Header Ads

test

Terjemahan al-Rahiq al-Makhtum: Penindasan Terhadap Umat Islam

Orang Musyrik menjalankan cara-cara yang saya sebutkan tadi sedikit demi sedikit untuk menghentikan dakwah sejak kemunculannya pada permulaan tahun keempat kenabian. Minggu demi minggu bahkan beberapa bulan berlalu, mereka tetap menjalankan cara-cara tadi tetapi tidak sampai pada tindakan menyeksa dan menganiaya.

Namun begitu, setelah mereka melihat bahawa cara-cara tadi tidak memberikan manfaat yang cukup bagi mereka untuk menghentikan dakwah Islam, mereka berkumpul lagi. Mereka memutuskan untuk menyeksa uat Islam dan menghuruharakan agama itu. Mereka memutuskan untuk setiap kabilah supaya menyeksa ahli kabilah yang memeluk Islam, demikian juga setiap tuan terhadap hamba-hambanya supaya dapat mengeluarkan keimanan mereka.

Pemuka-pemuka Kabilah menyeksa mengikut suka dan nafsu mereka. Lalu mereka menindas umat Islam sekalipun orang yang lemah – dengan cara mengupas kulit dan jenis-jenis penyeksaan yang tidak mampu disebutkan oleh hati yang mempunyai kelembutan.

Apabila Abu Jahal mendengar tentang seseorang yang mempunyai kedudukan dan perlindungan memeluk Islam, dia mencela dan menghinanya serta mengancam akan membuatnya rugi besar dalam hal harta dan kedudukan. Jika orang yang memeluk Islam itu adalah orang yang lemah, maka dia menyeksa dan mamaksanya untuk kembali kafir.

Bapa saudara Usman bin Affan pernah mengepung anak saudaranya dengan dapur besar yang diperbuat daripada dedaunan kurma, kemudian mengasapinya dari bawah.

Ketika ibu Mus’ab bin Umair mengetahui tentang keislaman anaknya, dia membiarkannya kelaparan lalu mengusirnya dari rumah. Padahal sebelum itu Mus’ab bin Umair adalah pemuda yang paling bergaya hidupnya di Kota Mekah sehinggalah akhirnya kulitnya menggelupas seperti menggelupasnya kulit ular.[1]

Ṣuhaib bin Sinān al-Rūmī diseksa sehingga hilang deria sehingga dia tidak tahu apa yang dia katakan.

Seksaan berat juga dialami oleh Bilal bin Rabah. Dia adalah hamba Umayyah bin Khalaf al-Jumahi. Umayyah mengikat leher Bilal dengan tali, lalu dia diserahkan kepada orang-orang Mekah. Anak-anak itu mengheret Bilal mengelilingi bukit-bukit di Mekah, sehingga bekas ikatan tali kelihatan di lehernya. Selepas itu Bilal dikembalikan kepada Umayyah. Kemudian, ikatan tali di leher Bilal makin dikencangkan oleh Umayyah, lalu dia memukul Bilal dengan sebuah tongkat. Selepas itu dia memaksa Bilal untuk duduk di bawah terik panas matahari serta membiarkannya kelaparan. Apa yang lebih pedih daripada itu adalah ketika Umayyah mengheret Bilal keluar dan dijemur di tengah panas yang membahang. Dia melempar Bilal ke tanah Mekah yang berbatu. Kemudian dia menyuruh orang ramai untuk membawa batu besar yang seterusnya diletakkan di atas dada Bilal.

Dia berkata, “Demi Allah, kamu akan tetap seperti ini hingga kamu mati kecuali jika kamu membelot terhadap Muhammad, kemudian menyembah Latta dan Uzza.” Walau diancam sebegitu rupa, Bilal hanya menjawab, “Ahad ... Ahad.” Bilal berkata: Jika aku tahu perkataan yang lebih tidak disukai oleh kamu, nescaya aku akan menyebutkannya. Hinggalah akhirnya Abu Bakar melalui tempat itu ketika mereka sedang menyeksa Bilal. Abu Bakar pun membelinya dengan pertukaran dengan seorang anak muda berkulit hitam. Namun begitu, ada pendapat yang menyatakan bahawa pembayarannya berupa tujuh atau lima uqiyah perak. Setelah membelinya, Abu Bakar pun memerdekakannya.[2]

Seterusnya adalah Ammar bin Yasir, hamba milik Bani Makhzum. Dia memeluk Islam bersama ayah dan ibunya. Orang Musyrik, yang diketuai oleh Abu Jahal, mengheret mereka keluar dan melemparkan mereka ke atas tanah berkerikil tatkala panas terik sedang menyengat. Mereka diseksa dengan panasnya sengatan matahari. Ketika orang Musyrik sedang asyik menyeksa, Nabi melalui tempat itu. Baginda lantas berkata,

صَبْرًا آلَ يَاسِرٍ، فَإِنَّ مَوْعِدَكُمُ الْجَنَّةِ

“Bersabarlah, keluarga Yasir. Sesungguhnya tempat kamu akan kembali adalah syurga.”

Yasir meninggal kerana tidak mampu menahan seksaan. Sementara Sumayyah, ibu Ammar, ditikam pada kemaluannya dengan sebilah lembing hingga meninggal. Dia adalah wanita pertama yang syahid dalam sejarah Islam. Dialah Sumayyah binti Khayyaṭ, hamba Abu Huzaifah bin al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum. Dia seorang wanita tua yang sangat lemah. Sedangkan terhadap Ammar, orang Musyrik memberikan seksaan yang semakin kuat. Mereka menjemurnya di bawah terik panas, pada waktu lain di atas dadanya diletakkan batu merah, pada waktu lain dia dilemaskan di dalam air sehingga hilang deria. Seterusnya sebahagian tubuhnya dibenamkan ke tanah. Mereka berkata,

لا نتركك حتى تسب محمدا! أو تقول في اللات والعزى خيرا!

“Kami tidak akan menghentikan seksaan terhadapmu sehingga kamu mahu mencaci Muhammad atau kamu mahu mengatakan sesuatu yang baik terhadap Latta dan Uzza.”

Hinggalah akhirnya, dengan terpaksa, dia menuruti kemahuan mereka itu. Setelah dilepaskan, dia mendatangi nabi sambil menangis dan berasa amat bersalah. Maka Allah menurunkan ayat,

مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ

“Barang siapa menyatakan kafir kepada Allah setelah keimanannya, maka dia mendapat kemurkaan daripada Allah. Kecuali orang yang dipaksa melakukannya padahal hatinya tetap tenang menggenggam keimanan, maka dia tidak berdosa.” (An-Nahl: 106)[3]

Seterusnya Abu Fukaihah atau nama asalnya Aflah. Dia adalah hamba milik Bani Abdul Dar, daripada al-Azd. Bani Abdul Dar mengeluarkan Abu Fukaihah pada waktu tengah hari yang sangat terik, kemudian mengikat kakinya dengan besi, menanggalkan pakaiannya, kemudian membiarnya di atas permukaan tanah. Setelah itu mereka letakkan sebiji batu sehingga ia tidak mampu bergerak. Dia berterusan begitu sehingga hilang akal. Dia terus diseksa sehingga berjaya hijrah ke Habsyah pada hijrah kedua. Ada satu ketika Bani Abdul Dar mengikat Abu Fukaihah dengan tali lalu mencampakkannya di tengan panas terik, setelah itu mereka melemaskannya sehingga mereka rasa dia telah mati. Abu Bakar lalu di tempat berkenaan lalu membelinya kemudian membebaskannya semata-mata kerana Allah.

Kemudian Khabab bin Arat, hamba Ummu Anmar binti Siba’ al-Khuzaiyah. Beliau seorang tukang besi. Apabila dia memeluk Islam, tuannya menyeksanya dengan api. Besi yang panas diletakkan dibelakang badannya atau kepalanya supaya dia mengingkari Muhammad SAW. Tidak ada apa yang bertambah di dalam dirinya melainkan keimanan dan keislaman. Para musyrikun juga menyeksanya dengan memutar kepalanya serta menarik rambutnya. Sesekali dia dicecah ke dalam api kemudian menariknya kembali. Tidak ada yang ditarik keluar melainkan minyak belakang badannya.

Seterusnya Zinnirah, seorang hamba perempuan daripada keturunan Rom. Apabila dia memeluk Islam, dia diseska. Dia diseksa pada matanya sehingga buta. Lalu dikatakan kepadanya: Al-Lāt dan al-Uzzā yang menyiksamu! Lantas dia menjawab: Demi Allah ia tidak menyeksaku. Ini adalah (ujian) daripada Allah. Sekiranya Dia mahu, dia akan membuka (kembali pandanganku). Pada keesokkanya Allah mengembalikan pandangannya. Lalu para Quraisy berkata: Ini sebahagian daripada sihir Muhammad.

Ummu `Ubais, hamba Bani Zahrah. Para musyrikun menyeksanya khusnya tuannya sendiri iaitu Al-Aswad bin Abd Yaghus. Dia antara orang yang sangat memusuhi Rasulullah dan berada dalam kalangan orang yang terceela.

Seorang hamba perempuan milik Umar bin Muammal (salah satu cabang daripada Bani Ady) juga memeluk Islam. Umar bin Khathab yang ketika itu masih Musyrik terus memukulnya. Tatkala dia telah bosan, barulah dia berkata, “Jika aku tidak bosan, aku tentu tidak akan berhenti memukulmu.” Dia menjawab: Demikianlah apa yang akan dilakukan oleh Tuhanmu kepadamu.[4]

Wanita perempuan yang memeluk Islam dan diseksa antaranya: al-Nahdiyyah dan anak perempuannya, mereka ini wanita daripada Bani Abdul Dar.

Daripada kalangan hamba lelaki pula ialah Amir bin Fuhairah. Dia diseksa sehingga dia tidak tahu lagi apa yang dia katakan.

Semua hamba perempuan ini dibeli oleh Abu Bakar lalu dimerdekakan. Bapa Abu Bakar iaitu Abu Quhafah menegurnya: Aku melihat engkau membebaskan hamba-hamba yang lemah. Mengapa engkau tidak memerdekakan lelaki yang kuat supaya mereka dapat melindungimu? Beliau menjawab: Aku mahukan keredhaan Allah. Lalu Allah menurunkan ayat al-Quran bagi memuji perbuatan Abu Bakar dan mencela musuhnya. Allah berfirman:

فَأَنْذَرْتُكُمْ نَارًا تَلَظَّى (14) لَا يَصْلَاهَا إِلَّا الْأَشْقَى (15) الَّذِي كَذَّبَ وَتَوَلَّى (16) وَسَيُجَنَّبُهَا الْأَتْقَى (17) الَّذِي يُؤْتِي مَالَهُ يَتَزَكَّى (18) وَمَا لِأَحَدٍ عِنْدَهُ مِنْ نِعْمَةٍ تُجْزَى (19) إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِ الْأَعْلَى (20) وَلَسَوْفَ يَرْضَى (21)

14. Maka (serentak dengan memberi hidayah petunjuk) Aku juga telah memberi amaran mengingatkan kamu akan api neraka yang marak menjulang,
15. Yang tidak akan menderita bakarannya melainkan orang yang sungguh celaka,
16.  Yang telah mendustakan (kebenaran) dan berpaling ingkar.
17. Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertaqwa, -
18. Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan hartabendanya,
19. Sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut di balas,
20. Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi;
21. Dan demi sesungguhnya, ia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya).

(Al-Lail: 14-21)

Itulah dia Abu Bakar.

Abu Bakar juga disakiti. Naufal bin Khuwailid al-Adawy telah mengikat Abu Bakar dan Talhah bin Ubaidillah pada satu tali bagi menghalang mereka bersolat dan menghalang mempraktikkan agama. Namun mereka tidak menghiraukannya dan terus bersolat. Justeru itu mereka berdua digelar al-Qarinain (rakan karib). Ada riwayat menyatakan bahawa pelaku itu ialah Usman bin Ubaidillah, saudara Talhah bin Ubaidillah.

Tuntasnya, tidak diketahui seorangpun yang memeluk Islam melainkan terdapat berita yang menyatakan mereka disakiti. Ia lebih mudah dilakukan jika kepada orang-orang Muslim yang lemah, apatah lagi hamba-hamab. Tidak ada orang yang memarahi mereka atau melindungi umat Islam. Bahkan, pemimpin-pemimpin itu sendiri yang bertindak menyeksa. Bagi orang-orang besar dan mulia yang masuk Islam juga, tidak terlepas daripada kesusahan yang besar, mereka dihalang ketika dalam kaum, mereka berada dalam kaumnya dalam keadaan berhati-hati dan berjaga-jaga.

_______________________

[1] Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-‘Alamin, jil I, hlm. 57 dan Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 60.
[2] Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-‘Alamin, jil I, hlm. 57; Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 61 dan Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 317-318.
[3]Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 139, 320 dan Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hlm. 82. Sebahagian kejadian ini diriwayatkan pula oleh al-‘Aufi daripada Ibn Abbas; lihat Abdullah bin Muhammad al-Najdy Alu Syaikh, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 92.
[4] Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-‘Alamin, jil I, hlm. 57 dan Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 319.

No comments

Powered by Blogger.