Imam al-Ẓahaby bernama Muhammad bin Ahmad bin `Usmān bin Qāymāz al-Ẓahaby. Beliau dikenali dengan pengiktirafan al-Imām (tokoh pimpinan umat Islam), al-Hāfiẓ (tokoh hadis), al-Nuqād (tokoh penkritik), al-Muhaqqiq (tokoh pemeriksa), Mu’arrikh (tokoh pengkaji sejarah), al-Muqri’ (tokoh hafalan al-Quran). 

Beliau mendapat pengiktirafan umat Islam dengan gelaran Syamsuddin. Kuniyyah beliau ialah Abu Abdullah. Mazhab yang beliau ikuti ialah Mazhab al-Syāfi`i di dalam fiqah tanpa taqlid buta. Beliau di gelar al-Ẓahaby berikutan memperingati bapanya yang bekerja sebagai penempa emas. 

KELAHIRANNYA

Al-Imam al-Ẓahaby dilahirkan di Kafr Baṭna, sebuah bandar di selatan Damsyiq, Syria pada 3 Rabī` al-Ākhir tahun 673 H.  

PENDIDIKAN DAN GURU-GURUNYA

Bapa al-Imam ialah seorang yang sangat mencintai ilmu agama lalu dia mendidik anak-anaknya mendalami ilmu agama serta menggalakkan mereka sehingga turut mencintai ilmu agama. Keluarga bapa al-Imam dikenali sebagai keluarga yang sangat mementingkan ilmu terutamanya ilmu hadis. 
Al-Imam memulakan pengajian di wilayah kelahiran beliau iaitu Damsyiq. Beliau memulakan pelajaran al-Qurān sehingga berjaya menghafal dan menekuni al-Quran pada usia yang kecil. Pada umur 18 tahun, beliau mendalami ilmu Qirā’āt. Beliau belajar al-Quran daripada Syeikh Jamaluddin Abu Ishāq Ibrāhīm bin Dāwud al-`Asqlāny (Wafat: 692H) dan Syeikh Jamaluddin Abu Ishāq Ibrāhim Ghāl (Wafat: 708H). Al-Imam belajar daripada kedua-dua guru berkenaan tentang kaedah Qirā’āt al-Saba`. Setelah itu beliau juga belajar ilmu Qiraat daripada guru-guru yang lain sehingga mahir dengan ilmu qiraat dan perbahasannya. 

Dalam tempoh berkenaan juga, al-Imam sentiasa mementingkan ilmu hadis kerana itulah minatnya yang tinggi. Beliau banyak menghabiskan masa untuk belajar ilmu hadis dengan menghadiri pelbagai majlis Sima` al-Ahādīs sehingga dia memulakan perjalanan kembara ilmu bagi mendalami ilmu berkenaan. 

Kembara ilmu beliau bermula dengan menghabiskan pengajian bersama tokoh-tokoh ulama yang berada di bumi Syam. Beliau belajar dengan Al-Hāfiz Ahmad bin Haibatullah bin `Asakir, Al-Hāfiẓ al-Yunainy, Abi Hafṣ al-Qawwās, Abi al-Hajjāj al-Mizzy dan lain-lain. 

Kemudian al-Imam meneruskan kembaranya ke Mesir pada tahun 696H. Di Kaherah, beliau belajar dengan tokoh ulama besar seperti Ibn Daqīq al-`Ied (Wafat: 702H), Badruddin Ibn Jamā`ah (Wafat: 733H) dan Ibn Manẓur al-Ifriqi penulis Lisān al-Arab. Di Mesir juga beliau belajar dengan al-Hafiẓ al-Dimyāṭy, Ibn al-Sawwaf, al-Qarāfy, Baha’ al-Din bin al-Nuhās dan lain-lain. 

Setelah kajian mendalam daripada Syiekh Abdul Rahman al-Fākhūry, beliau menyatakan bahawa al-Imam telah mengembara lebih 30 negara bagi menuntut ilmu dan menyampaikannya. Disebut juga bahawa guru-gurunya mencecah 1,300 orang. 

Di antara guru-guru beliau yang beliau sangat rapat ialah:

1- Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (Lahir 661H, Wafat: 728H)

Ibnu Taimiyyah diletakkan sebagai nama yang paling awal di antara deretan guru-guru al-Ẓahaby di dalam kitab beliau Mu`jam al-Syuyūkh. Beliau begitu mengagumi Ibn Taimiyyah sehingga menyatakan: “Dia lebih agung daripada apa yang yang disifatkan oleh orang seumpamaku. Sekiranya aku mahu bersumpah di antara rukun dan juga kedudukan, nescaya aku akan bersumpah bahawa aku tidak pernah menemui orang yang sepertinya. Bahkan dia sendiri tidak pernah menemui orang yang sepertinya.” (Raddul Wafir , hal. 35). Bahkan pujiannya bertambah dengan berkata: “Setiap hadis yang tidak diketahui oleh Ibn Taimiyyah bukanlah hadis.”

2- Syeikh Jamaluddin al-Mizzi (Lahir 654 H, Wafat: 739H)

Al-Imam merekodkan kata-kata yang besar tentang gurunya ini. Kata beliau “Al-Mizzi ialah sandaran kami apabila kami menemui masalah-masalah yang musykil” (ad-Durar al-Kaminah, V:235)

3- Syeikh al-Qasim Al-Birzāly (Lahir: 665H, wafat: 739H)

Al-Imam mengiktiraf syeikh al-Birzāly sebagai orang yang berperanan mencetak beliau sebagai ahli hadis. Kata al-Imam “Dialah yang menjadikan aku mencintai ilmu hadis.” (ad-Durar al-Kaminah, III:323).

MURID-MURIDNYA

Diantara murid-murid beliau ialah Tajuddin al-Subki (lahir 727H – wafat 771H) , al-Hafiz Ibnu Katsir (lahir 701H, wafat: 774H), al-Hafiz Ibnu Rajab (lahir 736H, wafat: 795H) dan masih banyak lagi selain mereka.

PUJIAN ULAMA

Ibnu Kasir berkata, “Beliau adalah Syeikh al-Hafiz al-kabir, Pakar Tarikh Islam, Syeikhul muhadditsin. Beliau adalah penutup syuyukh hadis dan huffazhnya.” (al-Bidayah wa an-Nihayah, XIV:225)

Tajuddin as-Subki berkata, “Beliau adalah syaikh Jarh wa Ta’dil, pakar Rijal, seakan-akan umat ini dikumpulkan di satu tempat kemudian beliau melihat dan mengungkapkan sejarah mereka.” (Thabaqah Syafi’iyyah Kubra, IX:101)

PENULISAN

Beliau memiliki sekitar 100 karya bertulis, di antara karya-karya berkenaan ialah:

1. Siyar A’lam An-Nubala
2. al-‘Uluww lil ‘Aliyyil Ghaffar
3. Taariikhul Islam
4. Mukhtashar Tahdziibil Kamaal
5. Miizaanul I’tidaal Fii Naqdir Rijaal
6. Thabaqatul Huffazh
7. Al-Kaasyif Fii Man Lahu Riwaayah Fil Kutubis Sittah
8. Mukhtashar Sunan al-Baihaqi
9. Halaqatul Badr Fii ‘Adadi Ahli Badr
10. Thabaqatul Qurra’
11. Naba’u Dajjal
12. Tahdziibut Tahdziib
13. Tanqiih Ahaadiitsit Ta’liiq
14. Muqtana Fii al-Kuna
15. Al-Mughni Fii adh-Dhu’afaa’
16. Al-‘Ibar Fii Khabari Man Ghabar
17. Talkhiishul Mustadrak
18. Ikhtishar Taarikhil Kathib
19. Al-Kabaair
20. Tahriimul Adbar
21. Tauqif Ahli Taufiq Fi Manaaqibi ash-Shiddiq
22. Ni’mas Smar Fi Manaaqib ‘Umar
23. At-Tibyaan Fi Manaaqib ‘Utsman
24. Fathul Mathalib Fii Akhbaar Ali bin Abi Thalib
25. Ma Ba’dal Maut
26. Ikhtishar Kitaabil Qadar Lil Baihaqi
27. Nafdhul Ja’bah Fi Akhbaari Syu’bah
28. Ikhtishar Kitab al-Jihad, ‘Asakir
29. Mukhtashar athraafil Mizzi
30. At-Tajriid Fii Asmaa’ ish Shahaabah
31. Mukhtashar Tariikh Naisabuur, al-Hakim
32. Mukthashar al-Muhalla dan Tartiil Maudhuu’at, Ibn al-Jauzi

KEMATIAN

Imam Az-Zahabi meninggal pada malam Isnin, 3 Zulkaedah 748H, di Damsyiq, Syria dan dimakamkan di pekuburan Bab as-Shaghir.