Soalan: Bolehkah berkongsi duit untuk membeli seekor kambing? Bukankah hadis ada menyebut: dari ‘Atho’ bin Yasar, ia berkata,

سَأَلْتُ أَبَا أَيُّوبَ الأَنْصَارِيَّ كَيْفَ كَانَتْ الضَّحَايَا عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؟ فَقَالَ : كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ ، فَيَأْكُلُونَ وَيُطْعِمُونَ

“Aku pernah bertanya pada Ayyub Al Anshori, bagaimana korban di masa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam?” Beliau menjawab, “Seseorang berqurban dengan seekor kambing untuk dirinya dan satu keluarganya. Lalu mereka memakan qurban tersebut dan memberikan makan untuk yang lainnya.” [HR. al-Tirmizi: 1505, Sahih]

Jawapan: Kambing korban hendaklah dibeli menggunakan harta seorang sahaja. Hadis yang disebutkan hanya menunjukkan perkongsian pahala sahaja.



Fakta

➊ Korban ialah perbuatan seseorang yang mengeluarkan hartanya untuk mengorbankan haiwan korban pada hari penyembelihan (10-13 Zulhijjah) dengan niat taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

Harta bermaksud: Duit sendiri, hadiah daripada orang, lembu sendiri dan sebagainya. 

➋ Bagi mengorbankan Lembu, unta dan seumpamanya, dibolehkan berkongsi harta daripada 7 orang untuk seekor binatang korban. Manakala untuk seekor kambing, hanya boleh menggunakan harta seorang sahaja.

Hadis: Daripada Jabir Bin Abdullah r.a, katanya:

نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ ، وَالْبَقَرَةِ عَنْ سَبْعَةٍ

“Kami menyembelih bersama Rasulullah s.a.w ketika tahun Hudaibiyah, unta dan lembu dengan tujuh bahagian.” [Riwayat Muslim, No. 1318, Sahih]

➌ Sekiranya seseorang mahu berkorban lalu diniatkan semoga pahala korban itu juga diterima oleh seluruh ahli keluarganya, maka ini dibenarkan. Ia tidak melibatkan kos tetapi ia melibatkan niat dan doa semoga dapat berkongsi pahala. 

Hadis:  ‘Atho’ bin Yasar, berkata,

سَأَلْتُ أَبَا أَيُّوبَ الأَنْصَارِيَّ كَيْفَ كَانَتْ الضَّحَايَا عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؟ فَقَالَ : كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ ، فَيَأْكُلُونَ وَيُطْعِمُونَ

“Aku pernah bertanya pada Ayyub Al Anshori, bagaimana pelaksanaan korban di masa Rasulullah SAW?” Beliau menjawab, “Seseorang berkurban dengan seekor kambing untuk dirinya dan satu keluarganya. Lalu mereka memakan kurban tersebut dan memberikan orang lain makan.” [HR. al-Tirmizi: 1505, Sahih]

Penjelasan Hadis: Para sahabat di zaman Nabi SAW menyembelih korban miliknya dan berniat semoga pahala korban itu diterima juga kepada ahli keluarganya. Ini menunjukkan keharusan berniat semoga berkongsi pahala korban. 

➍ Satu keluarga harus mengorbankan seekor kambing sahaja atau 1 bahagian lembu sahaja kerana pahala korban itu boleh dikongsi oleh seluruh ahli keluarga orang yang mengorbankan binatang berkenaan, sekalipun bilangan mereka 100 orang. Tetapi ia mempunyai syarat hubungan iaitu: 

Al-Qarabah: Ibu, bapa, anak-anak dan isteri. 

Al-Musakanah: Tinggal bersama. 

Al-Infaq: Masih menerima bantuan kewangan, perlindungan dan pakaian daripada orang yang memberi korban. 

Isu: Sekiranya anak-anak tidak lagi tinggal dengan ibubapanya atau mendapat manfaat nafkah daripada ibubapanya, maka ia tidak dikongsi dan perlu kepada korban yang lain jika mahu.

Adik lelaki yang masih tinggal bersama dengan pemberi korban mendapat manfaat pahala korban. Tetapi jika mereka tidak tinggal bersama dan tidak juga mendapat nafkah daripada pemberi korban, maka pahala korban tidak sampai kepadanya. WallahuAlam.

Imam al-Syaukani berkata: 

" وَالْحَقُّ أَنَّ الشَّاةَ الْوَاحِدَةَ تُجْزِئُ عَنْ أَهْلِ الْبَيْتِ , وَإِنْ كَانُوا مِائَةَ نَفْسٍ أَوْ أَكْثَرَ  "

Yang benar, Korban kambing boleh untuk satu keluarga walaupun dalam keluarga tersebut ada 100 orang atau lebih.” (Rujuk kitab Nail al-Autar)

Syeikh Muhammad Soleh bin al-Uthaimin ditanya:"Adakah harus melaksanakan korban seekor haiwan bagi 2 orang saudara kandung yang tinggal bersama dan makan minum mereka juga berkongsi? Syeikh menjawab: Ya, harus bagi anggota satu rumah untuk berkongsi korban seekor haiwan sekalipun mereka itu dua keluarga." (Rujuk Fatawa Nur ala al-Darb)

➎ Ahli keluarga atau rakan-rakan boleh berkongsi duit untuk diberikan kepada seorang aggotanya sehingga mampu membeli haiwan korban. Tetapi harta yang diberikan itu menjadi hadiah kepada orang berkenaan. Maka dengan hadiah berkenaan, orang itu membeli haiwan korban dan mengorbankannya. Orang yang memberikan hadiah itu mendapat pahala hadiah, manakala orang yang membeli korban mendapat pahala korban.

 Tidak menjadi korban jika ahli keluarga atau rakan-rakan yang tidak mempunyai 3 syarat perhubungan di atas, apabila mereka berkongsi harta untuk membeli seekor haiwan.

➐ Tidak perlu bagi seorang bapa untuk membahagikan korban lembu kepada 7 orang anaknya dengan setiap orang satu bahagian sekiranya dia masih lagi menanggung nafkah mereka semua. Yang dilakukan pada zaman Nabi SAW ialah seorang bapa mengorbankan seekor kambing lalu diniatkan pahalanya untuk semua tanggungannya.

WallahuA`lam.