Soalan: Dakwat sotongkan najis, tapi kenapa ada orang makan? Bukan haram ker?

Jawapan: Harus. Boleh makan atau tinggalkan. Ikut selera tekak masing-masing.

Ulasan:

(1) Hukum sesuatu disandarkan kepada agama bukan kepada kesukaan atau kegelian seseorang. Anda geli? Jangan makan! Nabi juga tak makan daging Dhob (biawak padang pasir) sedangkan Khalid makan depan Nabi SAW.

(2) Hal najis juga disandar kepada agama. Seperti kita sepakat mengatakan air mani dan air kencing adalah najis, ia perlu dibasuh. Tetapi dari sudut hukum agama, air kencing adalah najis, manakala air mani tidak najis.

(3) Hukum bersih dan kesihatan pula dirujuk kepada pakar-pakar dalam ilmu Sains. Buat masa ini, saya tidak menjumpai sebarang bukti mengatakan dakwat sotong atau cephalopod ink berbahaya pada sudut kesihatan - WallahuAlam.

Menurut Portal Sains Kesihatan "HEALTHLINE", dakwat sotongk dapat memberikan kesan positif pada:

1. Antimicrobial.

Ia akan dapat neutralkan kesan buruk bakteria dan virus seperti Streptococcus mutans, Actinomyces viscosus, Lactobacillus acidophilus, dan Candida albicans.

Dalam kajian yang lain, Ia juga dapat meneutralkan bakteria yang menjadi penyebab penyakit bawaan makanan seperti Escherichia coli dan Listeria Monocytogenes.

2. Kesan Antioxidant.

Bahan antioksida merupakan bahan kimia yang diperlukan tubuh untuk meneutralkan radikal bebas dan mencegah kerosakan yang ditimbulkan oleh radikal bebas terhadap sel normal, protein, dan lemak.

3. Menurunkan tekanan darah.
4. Melindungi diri daripada ulser perut.
5. Menambahkan kadar imun.

Pun begitu, kajian masih dijalankan terhadap dakwat sotong ini.Mungkin khasiat dan kesannya akan berbeza dengan perbezaan jenis dan lokasi sampel yang diambil.

Rujuk: https://www.healthline.com/nutrition/squid-ink#benefits

(4) Mari kita lihat hujahan agama pula dalam bab ini:

1. Sotong dan kaitannya adalah sebahagian daripada haiwan laut - ia termasuk sebahagian daripada sabda Nabi yang Sahih:

الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Air laut itu bersih untuk bersuci dan bangkainya juga halal.
(Sahih, Riwayat Ibn Hibban di dalam Sahih)

Bangkai haiwan laut juga adalah halal, apatah lagi dakwatnya.

Allah juga menyebutkan dalam surah al-Maidah:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran;

(Al-Maidah: 96)

2. Kaedah Fikah pula menyebutkan:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يقوم الدليل على تحريمه
“Asal pada sesuatu adalah harus sehingglah terdapatnya dalil yang mengharamkannya”.

Maka, asal bagi dakwat sotong adalah harus sehingga datangnya hujahan sains yang menyatakan kemudaratannya.

3. Dalam kaedah Fikah juga menyebutkan:

العادة محكمة
Maksudnya: “Adat setempat dijadikan sebagai hukum”

Mungkin ada tempat yang merasa jijik dengan sotong dan dakwatnya, maka mereka tak akan makan. Tetapi di kawasan Kuala Perlis dan banyak negeri lain, sotong dan dakwatnya dijadikan juadah - Sotong Masak Hitam.

Inilah yang dinamakan HARUS. Nak makan boleh, tak makan pun tak apa.

(5) Semoga Allah memudahkan urusan kita.

WallahuAlam.

-----
Syihabudin Ahmad,
www.ustazusa.com