakrifkan sebagai memendekkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat.

Solat yang terlibat ialah: Zohor, Asar dan Isyak sahaja.

Pensyariatan

Menurut Dr. Al-Mutawali `Atiyah Abdul Baqi[[1]], solat Qasar disyariatkan pada tahun keempat hijrah. Namun ada pendapat lain menyatakan ia disyariatkan pada bulan Rabiul Akhir tahun kedua hijrah. Dan pendapat terakhir menyatakan ia disyariatkan selepas 40 hari berlakunya hijrah Nabi SAW.

Solat Qasar ini bersandar kepada firman Allah di dalam surah an-Nisa’ berikut:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنَّ الْكَافِرِينَ كَانُوا لَكُمْ عَدُوًّا مُبِينًا

101. dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengQasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh Yang amat nyata bagi kamu.

(Surah an-Nisa’: 101)

Jika disandarkan kepada ayat di atas, kita mungkin keliru dengan syarat ketakutan yang disebutkan. Tetapi hakikatnya, syarat berkenaan bukanlah satu syarat yang mutlak. Bermaksud, umat Islam juga dibolehkan untuk mengqasarkan solat pada waktu lain seperti musafir.

Isu ini telah diselesaikan dengan pertanyaan Ya`la bin Umayyah[[2]] kepada Umar al-Khattab[[3]]:

قُلْتُ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ: {لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ، إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا} فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ، فَقَالَ: عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتُ مِنْهُ، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ «صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللهُ بِهَا عَلَيْكُمْ، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ»

Aku bertanya Umar bin al-Khattab: Firman Allah “kamu tidaklah berdosa "mengQasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.” Sedangkan kita dalam keadaan aman?

Umar menjawab: “Aku pernah hairan tentangnya sepertimana engkau hairankan. Lalu aku bertanya Rasulullah SAW tentang hal itu. Baginda bersabda: Ia adalah satu sedekah yang disedekahkan oleh Allah untuk kamu. Terimalah sedekah Allah itu.”

(HR Muslim di dalam Sahih Muslim, bilangan: 686)

Hukum Qasar Solat

Ulama berbeza pendapat di dalam hukum mengQasar solat kepada dua pendapat:

Wajib

Pendapat yang menyatakan solat Qasar adalah wajib bersumber daripada mazhab al-Hanafiyah dan Ibnu Hazm. Menurut mereka, apabila seseorang telah bermusafir maka dia hendaklah solat dengan Qasar bagi solat empat rakaat.

Mereka berhujah dengan 3 hadis.

Hadis 1-  Hadis Umayyah seperti di atas.
Hadis 2- Hadis Ibnu Umar berikut:

«صَحِبْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ لاَ يَزِيدُ فِي السَّفَرِ عَلَى رَكْعَتَيْنِ، وَأَبَا بَكْرٍ، وَعُمَرَ، وَعُثْمَانَ كَذَلِكَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ»

Aku pernah bersahabat (bersama) Rasulullah SAW. Baginda tidak menambah solat melebihi 2 rakaat ketika bermusafir. Demikian juga Abu Bakar, Umar dan Uthman radhiyallahuanhum.

(HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 1102)

Hadis 3: Hadis Aishah seperti berikut:

فَرَضَ اللهُ الصَّلَاةَ حِينَ فَرَضَهَا رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ أَتَمَّهَا فِي الْحَضَرِ، فَأُقِرَّتْ صَلَاةُ السَّفَرِ عَلَى الْفَرِيضَةِ الْأُولَى

Pada permulaan, solat diwajibkan dengan dua rakaat. Kemudian ia disempurnakan (ditambah) ketika seseorang berada dalam bermukim. Sedangkan solat musafir ditetapkan sesuai dengan ketentuan pertama (dua rakaat).

(HR Muslim di dalam Sahih Muslim, bilangan: 685)

Sunat

Selain Mazhab di atas, para ulama menyatakan solat Qasar adalah sunat. Hujah yang paling kuat bagi pendapat ini ialah ayat al-Quran di atas yang mendahulukan perkataan (لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ) yang bermaksud kamu tidaklah berdosa... ini ialah ayat yang menyatakan bahawa suruhan itu dalam bentuk meringankan.

Demikian juga sebahagian ulama berpegang bahawa wujud hadis yang menyatakan bahawa Nabi SAW tidak melazimi Qasar di dalam setiap permusafiran baginda:
Daripada Aisyah, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «كَانَ يَقْصُرُ فِي السَّفَرِ وَيُتِمُّ , وَيُفْطِرُ وَيَصُومُ»

Nabi SAW kadangkala mengQasarkan solat ketika musafir, kadangkala memnyempurnakannya. Kadangkala berpuasa, kadangkala tidak.

(HR ad-Daruquthni di dalam Sunan ad-Daruquthni, bilangan 2298. Beliau berkata: Isnad hadis ini Sahih)

Namun hadis tersebut masih lagi dipertikaikan oleh ramai ulama hadis. Ia tidak kuat untuk menjadi hujah. Antaranya, Ibn Qayyim menyatakan di dalam Zād al-Maʿād bahawa hadis berkenaan tidak sahih.

Syeikh Abdullah Ali Bassam membuat kesimpulan setelah beliau memilih pendapat pertama:

“Adalah lebih baik bagi orang yang bermusafir untuk tidak meninggalkan Qasar sebagai mengikuti Nabi SAW serta keluar daripada khilaf orang yang mewajibkannya. Ia adalah yang paling baik menurut ulamak umumnya.”[[4]]

Dalam pendapat kedua ini pula, para ulama berbeza pendapat di dalam menyatakan yang manakah lebih afdhal di buat? Qasar atau itmam? Maka majoriti ulama mengambil pendapat Qasar kerana ia bertepatan dengan hadis-hadis Nabi SAW.

Isu: Benarkah Aisyah Solat Tamam ketika Nabi Solat Qasar?

Apabila dilihat daripada sudut hadis, hadis yang digunakan ialah:

Imam al-Daraquṭni dengan sanadnya merekodkan bahawa Aisyah bercerita:

خَرَجْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي عُمْرَةِ رَمَضَانَ , فَأَفْطَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصُمْتُ وَقَصَرَ وَأَتْمَمْتُ , فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأَبِي وَأُمِّي أَفْطَرْتَ وَصُمْتُ وَقَصَرْتَ وَأَتْمَمْتُ , فَقَالَ: «أَحْسَنْتِ يَا عَائِشَةُ»

“Saya menunaikan umrah bersama Nabi S.A.W. pada bulan Ramadan. Beliau berbuka tetapi saya berpuasa. Beliau solat qasar tetapi saya solat tamam”. Saya bertanya: “Demi Ibubapaku, kamu berbuka sedangkan saya berpuasa, kamu solat qasar sedangkan saya solat tamam?” Jawab beliau:  “Bagus wahai ‘Aishah”.

(HR al-Daraquṭni di dalam Sunan: 2293)

Al-Daraquṭni dan al-Nawawi menyatakan hadis ini hasan. Namun ramai ulama yang lain seperti Muhammad bin Abdul Hadi, Al-Zahabi, Ibn al-Mulaqqin dan lain-lain menyatakan hadis ini Munkar kerana Nabi Muhammad tidak pernah melakukan umrah ketika bulan Ramadhan. Justeru, ia tidak boleh dijadikan hujah yang kukuh.

Hikmah Pensyariatan Qasar

Hikmah Solat Qasar
Mengurangkan kesukaran ketika musafir
Memudahkan manusia menunaikan hak Allah S.W.T.
Menggalakkan manusia menunaikan solat fardu
❹ Menghilangkan alasan bagi orang musafir dari meninggalkan solat wajib

Tempat bermula Solat Qasar

Dia hanya dibenarkan solat qasar selepas keluar dari sempadan kampungnya.
Dia boleh solat qasar selagi tidak memasuki sempadan kampungnya.
Dia boleh solat qasar selagi tidak berniat untuk bermukim di sesuatu kawasan.

Syarat Sah Qasar

Sebelum seseorang melakukan solat Qasar, beliau hendaklah memahami dan memenuhi syarat-syarat berikut:

Dia mesti melaksanakan solat Qasar ketika di dalam waktu musafir. Tidak boleh dilaksanakan sebelum atau setelah tamat bermusafir.[[5]]

Jarak perjalanan mesti lebih 16 farsakh atau bersamaan 80.540KM.[[6]] disebut juga dengan istilah 2 Marhalah. 1 marhalah ialah perjalanan pada sepanjang waktu siang. Maka 2 marhalah ialah perjalanan 1 siang dan malam, bersamaan 4 burud.
Jarak perjalanan ini diambil daripada hadis Ibnu Abbas berikut:

Nabi SAW bersabda:

يَا أَهْلَ مَكَّةَ، لَا تَقْصُرُوا الصَّلَاةَ فِي أَدْنَى مِنْ أَرْبَعَةِ بُرُدٍ مِنَ مَكَّةَ إِلَى عُسْفَانَ

Wahai penduduk Mekah. Janganlah kamu mengQasar solat apabila perjalanan kurang daripada 4 Burud daripada Mekah sehingga `Usfan.

(HR al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra, bilangan: 5404, Isnad Dhoif)

Berniat untuk bermusafir sejak awal perjalanan.

Syarat niat:

Niat itu hendaklah telah dimulakan daripada awal. Sekiranya tidak, maka permusafirannya tidak melayakkan untuk Qasar sekalipun telah mengelilingi bumi.

Mempunyai hak menentukan niat. Bermaksud, dia tidaklah seperti askar yang hanya mengikut kemana arah yang disuruh oleh pemimpinnya tanpa mengetahui jarak dan lokasi spasifik.

Perjalanan yang ditempuh adalah patuh syariah.

Jika perjalanan tersebut dengan niat maksiat atau ingin melakukan perkara bidaah dan mungkar, maka permusafirannya tidak layak untuk mendapat keringanan Qasar solat.

Jika dia memulakan permusafiran dengan niat maksiat tetapi bertaubat dan mengubah niatnya dalam perjalanan, dia boleh mengqasarkan solat selepas itu.

Kaedah fiqh menyebut:

الرُّخْصَةُ لَا تُنَاطُ بِالْمَعَاصِي

Rukhsoh itu tidak boleh dihubungkan dengan kemaksiatan

Ketika bersolat, dia tidak menjadi makmum kepada imam yang bermukim.

Jika dia menjadi makmum kepada imam bermukim, maka dia hendaklah menyempurnakan solat sepertimana imam tersebut tanpa mengira dia tersilap ataupun tidak. Dia hendaklah mengikut imam berkenaan daripada awal sehingga habis.

Namun bagi orang yang bermukim pula, mereka harus untuk bersolat dibelakang imam yang Qasar. Setelah imamnya selesai, maka makmum bangun untuk menyempurnakan solat.

Penghalang Qasar

Perkara-perkara berikut hendaklah diberi perhatian kerana apabila ia muncul, maka solat Qasar menjadi terhalang:

Niat tinggal di suatu tempat selama 4 hari atau lebih kecuali hari bertolak pergi dan bertolak pulang.

Permasalahan ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam karangannya ‘Mihaj al-Tolibin’, menurut beliau:

وَلَوْ نَوَّى إقَامَةُ أَرْبَعَةِ أيَّامِ بِمَوْضِعٍ اِنْقَطَعَ سَفَرِهِ بِوُصُولِهِ، وَلَا يَحْسَبَ مِنهَا يَوْمَا دُخُولِهِ وَخُرُوجِهِ عَلَى الصَّحِيحِ

“Jika seseorang berniat mukim(iqamah) selama 4 hari di destinasi maka terputus (hukum) musafirnya dengan ketibaannya (di destinasi) dan tidak dikira dari tempoh itu hari dia masuk (ke destinasi) dan keluar (dari destinasi) menurut pendapat yang sahih.”

Menurut kenyataan Imam Nawawi di atas, tempoh seseorang itu mendapat status mukim ialah 4 hari, jika seseorang itu berazam atau berniat untuk menetap (contohnya) Kota Bahru selama 3 hari atau kurang dari itu, maka dia masih boleh melakukan solat musafir selama tempoh itu walaupun sudah sampai atau berada di destinasi. Ini kerana dia masih dalam keadaan musafir.

Pendapat ini digunapakai oleh Jumhur melainkan al-Hanafiyah. Mereka berhujah sehingga 15 hari. Setelah tempoh 15 hari berkenaan, barulah seseorang itu dikira sebagai orang mukim dan tidak layak lagi untuk bermusafir.

Isu: Musafir Tanpa Tahu Bilakah Urusan Akan Selesai

Keadaan di atas hanya terhad kepada orang yang bermusafir dan tahu bilakah tarikh pulangnya. Tetapi bagi orang yang tidak pasti bilakah dia boleh pulang atau bilakah kerjanya akan selesai, maka ulama berbeza pendapat.

Pendapat jumhur: Dia boleh Qasar solat sehingga urusannya selesai. Sekalipun urusan itu mengambil masa bertahun-tahun.

Ini berdalil kepada hadis Jabir bin Abdullah berikut:

أَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتَبُوكَ عِشْرِينَ يَوْمًا يَقْصُرُ الصَّلَاةَ

Nabi SAW pernah tinggal serta mengQasar solat di Tabuk selama 20 hari.

(HR Ahmad di dalam Musnad Ahmad, bilangan: 14139, Isnad Sahih-Al-Arnaouth)

Abdul Rahman bin Miswar berkata: Kami pernah bersama Sa`ad bin Malik (di beberapa buah kampung di Syam) selama 2 bulan, beliau Qasar sedangkan kami menyempurnakan solat.- Musanaf Ibnu Abi Syaibah: 8200

Hafs bin Ubaid menyebutkan bahawa Anas bin Malik tinggal di Syam selama 2 tahun, dia bersolat musafir sepanjang tempoh berkenaan.

Pendapat Syafiiyah: Dia hanya boleh Qasar selama 18 hari sahaja. Mereka berhujah dengan hadis Jabir bin Abdullah di atas. Menurut mereka ada riwayat lain menyatakan 18 hari, dan itu adalah had maksima untuk Qasar.

Telah tiba di tempat asal dia memulakan permusafiran dengan tujuan untuk pulang.

Membatalkan niat musafir.

Solat Jamaah

Jika orang musafir berimamkan orang muqim, dia wajib solat tamam empat rakaat.

Orang muqim dibenarkan mengikuti imam musafir tetapi dia wajib menambah dua lagi rakaat yang berbaki. Imam musafir pula perlu memberi isyarat supaya makmum menambah rakaat mereka bagi menghilangkan syak wasangka.

‘Umran bin Husayn berkata:

غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَشَهِدْتُ مَعَهُ الْفَتْحَ ، فَأَقَامَ بِمَكَّةَ ثَمَانِي عَشْرَةَ لَيْلَةً لَا يُصَلِّي إِلَّا رَكْعَتَيْنِ ، وَيَقُولُ : يَا أَهْلَ الْبَلَدِ صَلُّوا أَرْبَعًا فَإِنَّا قَوْمٌ سَفْرٌ

“Aku berperang bersama-sama Rasulullah SAW. Aku turut serta dalam peristiwa pembukaan kota Mekah. Baginda tinggal di sana selama 18 hari dengan bersolat dua rakaat. Selesai dari solat, beliau berkata: Wahai penduduk Mekkah, bangun dan sempurnakan solat empat rakaat kalian. Kami masih bermusafir”

(HR Abu Daud: 1229, Dhoif).

Hadis ini Dhoif tetapi menurut Ibn Taimiyyah di dalam Majmu` al-Fatawa, kata-kata berkenaan dituturkan oleh Umar al-Khattab ketika bersolat di perkarangan Kaabah.

Isu: Menggantung Niat

makmum diharuskan menggantungkan niat qasar jika diketahui bahawa imam itu seorang musafir, seperti berniat, “aku berniat qasar jika imam mengqasarkan solat, atau berniat tamam jika imam mentamamkan solat”.

Penggantungan niat ini dijelaskan oleh Imam Nawawi di dalam kitab “Raudah al-Tolibin”:

 “Jika seseorang tidak tahu niatnya(imam), maka dia menggantungkan ia(niat), maka dia berniat “Jika dia(Imam) qasar solat maka aku akan qasarkan solat dan jika dia melengkapkan(tamam) maka aku akan tamamkan”. Maka di sini ada dua pendapat (di kalangan ulama mazhab Syafi’ie), yang paling sahih ialah diharuskan menggantungkan niat”.

Manakala jika makmum syak atau tidak pasti samaada imam itu bermusafir atau tidak maka dia tidak boleh menggantungkan niat, maka wajib menyempurnakan solat jika ingin terus bermakmumkan imam itu. Ini kerana tiada bukti yg menampakkan dia itu seorang musafir, jadi apabila tiada bukti maka kembali pada hukum asal iaitu seseorang itu pada asalnya dikira sebagai bermukim bukan musafir, jadi orang mukim tiada cara lain melainkan tamam sahaja.

Apa pun secara kebiasaannya, sesiapa yang solat di RnR pastinya adalah musafir maka boleh menggantungkan niat seperti di atas. Jadi anda boleh meneruskan solat berjemaah, jika imam yang musafir itu mengqasarkan solat maka anda juga turut mengqasarkannya, jika solat itu ditamamkan oleh imam, maka anda wajib mentamamkan solat atas dasar mengikuti imam.



Bahagian 2: Jama`

Definasi

Jama` daripada sudut bahasa bermaksud kumpul. Apabila perkataan ini mahu difahami daripada sudut syariat agama Islam, maka ia ditakrifkan sebagai: Menggabungkan dua solat di dalam satu waktu dengan niat tertentu sama ada di waktu pertama (taqdim) atau kedua (ta’khir).

Solat yang terlibat ialah: Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak sahaja.

            Hikmah

Solat Jama` disyariatkan bagi mengangkat kesusahan daripada umat Islam. Ia juga bertujuan untuk memastikanumat Islam dapat menjaga solat Jemaah pada isu-isu tertentu.[7]

Penyariatan

Ibnu Abbas bercerita:

«كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ»

Rasulullah SAW menJama` antara solat Zohor dan Asar sekiranya berada di dalam perjalanan, serta juga menJama` di antara solat maghrib dan Isyak.

(HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 1107)

Keadaan-keadaan yang membolehkan Jama`

Musafir

Solat Jama` ketika bermusafir boleh dilakukan dengan syarat berikut:

Ia adalah permusafiran yang membolehkan Qasar. Pendapat ini dipegang oleh jumhur melainkan Malikiyah yang menyatakan bahawa apa sahaja permusafiran boleh dilakukan Jama` sekalipun tidak sejauh 80 KM.

Solat berkenaan dibuat secara berturut-turut. Dengan maksud, seseorang tidak menunggu untuk mendirikan solat kedua dengan waktu yang panjang sehingga ia dikira terlalu lama oleh uruf. Kadarnya diukur dengan lama solat 2 rakaat.

Melaksanakan dengan tertib. Iaitu mendahulukan solat yang pertama dahulu sekalipun di dalam waktu yang kedua.

Apabila mahu melakukan solat Jama` Ta’khir, maka diwajibkan berniat melakukannya pada waktu pertama.

Hujan, Salji, Dingin, Selut Tebal, Angin Kencang Yang Amat Sejuk, Putiung Beliung, dan sebagainya:

Harus untuk solat Jama` bagi hal-hal tersebut dengan syarat berikut:

Hanya boleh dilakukan pada solat Jama` taqdim sahaja. Melainkan Hanabilah yang mengharuskan juga pada Jama` Ta’khir.

Hujan atau perkara yang disebutkan diatas telah mula berlaku pada waktu solat pertama.

Hendaklah solat ini didirikan di masjid. Melainkan al-Hanabilah: Mereka menharuskan untuk melakukan Jama` ini sekalipun di rumah secara bersendirian.

Berturutan antara dua solat tanpa ada pemisah yang terlalu lama.

Dahulukan solat pertama terlebih dahulu.

Isu di atas disandarkan kepada kenyataan Ibnu `Abbas berikut:

" أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِالْمَدِينَةِ سَبْعًا وَثَمَانِيًا: الظُّهْرَ وَالعَصْرَ وَالمَغْرِبَ وَالعِشَاءَ "، فَقَالَ أَيُّوبُ: لَعَلَّهُ فِي لَيْلَةٍ مَطِيرَةٍ، قَالَ: عَسَى

“Nabi SAW bersolat di Madinah tujuh dan 8 (rakaat): Zohor dengan Asar, Maghrib dengan Isyak.” Ayub bertanya: Mungkinkah ia pada malam hujan? Ibnu`Abbas menjawab: Boleh jadi begitu.

(HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 543)

Sakit atau Uzur.

Menurut Hanabilah, orang-orang yang mempunyai kesukaran ini boleh melaksanakan solat Jama` sama ada taqdim atau ta’khir. Keadaan ini turut terpakai kepada orang yang istihadhah, Silsil Bul, orang yang bimbang akan ancaman kepada diri, harta dan maruah, atau bimbang jatuh kepada kemaksiatan apabila tidak Jama` atau petugas perubatan yang perlu berada di bilik pembedahan.

Keadaan ini jelas bertepatan dengan hadis Abu Zubair daripada Said bin Jubair daripada Ibnu Abbas berikut:

«صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ» قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: «أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ»

Rasulullah SAW bersolat Zohor dan Asar secara Jama` di Madinah tanpa berada di dalam ketakutan juga bukan dalam keadaan musafir.

Abu Az-Zubair berkata: Aku bertanya Sa`id: Kenapa Rasulullah melakukannya? Dia menjawab: Aku bertanya Ibnu Abbas sepertimana engkau bertanyaku lantas dia menjawab: Baginda mahu supaya tidak menyusahkan sesiapapun daripada kalangan umatnya.

(HR Muslim, di dalam Sahih Muslim, Bilangan: 705)

Maksud menyusahkan ialah apabila ada keuzuran.

Isu: Jama` Tanpa Uzur

Al-Ahdal ditanya: Seseorang telah menyatakan harus untuk Jama` tanpa sebab musafir, sakit atau hujan. Adakah boleh mengikuti pendapat ini?

Al-Ahdal menjawab: Penulis berkenaan telah menulis satu artikel tentang hal ini kemudian dia meninggalkan pendapat berkenaan. Aku mempunyai jawapan di dalam fatwa ini yang menjelaskan bahawa tidak boleh beramal dengan pendapat berkenaan. Telah jelas bahawa pendapat itu sangat lemah apabila disandar kepada sunnah bahkan ia jelas batil apabila mahu dipasakkan kepada sunnah yang benar. Imam asy Syaukani mempunyai sebuah risalah berjudul: Tasynif as-Sam` bi Ibtal adillatil Jama`. Kesimpulannya: Tidak boleh mengikut pendapat ini.[[8]]

WallahuA`lam

Senarai Rujukan:

Fiqh al-`Ibadat, Dr. Al-Mutawali `Atiyah Abdul Baqi, Silibus Pengajian Fikah Mazhab Syafii Universiti al-Azhar Tahun 1, 2009.

Umdatul Mufti wal Mustafti, Al-Ahdal, Jilid 1, Darul Minhaj, Jedah, Arab Saudi.2008

Taisir al-`Allam Syarh Umdatul Ahkam, Syeikh Abdullah Ali Bassam, Darul Ibnu Hazm, Beirut, Lubnan. 2004.

Al-Fiqh al-Manhaji, Dr. Mustafa al-Bugha, Darul Qalam, Damsyiq, Syria. 2012

Kitab as-Solah Ala Mazahib al-Arba`ah, Abdul Qadir Ar-Rahbawy, Darus Salam, Kaherah. 2013.




[1] Pensyarah Fikah Universiti al-Azhar, cawangan Dumyat 2009.
[2] Seorang sahabat Nabi yang memeluk Islam pada Hari Pembukaan Kota Mekah.
[3] Meninggal pada 26 Zulhijjah 23H / 7 November 644M.
[4] Taisir `Allam Syarah Umdatul Ahkam, ms 256.
[5] Fiqh Manhaji, Jilid 1, 187
[6] Di dalam Fiqh al-Manhaji disebutkan bahawa jarak minima ialah 81 KM.
[7] Al-Mazhab fi Ḍhabṭ masāil al-Mazhab, halaman 283.
[8] Umdatul Mufti wal Mustafti oleh al-Ahdal. Ms 200