Ciri 36: Tempoh Haid

Imam Ibn Qayyim berkata: 


Antara ciri hadis palsu juga adalah ketetapan tempoh paling singkat waktu haid adalah tiga hari dan paling lama adalah sepuluh hari . Tidak ada satu pun hadis yang sahih berkaitan tentangnya, bahkan semuanya palsu. 

Ulasan Saya:


Bagi haiḍ, ada tempoh paling singkat, paling lama, dan kebiasaan.

Tempoh yang paling singkat menurut mazhab al-Syāfii ialah sehari penuh – 24 jam. Manakala tempoh yang paling lama ialah 15 hari penuh. Kebiasaannya, tempoh haiḍ ialah 6 atau 7 hari.

Sekurang-kurangnya tempoh suci antara dua haiḍ ialah 15 hari, manakala tiada tempoh maksima bagi waktu suci. Terdapat juga perempuan yang tidak didatangi haiḍ selama setahun, dua tahun, bahkan ada yang beberapa tahun.

Penentuan tempoh tersebut berdasarkan kepada penelitian (Istiqra’).  Istiqra’ ialah membuat penentuan terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku berlaku dan beberapa kejadian yang mensabitkannya.

Kaedah istiqra’ tidak merujuk kepada penentuan hukum berdasarkan dalil. Tetapi ia merujuk kepada perkara yang berlaku kepada diri seseorang. Dalam isu haiḍ ini contohnya, tiada dalil nas yang menyatakan perempuan ini 5 hari, 6 hari dan sebagainya. Tetapi istiqra’ melihat kepada kebiasaan kawasan berkenaan. Ada kawasan berkenaan mengalami haidḥ 7 hari, ada kawasan lain 9 hari.

Apabila seseorang wanita mengalami keluar darah kurang daripada tempoh haiḍ yang paling pendek, iaitu kurang daripada sehari semalam atau lebih daripada tempoh haiḍ yang paling lama, iaitu melebihi 15 hari, maka darah tersebut dianggap darah penyakit (Istihāḍah) dan bukan darah haiḍ. Darah haiḍ dan darah istihāḍah dapat dibezakan berdasarkan dengan warna dan kepekatannya.

Berkaitan hadis pula, sebahagian ulama seperti Syeikh Ali al-Qāri tidak menerima hukuman palsu terhadap hadis-hadis seperti ini sekalipun dia tidak mengingkari bahawa semua hadis yang menyebutkannya adalah dhoif. 

Tetapi apabila kita berjaya memahami isu ini dengan baik, kita akan dapati bahawa hadis ini tergolong di dalam hadis yang tidak boleh berhujah. Antara tandanya ialah para ulama tidak menentukan tempoh waktu haid berdasarkan hadis tetapi berdasarkan istiqrā’.

Ciri 37: Hadis Qada’ Solat


Ibn Qayyim berkata: 


Demikian juga hadis berikut: 

لا صَلاةَ لِمَنْ عَلَيْهِ صَلاةٌ
Tiada solat bagi orang yang mempunyai (qada’) solat. 

Ibrahim al-Harabi berkata: Aku bertanya Ahmad bin Hanbal berkaitan hadis ini. Lalu dia menjawab: Aku tidak mengetahuinya. Al-Harabi berkata: Dan aku juga tidak pernah mendengar apa-apa berkaitan hal ini daripada hadis Rasulullah SAW. 

Ulasan Saya: 


Syeikh Abdul Fatah Abu Guddah menyatakan: Apabila seorang al-Hāfiẓ al-Nāqid yang menjadi tempat rujuk bagi hadis menyatakan: “Aku tidak mengetahuinya” atau “Aku tidak pernah dapati hadis ini” atau kata-kata seumpama itu – kemudia tiada pula seorangpun al-Huffāẓ sepertinya memberi ulasan sebaliknya, maka cukuplah untuk berhukum hadis berkenaan sebagai palsu.” 

Pujian terhadap Imam Ahmad (164–241 H): 

Imam Asy-Syafi’i berkata, “Ahmad bin Hanbal ialah imam dalam lapan hal iaitu: Imam dalam hadis, Imam dalam Fiqh, Imam dalam bahasa, Imam dalam Al-Qur’an, Imam dalam kefaqiran, Imam dalam kezuhudan, Imam dalam wara’ dan Imam dalam Sunnah”. 

Ibrahim Al Harbi memujinya, “Saya melihat Abu Abdillah Ahmad bin Hambal seolah Allah gabungkan padanya ilmu golongan terdahulu dan golongan kemudian dari berbagai disiplin ilmu”..

Pujian terhadap Ibrahim al-Harabi:

Al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Ibrahim al-harabi merupakan imam di dalam ilmu pengetahuan. Ketua pada hal zuhud, sangat arif pada isu fikah, sengat mendalam dalam berhukum, Hafiz di dalam hadis, pengesan beza kecacatan hadis, sangat tinggi adabnya, hebat ilmu bahawanya, menulis pelbagai hadis yang ganjil, penulis banyak buku…”

Imam Ahmad bin Hanbal merupakan imam al-Hāfiẓ al-Nāqid, demikian juga Ibrahim al-Harabi. Kedua-dua ini adalah imam dan bukit keilmuan Islam. Apabila kedua-dua mereka menyatakan perkara ini, maka jelaslah kepalsuan hadis berkenaan. 
Ciri 38: Kumpulan Hadis-Hadis Batil

Ibn Qayyim berkata: 


Di antara hadis-hadis yang batil ialah: 

مَنْ بَشَّرَنِي بِخُرُوجِ نَيْسَانَ ضَمِنْتُ لَهُ عَلَى اللَّهِ الْجَنَّةَ

Sesiapa yang menggembirakan aku dengan keluar nisan (bulan keempat dalam kalender rom) necaya aku akan menjamin baginya bahawa Allah akan memberikannya syurga.  

Ulasan Saya: 


Hadis-hadis yang menunjukkan pengagungan nabi Muhammad terhadap kalender Rom perlu diperhatikan kerana tiada hadis yang sahih yang menyebutkan tentangnya sekadar yang saya tahu. 

Bersuka ria dengan kedatangan bulan Nīsān ataupun April tidak ada dalam amalan para ulama ahli sunnah. Tetapi saya menemui penulisan daripada Syiah yang ditulis oleh Bāqir Syarīf al-Qurasy di dalam buku Hayāh al-Imām al-Ridhā.  Jilid 1, halaman 212-213: 

قال (عليه السّلام): نيسان ثلاثون يوما يطول فيه النهار و يقوى مزاج الفصل و يتحرك الدم و تهب فيه الرياح الشرقية يستعمل فيه من المآكل المشوية و ما يعمل بالخل و لحوم الصيد و تعالج بالجماع و التمريغ بالدهن في الحمام و يشرب الماء على الريق و يشم الرياحين و الطيب ....


Ibn Qayyim berkata: 


مَنْ آذَى ذِمِّيًّا فَقَدْ آذاني
Sesiapa yang menyakiti orang Zimmi, sesungguhnya dia telah menyakitiku. 

Ulasan Dr. Fathi al-Sakandary : 


Batil, tiada asalnya dengan lafaz ini. Namun maknanya benar. Hadith dengan lafaz “من آذى ذميا فقد آذاني - sesiapa yang menyakiti kafir zimmi, maka dia juga menyakiti diriku” ini tiada asalnya, kata Ibn Taimiah: “Dusta kepada Nabi SAW”, dan berkata Ibn al-Qayyim: “Batil“. Yang wujud ialah dengan lafaz : “من آذى ذميا فأنا خصمه يوم القيامة - sesiapa yang menyakiti kafir zimmi, maka aku adalah musuhnya pada hari qiyamah“ dikeluarkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (4/34) dari jalur al-`Amash dari Abi Sufyan dari Jabir dari Nabi SAW secara marfu’ dan berkata al-Khatib al-Baghdadi sendiri ia adalah hadith munkar, manakala kata Imam Ahmad bin Hanbal dalam Tanqih Tahqiq al-Ta’liq (2/267): “tiada asalnya (iaitu tiada sanad yang sahih walaupun satu)”. 

Saya katakan: hadith dengan lafaz pertama tiada asalnya, dan hadith dengan lafaz kedua diatas adalah dhai’f. Namun maknanya benar serta bertepatan dengan hadith-hadith lain yang sahih berkenaan ahli zimmah. Antaranya ialah hadith yang dikeluarkan al-Bukhari dalam kitabnya al-Sahih bahawa Nabi SAW bersabda:

 “مَنْ قَتَلَ نَفْسًا مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا 

Siapa yang membunuh orang kafir yang telah mengikat perjanjian (mu'ahid) dengan pemerintahan muslimin, ia tidak dapat mencium bau harum syurga, padahal bau harum syurga itu dapat dicium dari jarak empat puluh tahun“. 

Dengan itu berkata Syaikh Ahmad Syakir berkenaan hadith ini dalam tahqiqnya atas al-Ba'ith al-Hathith (2/457)

 : “بهذا اللفظ لا أصل له ولكن ورد معناه بأسانيد لا بأس بها –
 tiada asal dengan lafaz ini, akan tetapi maknanya ada wujud (datang) dengan isnad-isnad yang tidak mengapa (iaitu diterima)“. 

~ Fathi Al-Sakandary / 14 Okt 2011 

Jelas menunjukkan bahawa kenyataan Ibn Qayyim di dalam hadis ini menunjukkan kepada lafaz hadis ini adalah palsu sekalipun maknanya sahih. 


Ibn Qayyim berkata: 


Hadis:

يَوْمُ صَوْمِكُمْ يَوْمُ نَحَرِكُمْ يَوْمُ رَأْسِ سنتكم

Hari puasa kamu adalah hari korban kamu, ia adalah hari utama dalam tahun kamu. 

Ibn Qayyim berkata: 


Hadis:
وَلِلسَّائِلِ حَقٌّ وَإِنْ جَاءَ عَلَى فَرَسٍ

Orang yang bertanya mempunyai hak sekalipun dia datang (dengan duduk) di atas kuda. 

Ulasan Saya: 


Hadis ini tidak sepatutnya dikatakan palsu kerana ia diriwayatkan dengan sanadnya baik oleh ramai perekod hadis. Antaranya ialah Abu Daud di dalam Sunan dengan sanad daripada Husain bin Ali. Syeikh Syuaib menyatakan hadis ini Hasan. 

Syeikh Ahmad Syākir di dalam Musnad Ahmad pada hadis bilangan 1730 menyatakan hadis ini dengan sanad yang sahih. 

Saya beranggapan bahawa Imam Ibn Qayyim telah tersilap di dalam hal ini. WallahuAlam. 

Ibn Qayyim berkata: 


Imam Ahmad berkata: Empat hadis yang berlegar di dalam pasar,  sedangkan tiada asalnya daripada Rasulullah SAW. Lalu beliau menyebutkan empat hadis berikut:

Hadis:
لَوْلا كَذِبُ السَّائِلِ مَا أَفْلَحَ مَنْ رَدَّهُ
Jika penyoal tidak berdusta, nescaya tidak akan Berjaya orang yang melawannya.

Al-`Uqaili berkata: Tidak ada satu hadis Nabi SAW pun yang sabit dalam bab ini.

Hadis: 

طَلَبُ الْخَيْرِ مِنَ الرُّحَمَاءِ وَمِنْ حِسَانِ الْوُجُوهِ

Pencari kebaikan adalah daripada kelangan orang yang penyayang dan berwajah baik. 

Al-`Uqaili berkata: Tidak ada satu hadis Nabi SAW pun yang sabit dalam bab ini.

Antara lain adalah hadis-hadis ancaman daripada merungut bagi mendapatkan keperluan seorang manusia. Tidak ada hadis yang sahih dalam bab ini. 

Al-`Uqaily berkata: Diriwayatkan hadis-hadis dalam bab ini yang tidak ada di dalamnya yang sabit. 

Hadis: 

السَّخِيُّ قَرِيبٌ مِنَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ النَّاسِ قَرِيبٌ من الجنة والبخيل عكسه

Orang yang pemurah adalah sangat dekat dengan Allah, sangat dekat dengan manusia, dan sangat dekat dengan syurga. Manaka orang yang kedekut adalah sebaliknya. 

Ad-Daruqutni berkata: Tidak sabit padanya hadis seperti itu.

Ulasan saya: 


Sebahagian hadis yang dinyatakan di atas adalah bertaraf dhoif tetapi bukan palsu. Rujuk penjelasan Abdul Fatah Abu Gudah. 

Tetapi apa yang saya mahu angkatkan di sini ialah isu ramai orang suka mencipta hadis palsu untuk menjual barangan mereka. Mereka mahu barang terjual lalu mengeluarkan kata-kata indah. Tetapi akhirnya mereka mencari jalan agama dengan menyandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. 

Inilah yang berlaku pada hari ini apabila penjual kismis mahu melakukan jualannya, dia menjual nama nabi. Apabila penjual kurma mahu melariskan barangnya, dia menjual nama nabi. Apa gunanya menjual nama Nabi? Gunanya adalah sebagai “Tangkal” untuk melariskan perniagaan. 

Menjual agama ini berlaku dalam semua katogori masyarakat. Peniaga, ustaz, ahli politik dan peminta sedekah jua!

Imam at-Tirmizi dengan sanadnya meriwayatkan: Ka`ab bin Malik al-Ansory berkata: Rasulullah SAW bersabda:

«مَا ذِئْبَانِ جَائِعَانِ أُرْسِلَا فِي غَنَمٍ بِأَفْسَدَ لَهَا مِنْ حِرْصِ المَرْءِ عَلَى المَالِ وَالشَّرَفِ لِدِينِهِ».

Dua ekor serigala yang lapar dilepas di tengah gerombolan kambing, tidaklah lebih merosakkan daripada kesungguhan seseorang untuk mendapatkan harta dan kedudukan yang tinggi sehingga merosakkan agamanya.

Imam at-Tirmizi berkata: Hadis ini Hasan Sahih. Di dalam bab ini juga diriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi SAW tetapi isnadnya tidak sahih.

(HR at-Tirmizi di dalam Sunan at-Tirmizi, bilangan: 2376)

Ibn Qayyim berkata: 


Di antara hadis-hadis batil ini juga adalah hadis galakkan mengambil hamba wanita. Seperti hadis berikut:

اتَّخِذُوا السَّرَارِيَّ فَإِنَّهُنَّ مُبَارَكَاتُ الأَرْحَامِ
Ambillah hamba-hamba wanita kerana mereka semua adalah orang-orang yang mempunyai rahim yang berkat. 

Al-`Uqaily berkata: Tidak sahih kelebihan mengambil hamba perempuan daripada Nabi SAW satu apa pun.