Allah berfirman:

102. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah Dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan Dalam keadaan Islam.

(Ali Imran: 102)

Hampir setiap kali khutbah, para khatib khutbah Jumaat akan menyebutkan ayat ini. Ia bagi memberi pesanan kepada Jemaah dan dirinya juga, agar jangan mati melainkan dalam keadaan Islam.

Al-Imam al-Bukhāry (256) dengan sanadnya merekodkan bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ العَبْدَ لَيَعْمَلُ عَمَلَ أَهْلِ النَّارِ وَإِنَّهُ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَيَعْمَلُ عَمَلَ أَهْلِ الجَنَّةِ وَإِنَّهُ مِنْ أَهْلِ النَّارِ، وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ

Seseorang hamba itu ada yang beramal pada kebanyakkan waktu hidupnya dengan amalan ahli neraka (namun pada akhir kehidupannya dia melakukan amalan ahli syurga maka) dia ialah penghuni syurga. Ada hamba yang beramal dengan amalan ahli syurga tetapi pada akhir kehidupannya dia melakukan amalan ahli neraka, maka dia menjadi ahli neraka. Setiap amalan disandar kepada waktu-waktu akhirnya/ penyudahnya.

(HR al-Bukhāri: 6607)

Allah sebutkan bahawa kita jangan mati melainkan kita benar-benar menyerah diri kepada-Nya. Masalahnya ialah kita tidak mengetahui bilakah kita akan mati. Oleh kerana nak mati dalam keadaan menyerah diri itu amat menakutkan. Kerana belum tentu lagi kita mati di dalam keadaan uzur. Belum tentu kita mati dalam keadaan sihat. Belum tentu kita mati dalam keadaan yang kita rasa kita akan mati. Justeru itu, kita perlu bersedia menghadapi mati itu pada bila-bila masa dengan mengikuti jalan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW.

Allah Taala berfirman di dalam surah Ali Imran ayat 31:

31. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Ali Imran: 31)

Nabi SAW mendidik kita dengan membawakan risalah wahyu daripada Allah bagi kita mengingati kematian ini. Serta menyatakan sikap kita yang sepatutnya bagi menghadapi kematian.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kematian itu benar-benar akan hadir. Ia adalah hakikat besar yang dilalaikan oleh ramai orang. Kita tidak mengetahui bilakah kematian itu akan hadir. Apabila kita berada pada waktu siang, kita belum tahu apakah kita pasti akn masih hidup pada hari esoknya. Hari ini kita bersuka ria, belum tentu 1 jam lagi kita terus bergelak tawa.

Di dalam surah Ali Imran ayat 182, Allah berfirman:

185. tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.

(Ali Imran: 185)

Di dalam ayat berkenaan, Allah Taala memberitakan kepada kita bahawa sepanjang manapun umur kita, pasti ia akan berakhir dengan kematian. Setinggimanapun darjat kita, kita akan dipanggil bertemu Tuhan. Demikian juga, sebaikmanapun kita, kita akan menemui kematian.

Pelawak di kaca televisyen, membuat orang ketawa terbahak-bahak, dia juga akan menemui kematian. Guru-guru agama, ulama, ustaz dan ustazah yang menyampaikan peringatan agama tentang kematian, mereka juga akan merasai kematian. Doktor di hospital yang bertugas merawat pesakit dengan penuh prihatin, kesungguhan dengan alat bantuan moden juga akan mati. Pekerja buruh, menteri besar, perdana menteri, menteri-menteri kabinet, agung dan sultan juga akan merasai kematian.

Sekalipun Rasulullah adalah manusia yang paling bertaqwa di atas muka bumi ini, beliau juga menemui kematian. Tetapi, apakah perbezaan diantara manusia yang mati itu? Bezanya ialah rumah yang mereka akan duduki setelah itu. Sesiapa memasuki rumah syurga, maka dia telah berjaya. Tetapi sesiapa memasuki rumah neraka, maka dia akan rugi serugi-ruginya..

Allah memberi peringatan kepada kita bahawa dunia ini mampu memperdaya kita dengan kenikmatan-kenikmatan sehingga menyebabkan kita melupakan rumah kita di akhirat. Kita mahu pulang ke rumah kita iaitu syurga. Tetapi seringkali kita terpedaya dengan permainan dunia.

Apabila kita menyedari perkara itu, maka kita akan bangun untuk sentiasa megingati mati. Tetapi bukan bermaksud kita akan bersedih sentiasa. Mengingati mati menyebabkan kita berusaha menjauhi perkara maksiat atau dosa yang akan menyebabkan kita terjerumus ke lembah neraka. Dengan mengingati mati juga kita akan sentiasa berusaha mencari jalan-jalan kebaikan yang akan membawa kita pulang ke rumah kita, iaitu di syurga. Kita akan bekerja dengan bersungguh-sungguh sehingga majikan akan merasa senang hati dengan kita. Kita akan berusaha menjadi suami yang terbaik untuk isteri dan anak-anak kerana kita bimbang akan kematian. Kita akan menjadi manusia yang terbaik.

Orang Arab bersyair dengan bait berikut:

الموتُ بَابٌ وَكُلُّ النَّاسِ دَاخِلُهُ ،فَلَيْتَ شِعْرِي بعد المَوْتِ مَا الدَّارُ

Kematian ialah pintu yang akan dimasuki oleh semua manusia,Aduhai, setelah kematian menghampiriku, dimanakah rumahku?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah berfirman di dalam surah Al-Jumuah, ayat 8:

8. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut Yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui Segala Yang ghaib dan Yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa Yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".

(Al-Jumuah: 8)

Ya, ramai orang tidak suka menyebutkan tentang kematian. Kenapa? Kerana ia membicarakan soal yang sensitif. Dahulu, kamu telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kekayaan. Tidak ada orang yang membantumu, kamu berusaha sendiri. Kemudian kamu membina rumah umpama istana. Tetapi, akhirnya kamu akan ditanam di dalam tanah dengan kain kafan yang tiada warna melainkan putih dan tidak mahal.

Ia amat menakutkan kepada orang yang tidak bersedia menghadapi kematian dan terpedaya dengan mainan dunia. Tetapi apabila anda telah bersedia menghadapinya. Telah mengetahui peranan dunia dan akhirat, maka ketakutan dan kecintaan kepada dunia itu tidak akan menggangumu.

Imam al- Daqqaq menyatakan: “Sesiapa yang senantiasa mengingati kematian maka dia akan akan mudah untuk mengerjakan tiga perkara:

1-      Dia akan segera bertaubat,
2-      akan merasa qana’ah(rela degan apa yang Allah berikan dalam hal dunia), dan
3-      akan bersemangat dalam beribadah.

Sebaliknya sesiapa yang lalai untuk mengingati kematian, dia akan rugi dalam tiga perkara:

1-      menunda-nunda taubat,
2-      tidak pernah merasa cukup dan puas(dengan dunia yang dimilikinya) dan
3-      akan membuatnya malas untuk beribadah”.

Semoga Allah jadikan kita orang yang sentiasa mengingati kematian. Demikian juga, apabila kematian menghampiri kita, kita akan tergolong di dalam kalangan orang yang beriman dan bertaqwa. Akhirnya kita akan ditempatkan di rumah kita, iaitu syurga.

Allah berfirman:

(tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan Yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia;padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.

(Al-A`la: 16-17)

__________
Ditulis dan disampaikan oleh:
 Ustaz Syihabudin Ahmad (Graduan Universiti al-Azhar)