Ulasan saya: 

Ucapan itu “Rakakah” - lekeh yang sangat tidak sesuai disebutkan oleh seorang Nabi. Ia tidak dapat dikesan oleh orang awam, melainkan ia dikesan oleh al-Hafiz. 

 Ibn Qayyim berkata: 

Antara ciri hadis palsu juga ialah perkataannya tidak menyerupai ucapan para Nabi, apatah lagi ucapan Rasulullah SAW yang merupakan wahyu daripada Allah.  Sebagaimana firman Allah

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ ﴿٣﴾ إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ ﴿٤﴾ 

“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”

       (Surah al-Najm: 3-4)

Semua ucapan Baginda adalah wahyu sehinggakan hadis palsu tidak ada persamaan dengan wahyu, bahkan tidak ada persamaan dengan ucapan para sahabat.

 Ulasan Saya:  

Al-Hafiz dapat menilai bahawa ia tidak sesuai disebutkan oleh Nabi dan juga anak didikNabi Muhammad iaitu para sahabat.

Ibn Qayyim berkata:

Sebagaimana hadis:

ثَلاثَةٌ تُزِيدُ فِي الْبَصَرِ النَّظَرُ إِلَى الْخُضْرَةِ وَالْمَاءِ الْجَارِي وَالْوَجْهِ الْحَسَنِ

“Tiga perkara menajamkan penglihatan: Memandang warna hijau, merenungi air yang mengalir, menatap wajah yang baik.”

Perkataan seperti ini tidak sesuai dinisbahkan kepada Abu Hurairah, Ibn Abbas, bahkan Sa’id bin al-Musayyib, al-Hasan atau Ahmad dan Malik 

Ulasan Saya:

Al-Syaukani juga menyakan hadis ini adalah dusta. Mulla Ali Qari menyatakan bahawa hadis ini Dhoif, tidak palsu. Tetapi al-Albani tegas menyatakan palsu dengan alasan Rakakah yang tidak sesuai disebutkan oleh Nabi Muhammad. 

Ibn Qayyim berkata: 

Begitu juga hadis:

النَّظَرُ إِلَى الْوَجْهِ الْحَسَنِ يَجْلُو الْبَصَرَ

“Menatap wajah yang baik akan menajamkan pandangan.”

Ini adalah bentuk  hadis yang direka oleh kelompok Zindiq.

 Ulasan Saya: 

Al-Suyuti berkata: Hadis ini palsu - penyakitnya disebabkan ada Abu Said al-Adawi. 

Ibn Qayyim menyebutkan Zindiq dengan maksud: Kelompok ahli bidaah yang kafir dengan bidaahnya. Sebahagian mereka menyembunyikan kekufuran daripada pemerintah. Di zaman imam mazhab, sebahagian mereka dibunuh kerana kafir disebabkan bidaah akidah. Kerja mereka adalah mahu merosakkan ahli sunnah. Mereka mencipta hadis yang berkaitan akidah dan yang lekeh - menolak akal dengan tujuan merosakkan agama. 

Bahaya perbuatan ini adalah kerana mereka menyandarkan kepada agama. Kerana isu agama adalah isu besar. Demikian juga perkataan orang yang tidak menyandarkan kepada agama tetapi menyebutkan perkara ghaib, ia juga dilarang. 

Allah berfirman: 

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ

Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu Yang menentukan - mana-mana bahagian dari ugama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?

(Al-Syura: 21)

Perkara yang berkaitan pengalaman, tidak mengapa untuk disebutkan.

 Ibn Qayyim berkata: 

Berikutnya adalah hadis:

عَلَيْكُمْ بِالْوُجُوهِ الْمِلاحِ وَالْحَدَقِ السُّودِ فَإِنَّ اللَّهَ يَسْتَحِي أَنْ يُعَذِّبَ مَلِيحًا بِالنَّارِ

“Wajib atas kalian untuk melihat wajah-wajah yang tampan dan anak mata yang hitam. Sesungguhnya Allah malu untuk mengazabkan orang-orang yang tampan dengan api neraka.”
Laknat Allah kepada mereka yang jijik yang membuatkan hadis ini.

 Ulasan Saya: 

Laknat Allah kepada orang yang mencemarkan nama Nabi Muhammad SAW. Islam bukan hanya mahu mengekalkan agama tetapi mahu menjaga maruah agama. - Oleh itu kita melihat sebahagian ulama hadis menggunakan perkataan yang kasar terhadap orang yang melampau. 

Ibn Qayyim berkata: 

Berikutnya adalah hadis:

النَّظَرُ إِلَى الْوَجْهِ الْجَمِيلِ عبادة

“Memandang wajah yang indah adalah ibadah.”

 Ulasan Saya:

Jika benar hadis ini sahih, maka ia membawa kekacauan kerana orang akan berasyik melihat orang-orang kacak. 

 Ibn Qayyim berkata: 

Berikutnya adalah hadis:

الزُّرْقَةُ فِي الْعَيْنِ يُمْنٌ

“Warna coklat di mata adalah tanda keuntungan.”

Berikutnya adalah hadis:

إِنَّ اللَّهَ طَهَّرَ قَوْمًا مِنَ الذُّنُوبِ بِالصَّلْعَةِ فِي رُؤُوسِهِم وَإِن عَلِيَّا لَأَوَّلُهُم

“Sesungguhnya Allah akan meleburkan dosa satu kaum dengan menimpakan kebotakan pada kepala mereka. Dan sesungguhnya Ali adalah yang terawal menerimanya.”

 Ulasan Saya:

Ibn Adi juga menyatakan hadis ini palsu di dalam kitab al-Kamil. Hadis ini mempunyai keraguan - bagaimana Allah menghapuskan dosa dengan kebotakan kepala? Demikian juga tiada kelebihan membotakkan kepala melainkan dengan dua sebab:

1) Haji dan umrah 2) Perubatan. 

Selain daripada sebab yang dinyatakan, tidak disyariatkan. Bahkan ia termasuk di dalam perkara bidaah apabila diniatkan dengan tujuan beribadah dan zuhud. Diriwayatkan di dalam pelbagai hadis menunjukkan bahawa Nabi Muhammad mempunyai rambut di atas kepalanya. 

Anas bin Malik berkata : 

كَانَ شَعَرُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى أَنْصَافِ أُذُنَيْهِ

Rambut Rasulullah melebihi kedua daun telinganya.

HR Muslim di dalam Sahih: 2338

Ummu Hani’ binti Abi Talib  berkata: 

قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَكَّةَ قَدْمَةً وَلَهُ أَرْبَعُ غَدَائِرَ

Rasulullah memasuki Mekah dalam keadaan rambutnya yang diikat empat.

HR Al-Tirmizi: 1781, Sahih. 

 Ibn Qayyim berkata:

Berikutnya adalah hadis:

نَبَاتُ الشَّعْرِ فِي الأَنْفِ أَمَانٌ مِنَ الْجُذَامِ

“Bulu yang tumbuh di hidung adalah penyelamat daripada penyakit kusta.”

Telah disoal akan hal ini kepada Imam Ahmad bin Hanbal maka jawabnya: “Wahai orang Mukmin, ianya sia-sia.”

Berikutnya adalah hadis:

مَنْ آتَاهُ اللَّهُ وَجْهًا حَسَنًا وَاسْمًا حَسَنًا وَجَعَلَهُ فِي مَوْضِعٍ غَيْرِ شَائِنٍ فَهُوَ مِنْ صَفوَةِ الله فِي خَلقِهِ

“Sesiapa yang dikurniakan Allah wajah yang baik dan nama yang indah, ditempatkannya pada kedudukan yang baik, maka dia termasuk dalam pilihan Allah dalam penciptaan-Nya.”

Semua hadis yang menyebutkan berkenaan keelokan wajah dan pujian kepada mereka atau perintah untuk memandangnya atau memenuhi hajat dengan perantaraan mereka, atau api neraka tidak akan menyentuhnya adalah dusta dan palsu.

Dalam bab ini terdapat banyak sekali hadis. Semuanya adalah palsu. Hadis yang paling dekat adalah hadis:

إِذَا بَعَثْتُمْ إِلَيَّ بَرِيدًا فَابْعَثُوهُ حَسَنَ الْوَجْهِ حَسَنَ الاسْمِ

“Jika kalian mengirimkan utusan kepadaku, utuslah orang wajahnya baik dan namanya baik.”

Dalam sanadnya ada seorang yang bernama Umar bin Rasyid. Ibn Hibban berkata: “(Dia) pemalsu hadis.” Ibn al-Jawzi menyebutkan hadis ini dalam al-Maudhu’at. 

 Ulasan Saya:

Daripada sudut sanad, para ulama berbeza pendapat tentang hadis ini. Namun, Ibn Qayyim cenderung menyatakan kepalsuan hadis ini dengan alasan “Rakakah”. 
Orang yang menyatakan sahih atau sabit, mereka menyatakan ia bertepatan dengan perbuatan Nabi Muhammad yang menghantar utusan dengan dua sifat ini iaitu kacak dan namanya baik. Nabi menghantar Dihyah ibn Khalifah al-Kalbi.