Header Ads

test

Tanda Hadis Palsu 1: Terlalu Berlebih-Lebihan

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebutkan di dalam kitab al-Manār al-Munīf: 

Antara ciri hadis palsu ialah ia mengandungi perumpamaan yang terlalu berlebih-lebihan yang tidak pernah disebut seperti itu oleh Rasulullah SAW. Hadis palsu seperti ini sangat banyak. Contohnya adalah seperti hadis palsu berikut: 

مَنْ قَالَ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ خَلَقَ اللَّهُ مِنْ تِلْكَ الْكَلِمَةِ طَائِرًا لَهُ سَبْعُونَ أَلْفَ لِسَانٍ لِكُلِّ لِسَانٍ سَبْعُونَ أَلْفَ لُغَةٍ يَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ لَهُ وَمَنْ فَعَلَ كَذَا وَكَذَا أُعْطِيَ فِي الْجَنَّةِ سَبْعِينَ أَلْفَ مَدِينَةٍ فِي كُلِّ مَدِينَةٍ سَبْعُونَ أَلْفَ قَصْرٍ فِي كُلِّ قَصْرٍ سَبْعُونَ أَلْفَ حَوْرَاءَ

“Sesiapa yang mengucapkan Lailahaillallah, maka Allah akan menciptakan daripada kalimah ini, seekor burung yang mempunyai 70,000 lidah, setiap lidah mampu berbicara dalam 70,000 jenis bahasa.[1] Setiap satunya beristighfar kepada Allah bagi orang tersebut. Sesiapa melakukan begitu dan begini maka dia akan dianugerahi 70,000 bandar di syurga. Di setiap bandar terdapat 70,000 istana. Di setiap istana ada 70,000 bidadari.”

Lafaz pahala yang disebutkan jelas berlebih-berlebihan seperti ini menggambarkan pendustanya berada dalam dua kemungkinan;

1)     Mungkin dia berada dalam puncak kebodohan dan kedunguan, 
2)     Mungkin dia adalah orang kafir zindiq yang bermaksud menghina Rasul SAW.

ULASAN:

Hadis yang disebutkan di atas mempunyai kisah yang sangat menarik. 

Diriwayatkan, bahawa Imam Ahmad dan Ibu Ma'in bersolat di Masjid Rasafah. Seusai solat bangunlah seorang tukang cerita di tengah-tengah orang ramai lalu memulakan bicara : "Diberitakan kepada kami oleh Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in yang berkata : Diberitakan kepada kami oleh Abdur Razaq dari Ma'mar dari Qatadah dari Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Barangsiapa yang mengucapkan Lailaha ila Llah, nescaya Allah menjadikan dari tiap tiap kalimah, seekor burung. Paruhnya dari emas dan bulunya dari marjan." Kemudian orang itu terus bercerita sehingga kira kira dua puluh (20) halaman kertas. 

Imam Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in saling berpandangan. Imam Ahmad bertanya kepada Ibnu Main : 'Engkaukah yang menceritakan hadith itu kepadanya ?', Ibnu Ma'in menjawab : 'Demi Allah, baru sekarang inilah aku mendengarnya'. Setelah selesai orang itu bercerita, maka Ibnu Ma'in memberi isyarat kepadanya lalu ia datang kepada Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibu Ma'in. 
Berkata Ibu Ma'in : 'Siapakah yang menceritakan hadith itu kepadamu?', Orang itu menjawab : 'Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in', . 

Lalu Ibnu Ma'in menjelaskan 'Akulah Ibnu Ma'in dan sebelah ini adalah Imam Ahmad bin Hanbal. Kami tidak pernah mendengar hadith itu dari Rasulullah SAW'. Orang itu menjawab : 'Aku selalu mendengar bahawa Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in adalah orang bebal, baru sekarang inilah aku dapat memastikannya'. Ibu Ma'in bertanya kembali : 'Mengapa kamu berkata demikian?'. Ia menjawab : 'Seakan akan di dunia ini tidak ada Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in selain dari kamu berdua. Sesungguhnya hadith ini telah diriwayatkan oleh 17 orang yang bernama Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma'in'

(Dipetik dari Kitab Al Maudhu'at, 1 , halaman 46)

Berlebih-lebihan

Nabi Muhammad SAW tidak akan mengatakan sesuatu yang bersifat berlebih lebihan. Apabila baginda mengucapkan sesuatu, nescaya ia akan dapat diterima dengan akal yang waras. Orang yang banyak berlebih-lebihan itu ialah para pencerita sahaja. Mereka mahu menyedapkan cerah supaya ramai orang tertarik, lalu mereka menambah-namabh cerita sesedap nafsu mereka.

Berlebih-lebihan ini ada beberapa katogori. Saya akan sebutkan secara ringkas kerana kita akan jelaskan setiap katogori dengan lebih lanjut pada bahagian-bahagian akan datang. 

Pertama: Berlebih-lebihan pada meletakkan fadilat

Antaranya ialah hadis yang menyebutkan tentang kelebihan dan kekurangan sikap dermawan dan kedekut.

Imam al-Tirmizi dengan sanadnya merekodkan: Dikatakan bahawa Abu Hurairah menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

السَّخِيُّ قَرِيبٌ مِنَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ الجَنَّةِ قَرِيبٌ مِنَ النَّاسِ بَعِيدٌ مِنَ النَّارِ، وَالبَخِيلُ بَعِيدٌ مِنَ اللَّهِ بَعِيدٌ مِنَ الجَنَّةِ بَعِيدٌ مِنَ النَّاسِ قَرِيبٌ مِنَ النَّارِ، وَالْجَاهِلُ السَّخِيُّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ عَابِدٍ بَخِيلٍ

Dermawan yang pemurah itu hampir kepada Allah, hampir kepada syurga, hampir kepada manusia, jauh daripada neraka. Dan orang yang bakhil itu jauh dari Allah, jauh dari syurga, jauh dari manusia, hampir kepada neraka. Dan orang yang jahil yang pemurah lebih disukai oleh Allah daripada orang yang 'alim yang bakhil

(Direkod al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi: 1961)

Selepas menyebutkan hadis berkenaan, Imam al-Tirmizi berkata: Hadis ini ganjil. Al-Albani menyatakan hadis ini terlalu Dhoif. 

Hadis ini berniat untuk menyatakan kelebihan menjadi dermawan. Niatnya bagus. Tetapi ia jelas bercanggah dengan nas-nas agama yang sahih. Bahkan perkataan “Dan orang yang jahil yang pemurah lebih disukai oleh Allah daripada orang yang 'alim yang bakhil” menunjukkan sikap berlebihan itu. Orang yang jahil beramal dengan kejahilan tidak membawa faedah, manakala orang alim yang benar-benar memahami agamanya pasti bersikap dengan sikap yang dikehendaki oleh agama.

Kedua; Berlebihan di dalam melarang dosa

Imam al-Tabrani merekodkan dengan sanadnya: Abu Hurairah menyatakan bhawa Rasulullah bersabda:

لَا يَدْخُلُ وَلَدُ الزِّنَا الْجَنَّةَ وَلَا شَيْءٌ مِنْ نَسْلِهِ إِلَى سَبْعَةِ آبَاءٍ

Anak zina dan seorang pun daripada keturunannya tidak akan masuk ke syurga sehingga tujuh keturunan. 

(Direkod oleh al-Tabrani di dalam Mu`jam al-Ausāṭ: 858)

Hadis ini ternyata berlebih-lebihan. Bagaimana seseorang yang tidak ada kaitan dengan dosa akan menanggung dosa orang lain sehingga tujuh keturunan? Sedangkan Allah Taala berfirman: 

… dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); …

(Al-An`am: 164)

Jelas, mana mungkin anak zina dihukum disebabkan perbuatan kedua ibu bapanya?! Ini mencemarkan penegasan al-Quran tentang keadilan Allah yang tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang lain. Juga ia menyebabkan si anak zina kecewa dengan Nabi SAW.

Ketiga: Berlebihan di dalam menyebutkan isu masa depan

Kita akan jelaskan isu ini pada babnya nanti. 


_________________
[1] Direkodkan oleh Ibn Hibbān di dalam al-Majrūhīn (1/85) dan Ibn al-Jauzi di dalam al-Maūḍū`āt (1/32-34). Hadis ini mempunyai cerita yang popular yang berlaku kepada Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma`in.

No comments

Powered by Blogger.