Ulasan Saya:

Di dalam isu ini, Ibn Qayyim mahu mengangkat isu akal di dalam penelitian hadis. Apabila akal berfungsi dengan baik, secara rambang mereka dapat mengenal hadis yang palsu yang bersifat terang-terangan menolak akal. 

Ibn Qayyim berkata:

Antara ciri hadis palsu juga adalah kandungan hadis yang kasar dan mengundang celaan daripada orang yang mendengarnya. Contohnya adalah seperti berikut:

لَوْ كَانَ الأَرُزُّ رَجُلا لَكَانَ حَلِيمًا مَا أَكَلَهُ جَائِعٌ إِلا أَشْبَعَهُ

“Seandainya beras adalah seorang lelaki, tentunya dia akan bersikap lembut sopan santun, tidaklah ada yang lapar memakannya kecuali akan membuatkannya kenyang.” 

Ini adalah salah satu daripada kenyataan yang sangat buruk sedangkan Nabi SAW adalah penghulu para Nabi yang terselamat daripada menjadi sandaran terhadap kenyataan buruk ini. 

Ulasan Saya:

Akal menyatakan bahawa; sekiranya tidak sebutpun orang telah mengetahuinya. Mana mungkin Nabi menyebutkannya. Ibn Qayyim di dalam Zād al-Maʿad menyatakan apabila hadis menyebutkan perkata al-Arūz, ia bukan bermaksud nasi yang ada hari ini – tetapi ia sebenarnya adalah kacang sanobar – ia adalah sejenis kekacang yang seperti beras. 

Al-Sakhāwi berkata: Guru kami berkata (Ibn Hajar) hadis ini palsu sekalipun ia disandarkan kepada Nabi SAW. 

Oleh itu, tidak boleh menjadikan hadis yang popular itu sebagai sahih. Pada zaman ulama-ulama besar hadis, hadis palsu telah tersebar. Oleh itu kita berpegang kepada sekiranya tidak dipastikan ia adalah hadis, maka ia bukan hadis pada asalnya. 

Ibn Qayyim berkata:

Contoh lain adalah:

الْجَوْزُ دَوَاءٌ وَالْجُبْنُ دَاءٌ فَإِذَا صَارَ فِي الجوف صار شفاء

“Kacang walnut adalah ubat dan keju adalah penyakit. Jika masuk ke dalam perut, akan menjadi penyembuh.” 

Maka laknat Allah ke atas mereka yang mendustakan atas nama Rasulullah SAW.

Ulasan Saya:

Ucapan “laknat” itu kerana pemalsu ini cuba untuk mengubah agama. Sebenarnya perkataan ini bukanlah hadis tetapi ia sebenarnya kata-kata Harun al-Rasyīd. Sepertimana kata-kata “Kami pulang dari jihad kecil kepada jihad yang lebih besar – jihad yang besar iaitu seorang hamba melawan hawa nafsunya” – ia adalah ucapan Ibrahim bin Abi `Ablah yang merupakan seorang tabiin. Ia adalah sandaran yang salah. Semua riwayat yang menyatakan ia adalah hadis adalah palsu. 

Ibn Qayyim berkata:

Contoh lain adalah:

لَوْ يَعْلَمِ النَّاسُ مَا فِي الْحُلْبَةِ اشْتَرَوْهَا بِوَزْنِهَا ذَهَبًا

“Sekiranya manusia mengetahui apa yang ada dalam al-hulbah (sejenis tanaman herba), nescaya dia akan membelinya dengan emas yang beratnya sama.” 

Ulasan Saya:

Hadis ini diriwayatkan oleh:

(1) Al-Janāizy – sebahagian ulama hadis menyatakan dia pendusta.
(2) Jahdar – pencuri hadis
(3) Husain bin Ulwan – pendusta

Semua jalan tidak lari daripada pendustaan. Maka ia dinilai palsu oleh Ibn Qayyim, al-Syaukani dan Ibn Jauzi.

Ibn Qayyim berkata:

Contoh lain adalah:

أَحْضِرُوا مَوَائِدَكُمُ الْبَقْلَ فَإِنَّهُ مَطْرَدَةٌ لِلشَّيْطَانِ

“Hidangkan sayur sebagai hidangkan kalian, kerana ia mengusir syaitan.” 

Ulasan Saya: 

Perawi hadis ini ialah Alā` bin Salamah yang merupakan perawi pendusta. Ibn Hibban berkata: Alaʿ banyak merawikan hadis palsu disandarkan kepada perawi yang siqah. 

Ibn Qayyim berkata:

Contoh lain adalah:

مَا مِنْ وَرَقَةِ هِنْدِبَاءَ إِلا وَعَلَيْهَا قَطْرَةٌ مِنْ مَاءِ الْجَنَّةِ

“Tiada sehelai daun hindiba’ kecuali di dalamnya terdapat setitis daripada air syurga.” 

Contoh lain adalah:

بِئْسَتِ الْبَقْلَةُ الْجِرْجِيرُ مَنْ أَكَلَ مِنْهَا لَيْلا بَاتَ وَنَفْسُهُ تُنَازِعُهُ وَيُضْرَبُ عِرْقُ الْجُذَامِ فِي أَنْفِهِ كُلُوهَا نَهَارًا وَكُفُّوا عَنْهَا لَيْلا

“Seburuk-buruk sayuran adalah jirjir (sejenis sayuran – disebut juga gargir oleh orang Arab Mesir), siapa yang makan jirjir pada malam hari, dia akan tidur dalam keadaan sesak nafas, dan akan tumbuh urat-urat penyakit kusta di hidungnya. Kerana itu, makanla jirjir di siang hari dan tahanlah diri daripadanya di malam hari.” 

Ulasan Saya: 

Jirjir atau Gargir merupakan makanan seumpama tongkat ali di tanah melayu yang berperanan sebagai pemangkin dan penguat nafsu lelaki. Hadis ini bertujuan untuk menghalang orang makan. Terdapat satu syair Arab: 

"لو عرفت المرأة قيمة الجرجير لزرعته تحت السرير

Sekiranya wanita mengetahui kelebihan Gargir necaya dia akan menanamnya di bawah katil. 

Hadis ini melarang orang untuk mengambil kelebihan gargil dengan tujuan orang dapat beribadat. Sedangkan tidak difikirkan dengan akal Nabi akan menyebutkannya.

Ibn Qayyim berkata: 

Contoh lain adalah:

فَضْلُ دُهْنِ الْبَنَفْسَجِ عَلَى الأَدْهَانِ كَفَضْلِ أَهْلِ الْبَيْتِ عَلَى سَائِرِ الْخَلْقِ

“Keutamaan minyak daun berwarna ungu atas minyak-minyak lainnya adalah seperti keutamaan ahlul bait atas seluruh makhluk.” 

Contoh lain adalah:

فَضْلُ الْكُرَّاثِ عَلَى سَائِرِ الْبُقُولِ كَفَضْلِ الْبُرِّ عَلَى الْحُبُوبِ

“Keutamaan daun bawang (al-Kurras) dari semua jenis sayuran  adalah seperti keutamaan gandum atas segala biji-bijian.“ 

Contoh lain adalah:

الْكَمْأَةُ وَالْكَرَفْسُ طَعَامُ إِلْيَاسَ وَالْيَسَعَ

“Al-Kam’ah (Truffle- sejenis cendawan)  dan daun saderi adalah makanan Nabi Ilyas dan Ilyasa’.”

Contoh lain adalah:

إِنَّ لِلْقَلْبِ فَرْحَةً عِنْدَ أَكْلِ اللَّحْمِ

“Sesungguhnya jantung memiliki kegembiraan ketika makan daging.” 

Contoh lain adalah:

مَا مِنْ رُمَّانٍ إِلا وَيُلَقَّحُ بِحَبَّةٍ مِنْ رُمَّانِ الْجَنَّةِ

“Tidaklah ada buah delima kecuali akan dikacukkan dengan benih delima syurga.” 

Contoh lain adalah:

رَبِيعُ أُمَّتِي الْعِنَبُ وَالْبِطِّيخُ

“Musim bunga umatku adalah anggur dan tembikai.” 

Contoh lain adalah:

عَلَيْكُمْ بِمُدَاوَمَةِ أَكْلِ الْعِنَبِ مَعَ الْخُبْزِ

“Wajib bagi kalian untuk sentiasa makan anggur dan roti.” 

Contoh lain adalah:

عَلَيْكُمْ بِالْمِلْحِ فَإِنَّهُ شِفَاءٌ مِن سَبعِينَ دَاءً

“Wajib bagi kalian untuk makan garam kerana garam adalah ubat bagi 70 jenis penyakit.” 

Ulasan Saya: 

Hadis ini menyebutkan tentang kelebihan garam – sedangkan tidak ada hadis yang menyebutkan tentangnya. Hadis tentang garam seperti berikut:

لاَ يَكِيدُ أَهْلَ المَدِينَةِ أَحَدٌ، إِلَّا انْمَاعَ كَمَا يَنْمَاعُ المِلْحُ فِي المَاءِ

“Tiada seorang pun yg melakukan tipu daya (kejahatan) kepada penduduk Madinah melainkan dia akan lebur sebagaimana leburnya garam di dalam air.”

(HR. Bukhari no: 1877)

Hadis yang popular berikut juga palsu:

Apabila kamu makan mulakanlah dengan garam dan akhirilah dengan garam. Sesungguhnya garam adalah penawar bagi 70 jenis penyakit antaranya gila, kusta, sopak, sakit gigi, sakit tekak dan sakit perut.

Ibn Qayyim berkata:

Contoh lain adalah:

مَنْ أَكَلَ فُولَةً بِقِشْرِهَا أَخْرَجَ اللَّهُ مِنْهُ مِنَ الدَّاءِ مثلها

“Sesiapa yang makan kacang beserta kulitnya maka Allah akan hindarkan daripadanya penyakit semisalnya.”  

Semoga Allah melaknat orang yang membuat hadis palsu ini.

Ulasan Saya: 

Tidak ada manusia makan kacang dengan kulitnya! Ini pembodohan akal yang sangat ketara!

Ibn Qayyim berkata:

Contoh lain adalah:

لا تَسُبُّوا الدِّيكَ فَإِنَّهُ صَدِيقِي وَلَوْ يَعْلَمُ بَنُو آدَمَ ما في صوته لاشتروا رِيشَهُ وَلَحْمَهُ بِالذَّهَبِ

“Jangan kalian mencaci ayam jantan. Ini kerana, ia adalah sahabatku. Jika anak cucu Adam tahu rahsia di sebalik kokokannya, tentu mereka akan membeli bulu dan dagingnya dengan emas.” 

Contoh lain adalah:

مَنِ اتَّخَذَ دِيكًا أَبْيَضَ لَمْ يَقْرَبْهُ شَيْطَانٌ وَلا سِحْرٌ

“Sesiapa yang memelihara ayam berbulu putih, maka tidak akan didekati syaitan dan sihir.” 

Contoh lain adalah:

إِنَّ لِلَّهِ دِيكًا عُنُقُهُ مَطْوِيَّةٌ تَحْتَ الْعَرْشِ ورجلاه في التخوم

“Sesungguhnya Allah mempunyai ayam jantan yang lehernya berteleku di bawah arasy-Nya sedangkan kedua kakinya bertenggek di batas.” 

Secara umumnya, semua hadis yang menyebutkan ayam adalah bohong, kecuali satu hadis:

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الديكة فسألوا الله من فضله فإنها رأت ملكا

Jika kalian mendengar suara ayam jantan berkokok, maka mintalah kurniaan Allah kerana ayam tadi telah malaikat.” 

Ulasan Saya: 

Di dalam bab ini, banyak dimasukkan isu-isu hadis yang dipalsukan dan dimasukkan bersumber kepentingan manusiawi. Perawat mahu orang mengambil ubatnya, lalu mencipta hadis. Penjual, mahu menjual, juga mencipta hadis palsu.