Pada zaman yang moden ini, setiap orang mampu menyebarkan sesuatu tanpa perlu lagi masuk tv, radio dan sebagainya. Dalam tempoh 5 minit atau kurang, masyarakat sudah boleh berkongsi sesuatu dengan orang ramai. Jika mahu lebih cepat tersebar, boleh bayar kepada Facebook, nanti robot mereka akan membantu menyebarkannya.

Apabila keadaan penyebaran yang sangat pantas ini, golongan yang baik-baik juga mengambil kesempatan dakwah. Mereka mahu menyebarkan perkara yang baik-baik di media sosial. Namun sayangnya, mereka kurang penelitian.

Pada sangkaan mereka, asalkan baik daripada mata mereka, maka boleh disebarkan. Benar atau tidak, kita bincang kemudian. Sedangkan kebenaran hendaklah didahului di dalam setiap perkara.

Lebih malang, apabila ketidaktelitian itu mengundang masalah yang lebih parah apabila mereka menyebarkannya dengan niat baik dan memudahkan dan membanyakkan amalan masyarakat, akhirnya mereka menyebarkan hadis-hadis palsu.

Hadis palsu bermaksud: Ia benar-benar bukand daripada sabdaan Nabi Muhammad SAW!

Bagi kita, asalkan nama hadis, maka boleh disampaikan. Sedangkan hadis mempunyai pelbagai pembahagian. Pembahagian yang paling minima ialah hadis sahih dan dhoif. Hadis palsu termasuk hadis dhoif berat.

Imam al-Zahabi berkata:

Sekelompok ulama berpendapat bahawa berdusta atas nama Rasululah adalah kufur yang dapat mengeluarkan pelakunya dari Agama Islam.

Ulasan saya:

Sebahagian besar daripada kalangan ulama menyatakan bahawa menipu atas nama Nabi mengakibatkan seseorang itu keluar daripada agama – murtad. Di antara ulama yang sependapat dengan pendapat ini ialah bapa Imam al-Haramain al-Juwaini iaitu Abu Muhammad al-Juwaini.

Pendapat ini sangat keras kerana beranggapan erhadap orang yang berdusta atas nama Nabi dengan sengaja telah melakukan perkara khianat dalam agama.

Bahkan, mereka beranggapan – orang yang melakukan maksiat yang terang-terangan seperti minum arak, mecuri dan sebagainya lebih ringan dosanya berbanding orang yang berdusta atas nama Nabi Muhammad. Kerana perbuatan minum arak itu tidak merubah agama – ia telah diketahui oleh semua orang sebagai maksiat, berdosa dan bukan salah satu daripada ajaran agama Islam. Tetapi orang yang berdusta atas nama Nabi seolah-olah mahu cuba mencipta agama baharu yang dibuat secara rahsia dan sembunyi-sembunyi. Perlakuan itu sangat keji dan dilaknat.

Namun pendapat ini tidak dipersetujui oleh majoriti ulamak. Bahkan, anak kepada Abu Muhammad iaitu Imam al-Haramain sendiri tidak bersetuju dengan pendapat bapanya. Dia menyatakan bahawa pendusta atas nama Nabi ini dikategorikan sebagai orang yang berdosa besar – tetapi tidak terkeluar daripada agama.

Apa yang mereka lakukan adalah satu pengkhianatan yang sangat keji, tetapi tidak terkeluar daripada agama. Kemungkinan orang yang berdusta itu bersangka-sangka bahawa nabi menyebutkannya.

Imam al-Zahabi berkata:

Tidak ada lagi keraguan apabila seseorang sengaja berdusta atas nama Nabi untuk menghalalkan yang haram serta mengharamkan yang halal, maka orang itu telah menjadi kufur dengan jelas. Namun perbahasan di sini ialah pada isu yang selain daripada itu.

Ulasan saya:

Sungguh jelas daripada kata-kata Imam al-Zahabi ini bahawa – sekalipun beliau tidak bersetuju bahawa orang yang berdusta atas nama Nabi menjadi murtad, tetapi beliau menyatakan kesepakatan para ulama bahawa; jika pendusta itu sendiri mereka-reka hadis yang dia memang sedar bahawa itu adalah hadis palsu rekaannya, lalu dibuat dengan tujuan mengubah agama, maka telah terang lagi jelas orang itu menjadi murtad. Alasannya ialah; mengubah agama, yang haram dihalalkan, yang halal diharamkan.

Demikianlah banyaknya hadis palsu yang tersebar hadis ini. Ia meliputi isu menukar wajah agama. Seorang orang baik, mahu ajak orang beribadat dan tidak mengindahkan dunia, lalu dia memalsukan hadis tentang kelebihan hidup bujang.

Dikatakan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

إِذَا أَحَبَّ اللَّهُ عَبْدًا اِقْتَنَاهُ لِنَفْسهُ وَلَمْ يَشْغَلْهُ بِزَوْجَةٍ وَلَا وَلَدُ

Apabila Allah sangat mencintai seseorang hamba, maka Dia akan memilih dirinya (untuk beribadah kepada Allah) tanpa menyibukkan dirinya dengan pasangan ataupun anak.

Hadis ini dinyatakan di dalam kitab Hilyatul Awliya’ (1/25) oleh Abu Nuʿaim secara mauquf, manakala Ibn al-Jauzi merekodkan di dalam al-Māuḍūʿāt (3/81) secara marfʿu` - kemudian dia memberi ulasan “Palsu”.

Bagaimana mungkin hadis ini tidak berada dalam kategori palsu menurut dirayah sedangkan pelbagai hadis sahih daripada Nabi Muhammad SAW menggalakkan lelaki dan wanita untuk berkahwin.

Nabi pernah memerhatikan sebahagian sahabat baginda yang serba sedikit terpengaruh dengan bentuk kerahiban ini. Lantas, baginda mengumumkan bahawa (perlakuan) ini adalah terseleweng dari metodologi Islam. Juga menyimpang dari sunnah baginda. Dengan itu, Rasulullah mencampak (keluar) pemikiran-pemikiran rahib itu dari suasana kehidupan masyarakat Islam.

Al-Bukhari dan selainnya (dari ulama Hadith) telah merekodkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

 “Bahawasanya aku adalah orang yang paling mengenali Allah dan yang paling takut padanya (berbanding kamu semua). Namun, Aku bangun (beribadah di malam hari) dan aku tidur, aku berpuasa dan aku juga berbuka, dan aku berkahwin dengan wanita. Oleh itu, siapa yang  bencikan sunnahu (caraku), maka dia bukan dari (umat)ku.”

[Direkodkan oleh al-Bukhari: 5063]

Saad bin Abu Waqqash pula berkata:

رَدَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى عُثْمَانَ بْنِ مَظْعُونٍ التَّبَتُّلَ، وَلَوْ أَذِنَ لَهُ لاَخْتَصَيْنَا

Rasulullah s.a.w. menentang Usman bin Madh'un tentang rencananya untuk membujang. Seandainya baginda mengizinkan, nescaya kami akan ber Khitha`

[Direkodkan oleh al-Bukhari: 5073]

Rasulullah juga menyerukan kepada para pemuda keseluruhannya (supaya berkahwin). Baginda berkata:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

"Wahai para pemuda! Barangsiapa di antara kamu sudah mampu berkahwin, maka berkahwinlah!; karena dia itu dapat menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan."

[Direkodkan oleh al-Bukhari: 5065]

Demikianlah keadaan hadis palsu yang cuba untuk merubah wajah agama. Akhirnya nanti, agama kita tidak ubah seperti agama para rahib-rahib.

Imam al-Zahabi berkata:

Nabi ﷺbersabda,

"‏ إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ ‏"‏‏

“Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah seperti berdusta atas nama selainku. Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka dia menempah tempat duduknya di dalam api neraka.”

(HR al-Bukhāri di dalam Sahih: 1291)

Ulasan saya:

Berbohong atas nama Nabi Muhammad, tidak sama seperti berbohong kepada orang lain. Sekalipun berbohong kepada Pak Menteri adalah satu dosa dan boleh dikenakan tindakan undang-undang, ia tidak lebih berat berbanding berdusta atas nama Nabi Muhammad SAW.

Berdusta atas nama Nabi akan menyebabkan seseorang itu masuk neraka dan diseksa di dalamnya.
Ingatlah! Ini janji neraka kepada orang yang berdusta atas nama Nabi Muhammad SAW.

Allah berfirman:

56. Sesungguhnya orang-orang Yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan kami, Kami akan membakar mereka Dalam api neraka. tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit Yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. dan (ingatlah) Sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Al-Nisa: 56)

Imam al-Zahabi berkata:

Nabi ﷺ juga bersabda,

يُطْبَعُ الْمُؤْمِنُ عَلَى الْخِلَالِ كُلِّهَا إِلَّا الْخِيَانَةَ وَالْكَذِبَ

“Orang Mukmin diciptakan dengan segala tabiat, kecuali (tabiat) berkhianat dan berdusta.”[1]

(HR Ahmad di dalam Musnad: 22170, Dhoif)

Ulasan saya:

Hadis ini Dhoif daripada semua jalannya. Yang lebih baik dalam hal ini, ialah mendahulukan hadis-hadis sahih yang lain.

Imam al-Zahabi berkata:

Dan baginda ﷺ bersabda,

مَنْ رَوَى عَنِّي حَدِيثًا وَهُوَ يَرَى أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبَيْنِ

“Barangsiapa yang meriwayatkan suatu hadith dariku, sedangkan dia menduga bahawa itu adalah dusta, maka dia adalah salah seorang pendusta (kerana meriwayatkannya).”[2]

(HR Ibn Majah di dalam Sunan: 40, Sahih)

Dengan ini menjadi jelas dan terang bahawa meriwayatkan hadith palsu adalah suatu yang tidak halal.

Ulasan Saya:

Imam Ibnu Hajar Al-Haithami Al-Makki al-Syafii (909H-974H) telah ditanya tentang khatib yang menaiki mimbar setiap Jumaat, meriwayatkan hadis tetapi tidak menjelaskan dari mana hadis itu diambil dan tidak menyebut martabatnya.

Al-Imam berkata:

"Hadis-hadis yang disebut oleh khatib itu di dalam khutbahnya tanpa menjelaskan atau tidak menyebut riwayatnya adalah harus dengan syarat dia hendaklah daripada kalangan orang yang mengetahui tentang hadis atau dia menukilkannya daripada pengarang yang bersifat sedemikian.”

“Manakala berpegang dengan hadis kerana semata-mata melihatnya di dalam kitab yang pengarangnya bukan ahli hadis atau dalam ucapan yang penyampainya bukan bersifat seperti itu maka tidak harus dilakukan. Sesiapa yang melakukan perbuatan itu maka dia hendaklah dikenakan hukuman ta’zir yang berat.

Inilah keadaan kebanyakan khatib, hanya dengan mereka melihat khutbah yang mengandungi hadis, mereka akan terus menghafalnya dan menggunakannya untuk berkhutbah tanpa mengetahui adakah hadis itu mempunyai sumber yang sah atau tidak. Jadi para pemerintah di seluruh negeri hendaklah menghalang para khatib mereka daripada berbuat demikian.”

Berkata pula Sheikh Muhammad Abu Syahbah:

“Sesetengah khatib dan mereka yang mengadakan syiar-syiar agama (pendakwah atau penceramah) tidak mempunyai ilmu tentang hadis riwayah atau dirayah. Sebab utamanya kerana mereka yang tidak mempunyai kelayakan untuk jawatan imam atau khatib memegangnya. Mereka ini sentiasa berkhutbah dengan mengambil bahan daripada petikan-petikan atau bersandarkan kepada buku-buku yang tidak membezakan di antara hadis sahih, hadis dha’if dan maudhu’.

 Apatah lagi penceramah yang matlamatnya hanya untuk menyukakan orang ramai yang mendengar, lalu menyebutkan kepada mereka hadis-hadis maudhu’ tentang galakan untuk beribadat, melarang melakukan maksiat dan mengandungi kisah-kisah yang menarik, maka bolehlah dianggap bahawa  mereka ini adalah orang yang mereka-reka cerita dan ahli zuhud yang jahil yang mengharuskan perbuatan itu. Matlamat utama mereka adalah untuk menjadikan orang yang mendengar suka dan tertarik dengan cerita yang mengagumkan dan luar biasa.

Alangkah baiknya jika golongan ini tidak dibenarkan berkhutbah atau berkuliah, memberi peringatan dan tazkirah supaya mereka tidak meracuni pemikiran orang ramai dan menggoncang tiang-tiang agama dan akhlak yang kukuh. Perbuatan mereka ini akan menjadi hujah untuk meruntuhkan Islam bukan menegakkannya.

Kata Sheikh Abu Syahbah lagi: “Para Imam dan pendakwah hendaklah menyedari bahawa terdapat hadis sahih dan hadis hasan, kisah-kisah yang sabit dan sahih adalah banyak dan tidak perlu dicampurkan dengan hadis maudhu’, hadis dha’if dan dan kisah-kisah palsu bagi melembutkan hati dan menguasai jiwa manusia. Mereka itu hendaklah takut kepada Allah terhadap diri mereka dan orang lain.

Para pendakwah, khatib atau penceramah wajiblah mempunyai ilmu, kesedaran agama dan pengetahuan yang luas yang boleh memelihara daripada terjebak ke dalam riwayat hadis maudhu’ dan menyebut kisah-kisah palsu. Mereka hendaklah menjaga diri dengan merujuk kepada kitab karangan ulama' yang dipercayai dari kalangan huffaz hadis atau yang mempunyai ilmu tentang hadis. Mereka juga mesti suka mempelajari hadis dan ulum hadis sehinggakan dapat membezakan dan tahu antara hadis sahih dan maudhu' sebelum menyampaikannya.

Ini kerana sesiapa yang mengatakan ia hadis sedangkan dia tahu ia adalah suatu pembohongan terhadap Rasulullah s.a.w, maka dia telah terlibat dengan pembohongan terhadap Rasulullah s.a.w. Sebagaimana hadis di atas.

Maka sesiapa yang hendak menyebarkan sebarang berita yang disandarkan kepada Nabi mestilah memastikan kesahihannya terlebih dahulu. Kecuali jika disebarkan untuk menjelaskan kepalsuannya. Kita mestilah hati-hati dalam penyebaran hadis, kerana alangkah besarnya dosa dan beratnya siksaan sebagaimana yang telah diperingatkan oleh Baginda s.a.w itu!!!

Wallahu a’lam.

Al-Israiliyyat wa al-Maudhu'aat Fi Kutub At-Tafsir. 
Dr. Muhammad Abu Syahbah.



 ____________________

[1] Diriwayatkan oleh Ahmad, 5/252, dari Abu Umamah r.a. Dan hadith ini juga terdapat di dalam Kitab as-Sunnah, milik Ibnu Abi Ashim, 1/53: “Abu Bakar bin Abi Syaibah menceritakan kepada kami, Waki’ menceritakan kepada kami, dari al-A’masy, beliau berkata, Aku disampaikan dari Abu Umamah….”
Dari Syaikh al-Albani berkata dalam takhrijnya, “Isnadnya dhaif, kerana status majhul orang yang menyampaikannya kepada al-A’masy, dan semua rawinya adalah orang-orang yang tsiqah. Dan ini memiliki syawahid-syawahid yang semuanya adalah sangat rapuh.. dan yang sahih adalah mauquf.”
Adz-Dzahabi r.a setelah beliau menyebutkannya dalam Dosa Besar yang ke-24, “Berdusta dalam sebahagian besar keadaannya”, maka beliau berkata, “Ini diriwayatkan dengan dua sanad yang dhaif dari Rasulullahﷺ.
[2] Diriwayatkan oleh Musliam dalam al-Muqaddimah, Bab Taghlizh al-Kadzib ala Rasulullah ﷺ, no. 4; at-Tirmidzi, Kitab al-Ilmi, Bab Ma Ja’a fi man Yarwi Haditsan wa Huwa Yara Annahu Kadzib, no. 2664; dan Ibnu Majah, Kitab as-Sunnah, Bab no. 5, no. 36.