Saya ditanya tentang pandangan berikut:

"Ibnu Katsir berkata mengenai salah seorang tokoh kesesatan,

"Allah telah membuat kaum muslimin aman dari gangguannya pada tahun ini tepatnya pada bulan Zulhijjah dan dimakamkan di dalam rumahnya lalu dipindahkan ke pekuburan Quraisy. Hanya milik Allah segala puji dan anugerah. Di hari kematiannya ahli sunnah merasa sangat gembira. Ahli sunnah menampakkan rasa syukur mereka kepada Allah. Tidaklah anda menjumpai seorang pun ahli sunnah pada hari tersebut melainkan memuji Allah." [al Bidayah wan Nihayah 12/338]

Demikianlah sikap salaf ketika mendengar berita kematian salah seorang tokoh-tokoh kesesatan."

Ulasan Saya:

Waallahualam. Saya sudah membaca kenyataan Ibn Kathir itu tetapi saya masih tidak melihat kebaikan daripada amalan bersyukur di atas kematian seseorang apatah lagi jika dirujuk kepada tokoh yang baru meninggal dunia semalam.


Lebih teruk yang berlaku ialah ;- sebahagian orang mencaci si mati dan menambah cacian berkenaan dengan dakwaan 'bersyukur' di atas kematian pendosa. Sedangkan, sekarang ini di dalam tempoh 3 hari takziah dan pengurusan jenazah. Ia adalah tempoh masyarakat membantu keluarga si mati.

*Kematian: Meningkatkan Nilai Taqwa Orang Hidup*

Kematian sepatutnya meningkatkan nilai taqwa dan takut kepada ancaman Allah. Kita juga nanti akan mati, tanpa kita tahu bilakah dan bagaimana.

Allah berfirman:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ (185)

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

(Ali Imran: 185)

Apabila orang mati- kita caci, kita kutuk. Akhirnya ia menghilangkan maksud taqwa dan takut kepada Allah di dalam diri kita. Hilang akhlak yang sepatutnya dijaga. Akhirnya ia hanya menambah dosa cacian dan kebanggaan palsu.

Adalah lebih baik jika kita memohon kepada Allah supaya Allah mengampunkan hamba-Nya yang melakukan kesilapan. Selagimana boleh kita bersangka baik, maka bersangka baiklah. Dia itu juga akhirnya akan dikuburkan dan diuruskan seperti jenazah orang Islam yang lain juga.

*Hukum Asal Mencela Mayat: Haram*

Nabi Muhammad SAW bersabda:

لاَ تَسُبُّوا الأَمْوَاتَ، فَإِنَّهُمْ قَدْ أَفْضَوْا إِلَى مَا قَدَّمُوا»

Janganlah kamu mencaci orang yang sudah mati kerana mereka itu sudah sampai kepada apa yang telah mereka lakukan.

(HR al-Bukhari di dalam Sahih: 1393)

Hukum asal mencela mayat adalah haram berdasarkan hadis di atas. Ia meliputi mayat orang Islam dan bukan Islam. Melainkan adanya manfaat seperti kematian tokoh perang kafir yang berperang menentang agama Islam, orang sesat yang jika dicela akan menjauhkan orang daripada mengikuti ajarannya.

Apa kebaikan mencela mayat Kassim Ahmad? Adakah para pengikutnya akan menjauhi pemikiran pemimpin mereka kerana celaan kita? Konteks kita di Malaysia, tidak.

Ketika dia hidup, tidak ramai yang bangun melawan hujahnya. Tetapi setelah dia mati, ramai pula yang ikut mencelannya. Akhlak mana yang diambil ini? Ajaran mana yang diambil ini?

Kita tidak berjaya membuat pengikut kita mengikuti perkara positif, tetapi akhirnya apabila kita mengajar perkara negetif, mereka suka pula ikut?!

*Tempoh Takziah: 3 Hari*

Di dalam Mazhab al-Syafii, tempoh takziah adalah 3 hari. Tidak boleh dilakukan melebihi hari berkenaan. Tujuannya ialah untuk menenangkan hati keluarga si mati. Tempoh ini adalah tempoh masyarakat Islam menyantuni dan melayan baik-baik keluarga si mati. Nabi pernah menyuruh sahabat-sahabat memberikan makan minum kepada keluarga Jaafar yang syahid.

Tempoh 3 hari setelah kematian, ialah tempoh takziah. Maka, pada tempoh ini, kritikan terhadap si mati juga tidak dianjurkan.

Oleh itu, jika kita tidak mahu menyebutkan kebaikan si mati, cukuplah menjaga hati keluarganya dengan menjaga lidah kita.

Mendiamkan Kesesatan?

Diam buat masa ini bukanlah untuk si mati tetapi untuk keluarganya. Tetapi setelah tempoh berkenaan, kritiklah pandangan-pandangannya yang menyeleweng kerana ia adalah tanggungjawab semua umat Islam yang berkemampuan.

Kritikan bukanlah celaan. Kerana tugas mencela, bukan tugas kita. Nabi bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ

“Seorang mukmin bukanlah orang yang banyak mencela, bukan orang yang banyak melaknat, bukan pula orang yang keji (buruk akhlaqnya), dan bukan orang yang kotor ucapannya” (HR. Tirmidzi, no. 1977; Ahmad, no. 3839 dan lain-lain)

Oleh itu, berhati-hatilah di dalam mengkritik seseorang. Apatah lagi apabila mereka telah meninggal dunia.

Semoga Allah ampuni kita dan matikan kita di dalam Islam, iman, akhlak dan aqidah yang benar. AllahummaAmin.

WallahuAlam.

______
Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh, Selangor.
21 Muharram 1439H.