Soalan: Minggu lepas kita membahaskan tentang Qantharah, iaitu tempat persinggahan terakhir. Jadi adakah selepas Qantharah, destinasi selepasnya ialah yang terakhir iaitu syurga?

Jawapan: Sepertimana perbincangan lalu; telah jelas daripada hadis Nabi Muhammad SAW, bahawa setelah melalui Qantarah, manusia muslim mukmin akan memasuki syurga. Bahkan, mereka sangat tahu kedudukan tempat mereka di syurga, melebihi pengetahuan mereka terhadap tempat di dunia;

Dari Abu Sa’id Al-Khudhri radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

يَخْلُصُ المُؤْمِنُونَ مِنَ النَّارِ، فَيُحْبَسُونَ عَلَى قَنْطَرَةٍ بَيْنَ الجَنَّةِ وَالنَّارِ، فَيُقَصُّ لِبَعْضِهِمْ مِنْ بَعْضٍ مَظَالِمُ كَانَتْ بَيْنَهُمْ فِي الدُّنْيَا، حَتَّى إِذَا هُذِّبُوا وَنُقُّوا أُذِنَ لَهُمْ فِي دُخُولِ الجَنَّةِ، فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَأَحَدُهُمْ أَهْدَى بِمَنْزِلِهِ فِي الجَنَّةِ مِنْهُ بِمَنْزِلِهِ كَانَ فِي الدُّنْيَا

“Setelah orang-orang beriman diselamatkan dari neraka (selamat melalui sirat, pen.), mereka tertahan di qantharah yang ada di antara syurga dan neraka. Maka ditegakkanlah qisah di antara mereka akibat kezaliman yang terjadi di antara mereka selama berada di dunia. Setelah dibersihkan dan dibebaskan, mereka pun diizinkan masuk syurga. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh mereka lebih mengetahui tempat mereka di syurga daripada tempatnya ketika berada di dunia.”

(HR al-Bukhari di dalam Sahih: 6535)

Soalan: Apakah nama nama syurga yang disebutkan di dalam al-Quran?

Jawapan: Apabila kita membaca al-Quran, kita akan menemui beberapa nama yang merujuk kepada Syurga. Kesemua nama-nama berkenaan diikat dengan sifat orang mukmin kerana orang mukmin yang bertaqwa sahaja yang akan memasukinya. 

Sebelum menyebutkan secara panjang tentang nama-nama syurga, adalah lebih baik kita mengetahui sifat Taqwa. 

Sebuah riwayat daripada Ali menyatakan:

الخوف من الجليل، والعمل بالتنزيل، والقناعة بالقليل، والاستعداد ليوم الرحيل

Taqwa ialah – Takut kepada Allah, beramal dengan wahyu, merasa cukup dengan sedikit serta membuat persediaan menghadapi hari pulang.

Imam al-Baihaqi meletakkan tajuk khusus di dalam bukunya Syuab al-Iman;

 أَنَّ دَارَ الْمُؤْمِنِينَ، وَمَآبهُمُ الْجَنَّةُ وَدَارَ الْكَافِرِينَ وَمَآبَهُمُ النَّارُ

Rumah orang beriman dan tempat pulang mereka ialah Syurga dan sebaliknya neraka adalah rumah dan tempat pulang orang kafir.

Lalu beliau membawakan ayat berikut: 

بَلَى مَنْ كَسَبَ سَيِّئَةً، وَأَحَاطَتْ بِهِ خَطِيئَتُهُ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ، وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.

(Al-Baqarah: 81-82)

Berikut, kami nyatakan sebahagian daripada nama-nama syurga yang disebutkan di dalam al-Quran. Moga-moga kita dapat menjadi sebahagian daripada penghuninya:

(1) Al-Jannah 


Perkataan al-Jannah dirujuk kepada satu tempat yang ditutupi. Demikianlah sifat syurga; iaitu sesuatu yang ditutupi dengan pelbagai kenikmatan yang tidak dapat dilihat dengan mata, dirasai dengan pancaindera dan difikirkan dengan pemikiran yang tajam. 

Firman Allah:

وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِزْقًا قَالُوا هَذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ وَأُتُوا بِهِ مُتَشَابِهًا وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.

(Al-Baqarah: 25)

(2) Dār al-Khulud


Dimaksudkan dengan Dār al-Khulud ialah kediaman yang kekal selama-lamanya. Bermaksud; syurga ialah tempat yang kekal – tiada lagi kematian yang akan menjemput. Demikianlah firman Allah:

ادْخُلُوهَا بِسَلَامٍ ذَلِكَ يَوْمُ الْخُلُودِ

(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): "Masuklah kamu ke dalam Syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal".

(Qaf: 34)

(3) Jannatul Ma`wā


Perkataan Ma’wa dirujuk kepada sesuatu yang digantung kepadanya, mereka menujunya serta akan tinggal berterusan di situ. Maka Allah berfirman: 

عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى

Yang di sisinya terletak Syurga "Jannatul-Makwa".

(Al-Najm: 15)

(4) Jannatul Na`im


Disebut kenikmatan kerana syurga itu penuh dengan kenikmatan yang diingini oleh setiap manusia – segala jenis kenikmatan makanan yang sedap-sedap, pakaian yang cantik-cantik, tempat yang elok dan luas serta ia dipenuhi dengan ucap-ucapan yang baik. Firman Allah

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُمْ جَنَّاتُ النَّعِيمِ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat,

(Luqman: 8)

(5) Jannātu `Adn


`Adn bermaksud kekal selamanya. Maka kita menemui sifat ini di dalam firman Allah: 

جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدَ الرَّحْمَنُ عِبَادَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّهُ كَانَ وَعْدُهُ مَأْتِيًّا

(Iaitu) Syurga " Adn " yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hambaNya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; sesungguhnya Tuhan itu, janjiNya tetap berlaku.

)Maryam: 61)

(6) Dār al-Qarār


Al-Qarar di sini boleh ditakrifkan sebagai pengiktirafan kebenaran – segala kenikmatan diiktiraf kebenarannya pada hari manusia memasuki syurga. Ingatkah kata-kata Musa ketika berdakwah? Firman Allah:

يَاقَوْمِ إِنَّمَا هَذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَإِنَّ الْآخِرَةَ هِيَ دَارُ الْقَرَارِ

"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.

(Ghafir: 39)

(7) Dār al-Muttaq`īn


Disebut ‘kediaman orang-orang yang sampai maqam taqwa’ kerana ia adalah anugerah Allah kepada manusia di dalam kategori ini. Mereka layak mendapatkannya kerana telah berjaya menyelisihi orang yang sesat, musyrik dan munafik. Firman Allah;

وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنْزَلَ رَبُّكُمْ قَالُوا خَيْرًا لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ وَلَنِعْمَ دَارُ الْمُتَّقِينَ

Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh tuhan yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan" orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa.

(Al-Nahl: 30)

(8) al-Firdaus


Al-Firdaus boleh dimaksudkan kepada kesemua syurga – demikian juga boleh menunjukkan syurga yang paling tinggi sekali. Asal bagi perkataan firdaus ialah kebun-kebun (bustan) – Syurga ialah kebun-kebun yang diberikan kepada orang beriman. Firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلًا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).

(Kahfi: 107)

(9) al-Husnā


Husna ialah nama syurga yang dijanjikan kepada orang bertaqwa. Firman Allah:

لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَى

Bagi orang yang berperilaku baik, husna. 

(Yunus: 26)

(10) Dār al-Salām


Kediaman yang selamat – dinamakan begitu kerana ia terlindung dan terselamat daripada sebarang kesukaran, kesakitan, perkara buruk dan sebagainya. Firman Allah:

وَاللهُ يَدْعُو إِلَى دَارِ السَّلَامِ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).

(Yunus: 25)

(11) Dār al-Muqāmah


Ini juga bermaksud kediaman yang kekal dan abadi. Firman Allah:

الَّذِي أَحَلَّنَا دَارَ الْمُقَامَةِ مِنْ فَضْلِهِ لَا يَمَسُّنَا فِيهَا نَصَبٌ وَلَا يَمَسُّنَا فِيهَا لُغُوبٌ

Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan Kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu".

(Faṭir: 35)

(12) al-Maqām al-Amīn


Tempat yang tenang dan aman daripada sebarang kejahatan dan kekurangan. Firman Allah:

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي مَقَامٍ أَمِينٍ

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. –

(Al-Dukhan: 51)

(13) al-Ghurfah


Satu kawasan yang sangat tinggi di syurga. Diberikan kepada orang yang bersabar: firman Allah:

أُولَئِكَ يُجْزَوْنَ الْغُرْفَةَ بِمَا صَبَرُوا وَيُلَقَّوْنَ فِيهَا تَحِيَّةً وَسَلَامًا

Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,

(al-Furqan: 75)

(14) Maq`ad al-Sidq


Tempat duduk yang memberikan segala kebaikan. Firman Allah: 

فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ عِنْدَ مَلِيكٍ مُقْتَدِرٍ

Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.

(Al-Qamar: 55)

(15) Dār al-Hayawān


Kediaman yang tiada kematian – firman Allah;

وَمَا هَذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).

(Al-'Ankabuut: 64)