Header Ads

Book an appointment with SetMore

Usul Fiqh: Dalil ke Empat: Qiyas

PENGERTIAN AL-QIYĀS[1]

(Download slideshow: klik)

Daripada sudut bahasa Arab:

1- Al-Taqdir iaitu mengetahui kadar sesuatu itu dengan melihat sesuatu yang sumpamanya, seperti kenyataan berikut:

قَسْتُ الثَّوْبَ بِالذِّرَاعِ أَوْ بِالْمِتْرِ

Saya qiyas baju dengan depa atau meter.

Iaitu diketahui ukuran baju itu dengan depa atau meter.

2- Menyamakan dua benda dengan sesuatu yang dapat dirasai. Seperti kenyetaan berikut:

قَسْتُ هَذَا اللَّوْحَ بِهَذَا اللَّوْحَ

Saya qiyas papan ini dengan papan ini.

Iaitu saya menyamakan ia

3- Menyamakan dengan sesuatu secara maknawi. Seperti kenyataan berikut:\

فُلَانٌ لَا يُقَاسُ بِفُلَانٍ

Si Fulan tidak boleh diqayas dengan si Fulan.

Iaitu tidak dapat disamakan daripada sudut kelebihan, ilmu dan kemuliaan.

 Daripada sudut Istilah ulama Usul Fiqh pula, Qiyās ialah:

إلْحَاقُ أَمْرٌ غَيْرَ مَنْصُوصٍ عَلَى حُكْمِهِ الشَّرْعِيِّ بِأَمرٍ مَنْصُوصٍ عَلَى حُكْمِهِ لِاِشْتِرَاكِهِمَا فِي عِلَّةِ الْحُكْمِ

Mengaitkan suatu perintah yang tidak dinyatakan nas bagi hukum agamanya dengan perintah yang mempunyai nas bagi hukumnya disebabkan kedua-duanya berkongsi sebab (illah) yang sama.

Maksud “Ilhāq” di sini ialah: al-Kasyf (menyingkap) dan al-Iẓhār (mendedahkan) hukum. Ia tidak membawa maksud al-Isbāt (penyabitan) dan al-Insyā’ (penubuhan) kerana sesuatu hukum itu menjadi sabit secara syara’ dengan sandaran asal. Namun kelewatan ia didedahkan pada waktu penjelasan mujtahid adalah kerana perantaraan sebab (illah). Maka Qiyās itu berprofil maẓhar (Didedahkan) bagi hukum, tidak sebagai Mansya’ (Penetapan sejak awal). Illah adalah asas bagi hukumnya. Kerja Mujtahid ialah: Mendedahkan kewujudan hukum pada bahagian cabang sepertimana kewujudannya pada asal kerana kesamaan sebab (illah) hukum padanya.

Apabila wujud nas daripada al-Qurān, al-Sunnah atau al-Ijmā` terhadap sesuatu hukum yang berlaku secara khusus, kemudian mujtahid mengetahui pula illah yang menjadi sebab agama menetapkannya, kemudian terdapat Illah yang sama pada peristiwa lain yang menyerupai isyarat nas kepadanya, lalu mujtahid berpandangan (Ẓān) bahawa kedua-dua perkara berkenaan berkongsi pada satu hukum, maka Mujtahid mengaitkan sesuatu yang tidak ada di dalam nas dengan sesuatu yang ada, pengaitan ini dinamakan sebagai al-Qiyās.

Perkara yang berlaku dan wujud nas kepadanya itu dinamakan sebagai: al-Aṣal atau al-Muqīs `Alāihi. Perkara yang tidak ada nas itu pula dinamakan: al-Far` atau al-Muqīs. Maksud yang menjadi tujuan hukum itu dinamakan: al-Illah.

Contoh bagi Qiyas itu banyak. Antaranya ialah:

1- Allah telah mengharamkan arak dengan nas al-Quran. Allah menyatakan bahawa ia adalah minuman yang memabukkan. Diperbuat daripada air anggur yang diperam tanpa di masak dengan api. Firman Allah:

90. Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

(Al-Māidah: 90)

Mujtahid mendapati bahawa sebab (illah) bagi pengharaman arak ialah pemabukkan yang menghilangkan akal secara hukum adat dan kebiasaannya. Ia membawa kepada kemudaratan dan kerosakan yang banyak terhadap agama dan hal dunia, kesihatan dan masyarakat, seperti berlaku permusuhan dan kebencian sesama manusia. Kemudaratan terhadap peminum arak itu dikuatkan lagi secara klinikal.

Kemudian, mujtahid mendapati bahawa pemabukan itu juga boleh berlaku dengan minuman lain yang diambil daripada benih dan buah-buahan yang membawa kepada mabuk, ia dinamakan nabiz (wine). Hukum haram meminum Nabiz itu dikaitkan denganpengharaman arak. Maka rukun bagi Qiyās ini ialah:

·         Arak = al-Aṣal
·         Nabiz = Far` (cabang)
·         Hukum asal yang mempunyai nas: Haram
·         Illah (sebab) yang berkongsi di antara al-Maqīs dan al-Maqīs `Alāihi: Mabuk


___________________
[1] Di dalam bahasa Melayu terdapat juga istilah ini. Ia digunakan dengan maksud yang pelbagai. Kamus Dewan Edisi ke-4 menyatakan maksud “Kias”: 1-ibarat, teladan atau pengajaran (yang terkandung atau ternyata dalam cerita dan lain-lain) Contoh: disiarkan cerita-cerita yang (di dalamnya) penuh ~, ibarat dan pengajaran; 2-Teguran yang tidak berterus-terang, sindiran; Contoh: Akutidak pandai berkias, Hajah Hasnah turut berkias untuk mengusik anak angkatnya.

No comments

Powered by Blogger.