Header Ads

Book an appointment with SetMore

[[Saya Berlepas Diri Dengan Manhaj Azhari Jika...!!]]

Seorang sahabat menjelaskan tentang Manhaj Azhari. Katanya "Seperti yang dinyatakan Syeikh Ali Jumaah: Asyaariy Aqidah, Sufiy Attawajjuh, Tamazhub fi al-fiqh. Mustanir al-aql."

Berikut ialah jawapan saya:


Mewajibkan Azhari untuk terhad kepada taqlid mazhab aqidah Asyairah adalah suatu kejumudan bagi saya. Ketika di Dumyat dahulu, pensyarah Aqidah saya Dr. Hisham Abdul Aziz mengajar banyak perbandingan mazhab Aqidah. Ia membanding-bandingkan sumbangan serta kekurangan setiap aliran. 

Sehingga saya suka dengan kesimpulan bahawa aqidah orang awam tidak sesuai dihadkan kepada Asyairah, Usul Salasah atau sebagainya. Tetapi aqidah diberi faham dengan perbahasan yang sesuai dengan kemampuan berfikir masyarakat setempat. 

Itulah manhaj Universiti Al Azhar yang saya anggap amat bertepatan dengan kaedah ilmuan. 

Jika anda mahu hadkan juga kepada Asyairah, maka saya berlepas diri daripada label Azhari. 


Daripada sudut tasawwuf, saya memahami ia dengan kefahaman akhlak. Maka seorang ilmuan hendaklah menonjolkan sisi tersebut, jika tidak maka mereka tidak layak bergelar ilmuan. 

Tiada kewajipan untuk taqlid pada mana-mana tarikat menurut guru tafsir saya Dr. Mohsin Asy Syazuli. 

Di Universiti Al Azhar Dumyat syukbah Syariah, tiada silibus khas untuk tarikat atau akhlak. Tetapi kami diajar bahawa akhlak ialah praktis bukan sekadar tulisan. 

Saya masih ingat lagi, guru Fiqh Muqaran kami tidak akan beri peluang pelajar lambat untuk masuk ke kelas kerana katanya; Kehadiran ke kuliah itu wajib dan perlu tepat waktunya. Itu akhlak Islam yang kita perlu buat. 

Jika anda mahu saya terikat dengan mana-mana pandangan atau aliran kesufiyan atau tarikat, lalu menyandarkan kepada Manhaj Azhar, maka saya berlepas diri dengannya. 


Daripada sudut mazhab Fikah. Saya diajar dengan kefahaman-kefahaman mazhab. Maka saya dengan rendah diri memilih untuk menjadi muqallid mazhab asy Syafii yang tidak jumud dan beku. 

Di Universiti Al Azhar Dumyat, saya mempunyai guru yang paling ramai di dalam bidang Fikah. Sudah semestinya, saya di dalam syu'bah Syariah. 

Maka, saya dan rakan rakan dilazimi dengan kepadatan ilmu Fikah Asy Syafiiyah disamping tambahan fikah perbandingan yang banyak sekali.

Kami mengutip pelbagai pendapat daripada Mazhab yang Empat, Salafiyyun, As Sauri sehingga kepada Zohiriyah bahkan Ja'fariyah! 

Maka saya simpulkan bahawa, fikah mazhabi itu penting bagi setiap orang tetapi ia perlu keluar mendapatkan pendapat lain apabila berlaku kesukaran kepada masyarakat kerana kita mungkin akan berjumpa penyelesaian di dalam mazhab lain. 

Kami diajar ilmu rajih wal marjuh. Maka ia perlu dipraktikkan bagi mengangkat semula wajah Islam yang hidup di dalam masyarakat. Ia praktikal, bukan sekadar megah di dalam kitab-kitab. 

Jika taqlid mazhab tanpa mencampur sekalipun keadaan mendesak itu dinilai di bawah label Azhari, maka saya berlepas diri dengannya. 

Penutup

Al-Azhar ialah nama besar yang mengumpulkan para ilmuan yang pakar di dalam pelbagai bidang pengkhususan. Legasinya diteruskan dengan menyebarluaskan ilmu. 

Hemat saya menyatakan bahawa label itu dan ini tidak memberi apa-apa makna jika hakikatnya tidak seperti yang dibayangkan. 

WallahuA'lam

No comments

Powered by Blogger.