Selepas kuliah Sirah Nabi menggunakan kitab Al-Rahīq al-Makhtūm di Masjid al-Mustaqim Ampang, saya diberitahu oleh salah seorang hadirin:
“Kalau riwayat Nabi bunuh diri ini sampai kepada puak-puak orentalis, pasti mereka suka!”

Apabila pulang, saya tidak henti berfikirkan perkara ini. Saya menyemak laman-laman web, sememangnya hakikat memperlekehkan Nabi SAW telah ada.[1] Lalu saya mula menyemak kembali kitab Al-Rahīq al-Makhtūm yang telah diolah semula oleh Syeikh Sofiyurrahman sebelum beliau meninggal. Maka saya dapati penemuan berikut:

❶ Al-Syeikh telah membuang riwayat Nabi cuba membunuh diri daripada riwayat at-Thobari dan Ibnu Hisyam.

Beliau telah membuang riwayat berikut:

Tabari dan Ibnu Hisyam juga membawakan riwayat yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad keluar dari Gua Hira setelah baginda dikejutkan dengan kedatangan wahyu. Baginda pulang menemui isteri baginda yang tinggal berdekatan dengan Gua Hira, seterusnya masuk ke kota Mekah. Dalam riwayat Tabari terdapat petunjuk tentang alasan yang menyebabkan nabi keluar dari Gua Hira, iaitu:

Rasulullah s.a.w. bersabda selepas menyebutkan awal permulaan wahyu, “Tidak ada makhluk Allah yang paling aku benci selain daripada penyair dan orang gila. Aku tidak mampu memandang kedua-duanya. Namun dengan kejadian ini, boleh jadi orang Quraisy akan memanggilku penyair dan orang gila untuk selama-lamanya. Aku menjadi sangat ingin mendaki puncak gunung yang tandus, lalu melompat dari atasnya, kemudian mati dan boleh berehat dengan tenang. Aku keluar dengan segera untuk melakukannya.

Namun, baru sampai di tengah gunung aku mendaki, aku mendengar satu suara dari langit yang mengatakan, ‘Hai Muhammad, kamu adalah utusan Allah dan aku Jibril.’ Maka kuangkat kepalaku melihat ke langit. Kelihatan olehku Jibril dalam rupa lelaki yang putih bersih dengan kedua-dua kakinya memijak ufuk langit. Dia berkata lagi, ‘Hai Muhammad, kamu adalah utusan Allah dan aku Jibril.’

Kuhentikan langkah kakiku. Kupandang Jibril. Disebabkan dia, aku jadi lupa keinginanku tadi sehingga aku tidak bergerak ke hadapan dan tidak pula berundur. Aku cuba memalingkan wajahku daripada Jibril dengan melihat ufuk langit yang lain. Namun begitu, aku melihat ke arah yang lain, masih juga aku terlihat Jibril sama seperti tadi. Aku hanya boleh berdiri kaku, tidak dapat bergerak ke hadapan dan tidak pula mundur.

Khadijah menyuruh orang ramai untuk mencariku. Namun begitu, mereka tidak menemuiku. Bahkan, mereka mencariku hingga ke Mekah, lalu kembali semula menemui Khadijah, sementara aku masih berdiri di tempatku. Selepas itu Jibril menghilang dan aku pun pulang.[2]

Kutemui Khadijah lalu aku duduk di atas pehanya dan bersandar ke badannya. Dia lantas bertanya, ‘Wahai Abu Qasim, kamu dari mana? Demi Allah, aku telah menyuruh orang ramai untuk mencarimu hingga ke Mekah.’

Aku terus menceritakan apa saja yang kualami kepadanya. Khadijah dengan lembut berkata, ‘Berbahagialah, wahai anak bapa saudaraku dan teguhkanlah hatimu. Demi Zat yang jiwa Khadijah berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku berharap engkau menjadi nabi umat ini’.” [3]

Selepas itu Khadijah pergi menemui Waraqah dan memberitahu kejadian tersebut kepadanya. Waraqah berkata, “Maha Suci Allah. Maha Suci Allah. Demi Zat yang jiwa Waraqah berada di tangan-Nya, sesungguhnya telah datang kepadanya (Muhammad) namus akbar (tanda kenabian yang besar) yang dulu pernah datang kepada Musa. Sesungguhnya dia adalah nabi umat ini. Sampaikanlah kepadanya agar dia meneguhkan hatinya.”

Selepas itu Khadijah kembali dan menyampaikan apa yang dikatakan oleh Waraqah kepada Rasulullah s.a.w.. Tatkala baginda meninggalkan isterinya itu dan pergi ke Mekah, baginda bertemu dengan Waraqah. Setelah mendengarnya daripada Rasulullah s.a.w., Waraqah berkata, “Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguh kamu adalah nabi umat ini. Telah datang kepadamu namus akbar yang dulu pernah datang kepada Musa.”[4]

❷ Al-Syeikh mengekalkan riwayat al-Bukhari berikut:

 “Wahyu terputus beberapa waktu sehingga Rasulullah s.a.w. bersedih. Disebabkan itu, berkali-kali baginda lari untuk menjatuhkan diri ke puncak gunung. Setiap kali baginda sampai di puncak gunung dan telah bersiap-siap untuk melompat, Jibril menampakkan diri dan berkata, ‘Hai Muhammad, sesungguhnya kamu benar-benar seorang rasul.’ Mendengarkan suara itu, perasaannya menjadi tenang dan jiwanya pun tenteram sehingga baginda pulang. Namun begitu, setelah pulang dari sana, wahyu tidak juga turun. Keesokan harinya baginda melakukan hal yang sama. Tatkala sampai di puncak gunung, Jibril kembali menampakkan diri dan mengatakan seperti apa yang dikatakan tadi.”[5]

Analisa Awal:

Daripada nas yang ditinggalkan oleh Al-Syeikh, kita dapati kemungkinan al-Syeikh telah menemui kritikan terhadap riwayat at-Ṭobari dan Ibnu Hisyam. Lalu beliau membuang riwayat berkenaan. Tetapi dia mengekalkan riwayat yang ada di dalam Ṣahih al-Bukhari dengan kemungkinan ia ada kebenaran. Tetapi ia masih lagi bersikap berhati-hati dengan menyebutkan muqaddimah berikut:

“Selama hari-hari terhentinya wahyu, Rasulullah s.a.w. berdiam diri dengan perasaan sedih dan hilang kegembiraan. Jiwa baginda diselimuti kebimbangan dan goncangan yang dahsyat.”

Memang benar Nabi SAW merasa sedih. Ini bertepatan dengan kitab Sahih al-Bukhari, bilangan: 4953, Kitab at-Tafsir, bab Firman Allah: Iqra’ bismi rabbika al-lazi khalaq.

“... Tidak lama kemudian Waraqah meninggal dan wahyu terhenti sehingga Rasulullah SAW bersedih.”

Saya menyangka bahawa al-Syeikh tidak menyebutkan Nabi cuba membunuh diri di dalam tulisannya kerana bersikap berhati-hati. Bahkan, al-Syeikh tidak memanjangkan isu ini sepertimana yang dia lakukan di dalam isu tempoh Nabi berada di Gua Hira’

Maka, kita berharap itulah keadaan al-Syeikh. Beliau telah meninggal dunia, lalu bersangka baik adalah lebih baik.

Kemusykilan

Perbuatan membunuh diri ialah dosa besar di dalam agama Islam. Bahkan ia adalah amalan terkutuk yang difahami oleh semua orang yang berakal waras sekalipun tidak menerima agama. Tetapi di dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari, bilangan 6982, dinyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW cuba membunuh diri ketika berada dalam tempoh wahyu terhenti.

Benarkah riwayat berkenaan?

Keputusan Awal

Berdasarkan kepada sangkaan awal, saya menyatakan bahawa cerita berkenaan tidak sahih kerana ia bertepatan dengan ciri-ciri hadis palsu iaitu bertentangan dengan al-Quran dan Hadis-hadis sahih yang menyatakan kejian terhadap pelaku bunuh diri.

Firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

29. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

(An-Nisa’: 29)

Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَهُوَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ يَتَرَدَّى فِيهِ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَحَسَّى سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ، فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ يَجَأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا»

Sesiapa yang membunuh diri dengan cara mencampakkan diri dari atas bukit, dia akan berada di dalam neraka jahannam secara kekal dan berterusan mencampakkan dirinya selama-lamanya. Sesiapa yang membunuh diri dengan meneguk racun, maka racun akan terus berada di tangannya dan dia akan meneguk racun berkenaan di dalam api neraka selama-lamanya. Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu objek tajam maka objek itu akan terus berada di tangannya di dalam api neraka dan akan kekal bersamanya dan terus menikamnya selama-lamanya.

(HR Al-Bukhari: 5778)

Maka, setelah ayat al-Quran dan Hadis sahih telah menguatkan tentang keburukan bunuh diri, maka ia tidak sesuai dilakukan oleh Nabi SAW yang sentiasa menjadi pedoman untuk perkara kebaikan dan manusia yang terbaik di dalam memahami akhlak manusia terpilih.

Kritikan Hadis

Bagi memudahkan penilitian, saya akan bahagikan analisa kepada 4 bahagian.

1. Rekod hadis
2. Sanad hadis
3. Isi kandungan pertama hadis 6982
4. Isi kandungan kedua hadis 6982

Bahagian 1: Rekod Hadis

Di dalam sub bab: Jibril Menurunkan Wahyu, Al-Syeikh Sofiyurrahman telah memasukkan hadis riwayat `Aisyah yang menceritakan tentang peristiwa penurunan wahyu. Beliau mengekalkan hadis ini di dalam penilaian semula yang berakhir pada 26 Ogos 1994.

Pada bahagian nota kaki hadis berkenaan, al-Syeikh telah menulis:

“Sahih al-Bukhari, halaman (3). Al-Bukhari telah merekodkan hadis ini di dalam kitab at-Tafsir dan at-Ta`bir ar-Ru’ya dengan ada sedikit perbezaan pada lafaz. Juga terdapat di dalam bilangan (3392, 4953, 4955-4957, 6982). Imam Muslim pula merekodkan di dalam Kitab al-Imān (252).”

Apakah perbezaan yang dimaksudkan oleh al-Syeikh?

Untuk menjawab persoalan tersebut, saya  perincikan dengan beberapa bahagian kisah berikut:

Kisah ①: Aisyah bercerita bahawa permulaan sebelum Nabi menerima wahyu ialah baginda mengalami mimpi yang berupa mimpi-mimpi benar yang terang seperti sinaran falak subuh.

Kisah ②: Setelah itu, Nabi merasa suka untuk bersendiri di Gua Hira’. Dia diberi bekal oleh Khadijah. Apabila bekalan telah habis, Nabi akan pulang ke rumah untuk mengambil bekal lain kemudian kembali semula ke Gua Hira’.

Kisah ③: Di Gua Hira’ Nabi bertemu seorang malaikat yang menyuruh baginda membaca selama 3 kali. Dalam keadaan itu Nabi berkata “Aku tidak tahu membaca.” Kemudian diturunkan ayat 1-5 surah Al-`Alaq.

Kisah ④: Rasulullah berasa gementar lalu pulang kepada Khadijah.

Kisah ⑤: Dia berkata: Selimutkanlah aku. Maka khadijah menyelimutkan Nabi. Setelah kegelisahan Nabi reda, maka baginda berkata kepada Khadijah, “Apa sudah jadi pada diriku? Lalu khadijah mengiktiraf Nabi dengan kebaikan yang terkenal pada diri baginda.

Kisah ⑥: Khadijah membawa Nabi bertemu Waraqah bin Naufal yang merupakan seorang tokoh ilmuan beragama Nasrani. Apabila Nabi bercerita tentang peristiwa dia bertemu malaikat, maka Waraqah berkata: Dia ialah An-Namus yang datang kepada Musa. Sekiranya Waraqah masih hidup, dia akan bersama membela Nabi ketika kaumnya menghalau Nabi.

Kisah ⑦: Setelah bertemu Waraqah, Wahyu terhenti beberapa ketika dan nabi menjadi sedih.

Kisah ⑧: Diceritakan bahawa Nabi pergi ke gunung untuk mencampakkan diri.

Rujuk perbezaan kandungan kisah berkenaan di dalam jadual berikut:


Kisah 1
Kisah 2
Kisah 3
Kisah 4
Kisah 5
Kisah 6
Kisah 7
Kisah 8
3392



/

/


4953
/
/
/
/
/
/
/

4955
/

/





4956
/

/





4957




/



6982
/
/
/
/
/
/
/
/

Dapatan maklumat: Daripada rajah di atas, maka kita dapat simpulkan bahawa kisah Nabi pergi ke gunung untuk mencampakkan diri hanya terdapat pada hadis bilangan 6982. Manakala pada nombor lain tidak diceritakan kisah ini.

Demikian juga, Imam Muslim tidak merekodkan kisah berkenaan di dalam hadis bilangan 252/160. Kitab al-Iman, Bab Permulaan Wahyu.

Namun, intipati kisah berkenaan terdapat di dalam riwayat yang lain. Antaranya ialah:

► Musnad Imam Ahmad (25959), dan Sahih Ibnu Hibban (33) Syeikh Syu`aib al-Arnaouth berkata: Isnad hadis ini sahih bertetapatan dengan syarat al-Syaikhain melainkan kata-kata berikut: “Sehingga Rasulullah SAW merasa sangat sedih (dan seterusnya)...” ia ialah balaghāt al-Zuhri, ianya wahīyah (lemah).

► Musannaf Abdul Razzaq   (9719), wujud keterlibatan Ma`mar. Al-Iman oleh Ibnu Mandah ( 683), wujud keterlibatan Ma`mar.

► Al-Ṭobaqāt al-Kubrā          1/196   Di dalam sanadnya terdapat Muhammad bin `Amrū al-Waqidi, Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan: Matruk sekalipun luas ilmunya.” Begitu juga terdapat perawi bernama Ibrahim bin Muhammad iaitu Ibnu Abi Yahya yang disebut oleh Al-Hafiz: Matruk.

► Tārikh al-Ṭobarī (1/532-533), Di dalam matan hadisnya menyatakan Nabi bertemu Jibril dalam mimpi, bukan jaga! Ini menunjukkan kemunkaran hadis ini.

Bahagian Kedua: Sanad Hadis

Di dalam sanad hadis al-Bukhari yang telah kita sebutkan, hanya 2 tempat sahaja wujud keterlibatan perawi bernama Ma`mar.

Pada hadis bilangan 4956, ia menyebutkan hadis berikut:

Perkara pertama yang dialami oleh Rasulullah SAW ialah mimpi yang benar, datang padanya malaikat lalu ia berkata: Iqra’ bismirabbika...(Al-`Alaq; 1-5)

Hadis berkenaan tiada isu kerana ia juga diriwayatkan di dalam bilangan yang lain. Atau lebh tepat, ia juga diriwayatkan oleh anak murid al-Zuhri yang lain.

Namun, riwayat Ma`mar pada bilangan 6982 terdapat 2 kecacatan (`Illah).

① Ma`mar adalah perawi yang sahih, tetapi dia bersendirian di dalam meriwayatkan hadis ini. Terdapat tambahan kisah yang tidak ada pada riwayat yang lain. Di dalam riwayat `Uqail daripada Ibnu Syihab dan riwayat Yunus daripada Ibnu Syihab tidak terdapat tambahan berkenaan. Ini menjadikan riwayat berkenaan Syaz (diragui).

② Hadis berkenaan menjadi mursal dan mu`aḍol kerana yang menyebutkan “Apa yang sampai kepada kami,” ialah al-Zuhri. Ia bukan kata-kata Aisyah. Ia difahami daripada bentuk penceritaan hadis berkenaan. Inilah yang ditegaskan olehal-Hafiz Ibnu Hajar di dalam ulasan hadis ini.

Al-Zuhri adalah seorang Tāb`in yang tidak mendengar terus sesuatu hadis daripada Rasulullah. Bahkan dia tidak menyatakan nama sahabat yang dia sandarkan kepada tambahan ini. Balāghāt al-Zuhri atau orang lain tidak diterima kerana sanadnya terputus daripada sumber utama.

Maka riwayat hadis ini diragui dan jatuh pada pangkat Dhoif.

❸ Isi kandungan pertama hadis 6982

Isi kandungan pertama hadis ini bertepatan dengan riwayat yang lain. Antaranya ialah hadis al-Bukhari bilangan 4953 dan Muslim 252/160.

❹ Isi kandungan kedua hadis 6982

Di dalam hadis bilangan 6982, terdapat tambahan yang mengelirukan seperti berikut:

فِيمَا بَلَغَنَا، حُزْنًا غَدَا مِنْهُ مِرَارًا كَيْ يَتَرَدَّى مِنْ رُءُوسِ شَوَاهِقِ الجِبَالِ، فَكُلَّمَا أَوْفَى بِذِرْوَةِ جَبَلٍ لِكَيْ يُلْقِيَ مِنْهُ نَفْسَهُ تَبَدَّى لَهُ جِبْرِيلُ، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، إِنَّكَ رَسُولُ اللَّهِ حَقًّا، فَيَسْكُنُ لِذَلِكَ جَأْشُهُ، وَتَقِرُّ نَفْسُهُ، فَيَرْجِعُ، فَإِذَا طَالَتْ عَلَيْهِ فَتْرَةُ الوَحْيِ غَدَا لِمِثْلِ ذَلِكَ، فَإِذَا أَوْفَى بِذِرْوَةِ جَبَلٍ تَبَدَّى لَهُ جِبْرِيلُ فَقَالَ لَهُ مِثْلَ ذَلِكَ

Apa yang sampai kepada kami, beliau pergi beberapa kali untuk menjatuhkan diri dari puncak gunung. Sesampainya beliau di puncak gunung untuk menjatuhkan diri, Jibril pun menjelma seraya berkata: ‘Wahai Muhammad! Sesungguhnya engkau benar-benar utusan Allah.’ Rasulullah pun kembali tenang dan beliau pulang kembali. Namun setiap kali wahyu terputus lama, maka beliau berbuat perkara yang sama, sehingga saat sudah di puncak gunung, Jibril pun menjelma lagi dan mengatakan yang sama seperti sebelumnya.

Bagi isi kandungan ini, Imam al-Hafiz Ibnu Hajar berkata:

Ucapan di dalam hadis tersebut, “Untuk beberapa lama sehingga Nabi SAW merasa sedih menurut berita yang sampai kepada kami” sampai ke akhir hadis ialah tambahan Ma`mar melalui riwayat `Uqail dan Yunus. Cara persembahan pengarang boleh mengundang salah faham bahawa ucapan ini juga ada pada riwayat `Uqail dan Yunus... Manakala sepengertahuan saya, ia hanya terdapat pada riwayat Ma`mar sahaja.

Al-Isma`ily juga menerangkan: Tambahan ini ada di dalam riwayat Ma`mar. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Ismaili dan lain-lain. Abu Nu`aim juga meriwayatkan daripada riwayat sekolompok murid al-Lais daripada al-Lais tanpa tambahan ini.

إِنَّ الْقَائِل فِيمَا بَلَغَنَا هُوَ الزُّهْرِيّ ، وَمَعْنَى الْكَلَام أَنَّ فِي جُمْلَة مَا وَصَلَ إِلَيْنَا مِنْ خَبَر رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي هَذِهِ الْقِصَّة وَهُوَ مِنْ بَلَاغَات الزُّهْرِيّ وَلَيْسَ مَوْصُولًا

Sesungguhnya yang berkata, 'apa yang sampai kepada kita' (balaghana) adalah al-Zuhri[6]. Perkataan ini bermakna kenyataan tersebut telah sampai kepada kita khabar kisah ini dari Rasulullah SAW dan ia merupakan balāghat al-Zuhri dan ia tidak bersambung sanadnya.

وَقَالَ الْكَرْمَانِيُّ : هَذَا هُوَ الظَّاهِر وَيَحْتَمِل أَنْ يَكُون بَلَغَهُ بِالْإِسْنَادِ الْمَذْكُور ، وَوَقَعَ عِنْد اِبْن مَرْدُوَيْهِ فِي التَّفْسِير مِنْ طَرِيق مُحَمَّد بْن كَثِير عَنْ مَعْمَر بِإِسْقَاطِ قَوْله " فِيمَا بَلَغَنَا " وَلَفْظه " فَتْرَة حَزِنَ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْهَا حُزْنًا غَدَا مِنْهُ " إِلَى آخِره ، فَصَارَ كُلّه مُدْرَجًا عَلَى رِوَايَة الزُّهْرِيّ وَعَنْ عُرْوَة عَنْ عَائِشَة ، وَالْأَوَّل هُوَ الْمُعْتَمَد

Al-Kirmani berkata: Inilah yang nyata tetapi mungkin sampai padanya melalui sanad tersebut. Di dalam Tafsir Ibnu Mardawaih terdapat satu riwayat daripada jalan Muhammad Bin Kasir[7] daripada Ma’mar dengan tiada lafaz “apa yang sampai pada kami” dan juga “terhenti (wahyu) sehingga baginda s.a.w sedih sehingga menyebabkan dia pergi” hingga akhir sehingga menjadi semua itu termasuk di dalam riwayat al-Zuhri dan daripada ‘Urwah daripada ‘Aisyah. Dan yang pertama (terhenti pada al-Zuhri) adalah lebih terpakai.”

Dapat difahami daripada kata-kata al-Kirmani bahawa al-Bukhari menambah dalam riwayat berkenaan “Fima Balaghana” bagi memudahkan orang untuk membezakan antara hadis yang sahih dan juga tambahan al-Zuhri.

Balāghāt

Maksud Balāghāt ialah hadis-hadis yang diriwayatkan oleh perawi dengan menggunakan istilah Balaghani atau Balaghana tanpa menyebutkan secara lengkap sanad-sanadnya.

Bagi orang yang mengetahui ilmu istilah Balāghāt ini nescaya tidak akan keliru dengan pendekatan Imam al-Bukhari ini. Para ulama tidak menerima Balāghāt al-Zuhri ataupun orang lain melainkan ia bertepatan dengan hadis yang sahih.

Kesimpulan Kajian

Setelah dinyatakan dapatan kajian di atas, maka berikut ialah kesimpulan yang dapat kami nyatakan:

❶ Sekalipun hadis dakwaan Nabi Muhammad cuba untuk membunuh diri ini datang daripada rekod Imam al-Bukhari, ia tidak sahih.

❷ Kisah berkenaan adalah daripada al-Zuhri. Bukan daripada kisah Aisyah.

❸ Tidak semua yang ada di dalam Sahih al-Bukhari adalah sahih. Tetapi kebanyakkan hadisnya adalah sahih. Namun, kita menyatakan bahawa Kitab Sahih al-Bukhari ialah kitab yang paling banyak menyatakan riwayat sahih. Ia tidak setanding dengan al-Quran yang tidak ada sebarang keraguan.

Bahkan Imam al-Bukhari telah menyatakan hadis Dhoif di dalam kitab beliau. Contohnya menyatakan seperti berikut:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah secara marfu`, “Imam tidak boleh mengerjakan solat sunnah di tempat dia mengerjakan solat fardhu.” Tetapi ia tidak sahih.

Perkataan, “Tetapi ia tidak sahih” menunjukkan bahawa Imam al-Bukhari mahu menyatakan bahawa sanad hadis tersebut dhoif.


Rujukan:

Kitab:

1) Muhammad bin Isma`il al-Bukhari,Ṣahih al-Bukhāri, Maktabah Fayyaḍ,Al-Mansūrah, 2011.

2) Ibnu Hajar al-`Asqalāny, Fathul Bārī, Jilid 12, H. 459. Al-Maktabah al-Taufiqiyyah, Mesir.

3) Sofiyurrahman al-Mubarakfuri, Al-Rahīq al-Makhtūm, Dār al-Wafā’, Mesir. 2010.

4) Sofiyurrahman al-Mubarakfuri, Al-Rahīq al-Makhtūm – Sirah Nabi, Kemilau Publika SDN BHD, Selangor 2013.

Laman Web:

1) Islamqa.info (152611: روايات همِّ النبي صلى الله عليه وسلم بالانتحار لا تصح لا سنداً ولا متناً) http://islamqa.info/ar/152611 di rujuk pada tarikh 22 November 2015.

2) titian-sebenar.blogspot.com (Menjawab syubhah nabi muhammad s.a.w ingin membunuh diri) http://titian-sebenar.blogspot.my/2011/05/menjawab-syubhah-nabi-muhammad-saw.html di rujuk pada tarikh 22 November 2015.

Video:

1) www.youtube.com, Maulana Asri : Rasulullah SAW di katakan pernah ingin MEMBUNUH DIRI ? dirujuk pada tarikh 22 November 2015.

2) www.youtube.com, UFB - Menjawab Fitnah Nabi Cuba Bunuh Diri, dirujuk pada tarikh 22 November 2015

Software:

1) Maktabah al-Shāmilah, versi 3.61.

::: Nota Kaki :::

[1] Rujuk penentangan kelompok Syiah Indonesia pada laman web berikut: https://jakfari.wordpress.com/2010/04/12/nabi-muhammad-saw-dan-awal-prosesi-pelantikan-kenabian-dalam-gambaran-bukhari-1/ dirujuk pada tarikh: 22 November 2015.
[2]Lafaz ini dibawakan oleh Tabari, jil II, hlm. 207.
[3]Lafaz ini dibawakan oleh Ibnu Hisyam, jil I, hlm. 237-238.
[4]Diringkas daripada Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 238.
[5] Sahih al-Bukhari: 6982
[6] Ibnu Syihab al-Zuhri
[7] Hadis Muhammad bin Kasir al-San`ani tidak boleh dijadikan hujjah untuk menjadi Mutaba`at kerana dia ialah perawi dhoif.