Syeikh Abd al-Qādir al-Arnā’uṭ menyatakan maksud Al-Rajā’ ialah bergantung harap untuk mendapatkan sesuatu daripada orang yang dikehendaki (al-Marghūb) dengan dilaksanakan tindakan supaya harapan itu ditunaikan. Jika tidak diambil apa-apa tindakan, maka ia hanya semata-mata al-Ṭama` (harapan yang tinggi untuk mendapatkan sesuatu), sedangkan ia dicela oleh syarak.

Ibn Jauzi rahimahullah berkata: Perumpamaan orang yang bergantung harap (al-Rājī) tetapi terus melakukan maksiat seperti seseorang yang berharap untuk mendapatkan hasil tetapi tidak bercucuk tanam, seperti seseorang yang mahu mempunyai anak tetapi tidak mahu berkahwin.[1]

Al-Halīmy rahimahullah di dalam kitab Syu`ab al-Imān berkata: Al-Rajā’ mempunyai beberapa jenis:

1- Berharap untuk mendapatkan sesuatu yang dikehendaki atau yang disukai.
2- Berharap untuk terus menjadi milik apabila telah memilikinya.
3- Berharap supaya dilindungi daripada perkara yang tidak disukai supaya ia tidak berlaku.
4- Berharap supaya terlindung apabila ia telah berlaku.

…. Al-Khaūf dan al-Rajā’ adalah dua perkara yang saling berkaitan. Orang yang bimbang (al-Khāif) akan berharap untuk keluar daripada perkara yang dibimbangi itu, kemudian dia berdoa kepada Allah serta meminta kepada-Nya untuk melindungi diri daripada perkara tersebut. Manakala orang yang berharap (al-Rājī)  akan berasa bimbang  terhadap apa yang dia harapkan, kemudian dia meminta Allah melindunginya, serta meminta kepada-Nya untuk menjauhinya.

Tidak ada orang yang bimbang (al-Khāif) melainkan dia juga berharap. Tidak ada orang yang berharap (al-Rājī) melainkan dia juga berasa bimbang. Perkaitan berkenaan telah disebutkan oleh Allah di dalam banyak ayat, antaranya ialah:

وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ الْمُحْسِنِينَ

… dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

(Al-A`rāf: 56)[2]


Allah berfirman:

وَيَرْجُونَ رَحْمَتَهُ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحْذُورًا

mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti.

(Al-Isrā’: 57)

قُلْ يَاعِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Al-Zumar: 53)

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).

(Al-Nisā’: 48)

Abu Hurairah meriwayatkan hadis sepertimana yang telah direkodkan di dalam Sahih al-Bukhāry dan Muslim,

لَوْ يَعْلَمُ الْمُؤْمِنُ مَا عِنْدَ اللهِ مِنَ الْعُقُوبَةِ، مَا طَمِعَ بِجَنَّتِهِ أَحَدٌ، وَلَوْ يَعْلَمُ الْكَافِرُ مَا عِنْدَ اللهِ مِنَ الرَّحْمَةِ، مَا قَنَطَ مِنْ جَنَّتِهِ أَحَدٌ

Sekiranya orang mukmin mengetahui seksaan yang ada di sisi Allah, nescaya tidak ada seorang mukmin pun yang akan mengiginkan syurga-Nya. Dan sekiranya orang kafir itu mengetahui luasnya rahmat yang ada di sisi Allah, nescaya tidak ada seorang kafir pun yang akan berputus asa untuk mengharapkan syurga-Nya.

(HR Muslim: 2755. Al-Bukhāry dengan lafaz yang lain di dalam bab al-Rajā’ ma`a al-Khāuf: 6469)

Imam Muslim merekodkan riwayat Jābir di dalam sahihnya. Jābir berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda sebanyak tiga kali sebelum meninggal dunia:

لَا يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلَّا وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللهِ الظَّنَّ

Seseorang tidak mati melainkan dia telah memperbaiki sangkaannya terhadap Allah.
(HR Muslim: 2877)

Syeikh Fu’ād Abd al-Bāqi berkata: Para ulama berpandangan bahawa hadis ini menunjukkan kepada amaran daripada berputus asa (al-Qunūṭ) dan galakkan kepada bergantung harap (al-Rajā’) pada saat-saat akhir kehidupan. Di dalam hadis sebelum ini, Allah bersabda:

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي

Aku sesuai dengan sangkaan hamba terhadapku.
(HR Muslim: 2675)

Para ulama menyatakan bahawa maksud Husnu al-Ẓan kepada Allah ialah bersangka bahawa Allah akan merahmati diri nya serta mengampunkannya. Mereka berpandangan lagi: Dalam keadaan sihat, hamba perlu merasa takut dan berharap, kedua-dua itu adalah sama, sebahagian yang lain berpandangan ketakutan itu lebih tetapt. Apabila telah terdapat tanda-tanda kematian, maka bergantung harap adalah lebi tinggi atau lebih cerah, kerana maksud ketakutan ialah menghalang diri daripada maksiat, perkara keji, serta menggalakkan untuk memperbanyakkan ketaatan dan amalan baik. Ketika telah hampir kematian, perkara tersebut atau kebanyakkannya telah diuzurkan. [3]

Imam al-Baihaqy berkata: Sepertimana yang telah diketahui bahawa al-Khauf tidak boleh dilahirkan melainkan hanya kepada Allah, demikian jugalah al-Rajā’ yang tidak boleh diekspresi melainkan hanya kepada Allah kerana selain Allah, tiada sesiapa yang mampu memberikan mudarat dan manfaat. Oleh itu, sesiapa yang bergantung harap kepada orang yang tidak memiliki, maka dia sebahagian daripada orang yang jahil.[4]

Al-Halimy berkata: Apabila seseorang telah menggantung harap kepada Allah, maka dia hendaklah meminta kepada Allah terhadap semua perkara yang dia inginkan sama ada kecil atau besar…[5]

Allah berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina."

(Al-Ghāfir: 60)
________________

[1] Lihat nota kaki Mukhtaṣar Syu`ab al-Imān, terbitan Dār Ibn Kasīr, Damsyiq, tahun 1985. Halaman 33.
[2] Syu`ab al-Imān, Jilid 2, Halaman 3.
[3] Ulasan Sahih al-Bukhāry.
[4] Syu`ab al-Iman, Jilid 2, halaman 27
[5] Syu`ab al-Iman, Jilid 2, halaman 37