ألله أكبر ، ألله أكبر ، ألله أكبر ، ألله أكبر ، ألله أكبر ، ألله أكبر ، ألله أكبر ، ألله أكبر ، ألله أكبر ، ولله الحمد .

اَلْحَمْدُ للهِ الْمُتَفَضِّلِ الْـمَحْمُوْدِ ، الرَّحِيْمِ الْوَدُوْدِ ، الـمَلِكِ الْـمَعْبُوْدِ الْـمَعْرُوْفِ بِكَمَالِ الْكِرَمِ وَالْجُوْدِ ، نَـحْمَدُ اللهَ وَنَسْتَـعِيْنُهُ وَنَسْـتَـهْدِيْهُ وَنَسْــتَـغْفِرُهُ ، وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُــرُوْرِ أَنْفُسِــنَا وَمِنْ سَــيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا ، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِىَ لَهُ ، أَشْهَدُ اَن لاَّ اِلــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ ، وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ ، اللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَــيِّدِنَا مُصْـطَفَيْنَ الأَخْيَار ، وَعَلَى آلِــهِ الأَطْهَار ، وَأَصْــحَابِهِ الأَبْرَار ، أما بعد ..

فيا عباد الله أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فازالمتقون ، وتزودوا فإن خير الزاد التقوى .

Marilah pada Hari Raya yang mulia ini, kita menghayati pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s dan keluarganya, selaras dengan ikrar yang dilaungkan di dalam takbir umat Islam di seluruh dunia dan talbiah para jemaah haji yang berhimpun di Makkah al-Mukarramah. Kerana itulah cara dan keadah yang telah diperintah oleh Allah swt dan dipermodelkan oleh sunnah Rasulullah saw. Firman Allah swt :

وَمَنْ يَغْرَبُ عَنْ مِلَّةِ إبْرَاهِيْمَ إِلاَّ مَنْ سَــفِهَ نَفْسَــهُ ، وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِى الدُّنْيَا ، وَإنَّهُ فِى الأخِرَةِ لَمِنَ الصَّــالِحِيْنَ . إذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْــلِمْ قَالَ أَسْــلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَـمِيْنَ . ( البقرة – 130 – 131 )

Maksudnya :

“ Dan sesiapa yang tidak sukakan ajaran agama (millah) yang di bawa oleh Ibrahim melainkan orang itu menjadi orang yang membodohkan dirinya sendiri. Dan sesungguhnya kami telah memilihnya di dunia ini dan di akhirat nanti ia termasuk di kalangan orang-orang yang soleh. Ingatlah ! Ketika Tuhannya berfirman kepadanya : “Islamlah (Tunduk dan patuhlah) !”. Dia menjawab : “ Aku tunduk dan patuh kepada Tuhan Semesta Alam ”.

Sidang hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah,

Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya menyatakan Islam mereka secara ikhlas dengan aqidah yang sebenar-benarnya. Menolak syirik di dalam ibadat kepada Allah swt. Menolak pemerintah di zamannya yang merasakan diri mereka berkuasa ke atas manusia yang lain. Pengorbanan Nabi Ibrahim juga tidak terhenti setakat menolak segala yang dimurkai oleh Allah swt malah lebih daripada itu, sanggup meninggalkan keluarga dan tanahair kerana taatkan Allah swt secara keikhlasan yang suci murni. Menunaikan perintah Allah swt dengan meletakkan anak dan isterinya di tempat yang tidak pernah didiami oleh sesiapapun sebelum daripada itu. Sanggup menyembelih anaknya Ismail a.s semata-mata arahan dan perintah daripada Allah swt.

Itulah contoh pengorbanan daripada Nabi Allah Ibrahim a.s. Pengorbanan daripada seorang hamba kepada penciptanya. Bukankah pengorbanan itu merupakan siri-siri model anbiya’ buat ummah Muhammad saw pada masa dan zaman ini ? HAJI

Marilah kita melihat dan meneliti keadaan ummat Islam pada hari ini. Ummat Islam yang mengaku beriman dengan Allah swt dan Nabinya Muhammad saw. Mengaku Islam dengan lidah yang tidak bertulang, samada yang berada di Mina menunaikan haji atau yang merayakan Idil Adha di tempat masing-masing atau yang menyembelih binatang ternakan bagi menghidupkan syiar ibadah korban yang telah dipermodelkan oleh Nabi Ibrahim a.s. Sebilangan besar ummat Islam pada hari ini, sanggup melakukan pengorbanan di masa-masa yang senang sahaja dan tidak sanggup melakukan pengorbanan di masa-masa yang susah. Ramai yang bersedia untuk meninfaqkan harta benda kerana berhasrat untuk melihat Islam kembali tertegak. Tetapi ramai juga di kalangan ummat Islam yang bersedia dan sanggup untuk menggadai dan menjual agama Allah swt ini. Ramai juga di kalangan ummat Islam pada hari ini sanggup menukar hukum hakam Allah swt semata-mata dengan tawaran dan habuan duniawi yang terlalu rendah nilainya. Kononnya menegakkan Islam dan menunaikan hak-haknya akan menyebabkan negara dan negeri menjadi mundur.Ramai di kalangan Ummat Islam pada hari ini yang hanyut seperti Bani Israil. Mencari keredhaan dan restu manusia diutamakan melebihi daripada mencari dan memohon restu dan redha daripada Allah swt. Firman Allah swt :

وَلَقَدْ ذَرَأْناَ لِـجَـهَنَّمَ كَثِيْرًا مِنَ الْجِنِّ وَالإِنْسِ ، لَـهُمْ قُلُوْبٌ لاَ يَفْقَهُوْنَ بِهَا ، وَلَـهُمْ أَعْيـُنٌ لاَ يُبْصِرُوْنَ بِـهَا ، وَلَـهُمْ اَذَانٌ لاَّ يَسْــمَعُوْنَ بِـهَا ، اُولَئِـكَ كَالاَنـْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ، اُولَئِـكَ هُمُ الغَافِلُوْنَ . (الأنعام – 179 )

Maksudnya :

“Dan sesungguhnya kami telah menyediakan bagi neraka Jahannam itu kebanyakkan daripada kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mempergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternakan bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Hadirin dan hadirat sekalian,

Bilamana berlakunya penderhakaan dan kedurjanaan di muka bumi Allah ini, maka tidakkah ummat Islam yang mengaku Islam dengan lidah yang tidak bertulang tadi merasa malu menjadi makhluk Allah swt, memakan rezeki Allah swt, berpijak di bumi Allah dan hidup dengan anugerah umur daripada Allah swt. Kehidupan ummat Islam yang mengingkari Allah swt ini lebih hina dan sesat daripada binatang korban yang disembelih pada hari ini.

Krisis keyakinan terhadap Islam hendaklah diperangi semula oleh kita sebagai pemegang amanah kepimpinan ulama’ dan warathah anbiya’ alaihimussolatu wassalam. Keyakinan yang murni daripada Rasulullah saw sebagai contoh terbaik yang perlu diikuti dan diamali oleh ummat Islam. Keyakinan Rasulullah saw semasa penghijrahan baginda, ketika mana dikejar dan diburui oleh kuffar Quraisy. Antaranya percubaan Suraqah bin Malik bagi mendapatkan tawaran lumayan daripada pembesar Quraisy pada waktu itu. Percubaan Suraqah bin Malik digagalkan oleh Allah swt dan beliau menyerahkan dirinya kepada baginda saw. Suraqah menemui Rasulullah saw dan memohon keamanan agar tidak diperlakukan. Lantas Rasulullah saw meminta sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq r.a menulis pada seketul tulang unta sebagai tanda surat jaminan keamanan kepada Suraqah bin Malik. Seterusnya Rasulullah saw menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dihadiahkan kepadanya gelang kebesaran Kerajaan Parsi. Inilah keyakinan yang ditunjukkan oleh baginda saw. Keyakinan terhadap kemenangan yang dijanjikan oleh Allah swt.Bukan sekadar kemenangan di Semenanjung Tanah Arab tapi kemenangan di seluruh dunia termasuk kejatuhan kuasa-kuasa besar pada waktu itu seperti Rom dan Parsi. Allah swt telah menyatakan di dalam al-Quran al-Karim :

الََّذِيْنَ أُخْرِجُوْا مِنْ دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إلاَّ اَنْ يَقُوْلُوْا رَبُّنَا اللهُ ، وَلَوْلاَ دَفْعُ اللهِ النَّاسَ بَـعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَّـهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَـاجِدٌ يُذْكَرُ فِيْهَا اسْـمُ اللهِ كَثِيْرًا ، وَلَيَنْصُرَنَّ اللهُ مَنْ يَنْصُرُهُ ، إِنَّ اللهَ لَقَوِىٌّ عَزِيْزٌ. (الحج – 40 )

Maksudnya :

“ Yaitu orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata : “ Tuhan kami hanyalah Allah ”. Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah swt. Sesungguhnya Allah pasti akan menolong orang yang menolong agamanya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

Kejatuhan Parsi dan Rom di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab merupakan intisari keyakinan yang dibuktikan oleh Rasulullah saw. Tetapi ingatlah ! Kejayaan Islam yang diperolehi ini bukanlah dianugerahkan secara percuma. Kejayaan yang hendak diperolehi ini merupakan suatu perkara yang sukar, perjalanannya pula terlalu jauh dan pengorbanan untuk kemenangan ini mestilah tinggi dan ikhlas. Marilah kita menambahkan lagi keyakinan terhadap ajaran Allah swt , melaksanakan segala perintahnya dan melakukan pengorbanan kerana Allah swt.

Saudara-saudari muslimin dan muslimat sekalian,

Pada hari bergemanya ucapan talbiah mengesakan Allah swt dan ikrar keimanan dan kepatuhan ummat Islam yang menunaikan haji di hadapan Kaabah. Ucapan ;

" لَبَّيْكَ اللّهُمَّ لَبَّيْكَ ، لَبَّيْكَ لاَ شَــرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْك ، لاَ شَــرِيْكَ لَكَ "

“ Ya wahai Tuhanku, Ya tiada sekutu bagimu wahai Tuhanku, sesungguhnya segala pujian, kenikmatan dan kerajaan adalah milikmu, tiada sekutu bagimu.”

Inilah ungkapan dan ucapan mulia yang dilaung-laungkan oleh para jemaah haji di Makkah al-Mukarramah. Ungkapan dan ucapan mulia ini, janganlah sekali-kali hanya berada di bibiran mulut sahaja malah hendaklah diamal dan difahami maksud dan kehendak talbiah tersebut. Kesatuan melaung-laungkan talbiah ini di hadapan Kaabah hendaklah disatukan pula daripada sudut praktikalnya semasa berada di tempat masing-masing. Ramai di kalangan ummat Islam yang hanya ingin menunaikan rukun Islam yang lima ini sahaja tanpa menyedari hakikat bermuktamarnya ummat Islam di seluruh dunia di Makkah al-Mukarromah. Dengan memakai pakaian ihram yang sama bagi jamaah haji mereka melafazkan ucapan talbiah. Walaupun mereka sembahyang ke arah Kaabah, bangunan yang didirikan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s dengan perintah Allah swt, mereka bukannya menyembah Kaabah tetapi mereka menyembah Allah swt, membersihkan diri dari sifat dan semangat menyembah keberhalaan. Berbeza dengan orang-orang kafir yang menyembah berhala. Mereka menghalakan pandangan mereka ke mana sahaja berhala itu di bawa. Ummat Islam tidak beralih walaupun batu-batu Kaabah itu beralih. Ini membuktikan apa yang disembah ialah Allah dan bukannya batu-batu Kaabah. Mereka mentauhidkan Allah swt, mengesakannya dan menolak segala bentuk syirik. Inilah yang mesti ditanam di dalam diri orang-orang yang beriman.

Marilah kita mengambil ketegasan daripada Saidina Umar al-Khattab r.a ketika bertawaf di Kaabah. Apabila sampainya di tempat untuk mengucup Hajarul Aswad yang disunatkan oleh Rasulullah saw, Saidina Umar berkata :

ِإنَّكَ حَجَرٌ لاَ تَضُرُّ وَلاَ تَنْفَعُ ، وَلَوْلاَ أَنىِّ رَأَيْتُ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّــمَ يُقَبِّلُكَ مَا قَـبَّلْتُـكَ

“ Wahai Hajarul Aswad ! Sesungguhnya aku tahu engkau adalah batu yang tiada memberi apa-apa manfaat dan tidak memberi apa-apa mudharat. Kalaulah sekiranya aku tidak melihat Rasulullah saw mengucupmu nescaya aku tidak akan mengucupmu wahai Hajarul Aswad”.

Begitulah aqidah yang ditanamkan oleh Rasulullah saw ke dalam hati para sahabat ridhwanullahi ‘alaihim ajma‘in. Tauhid yang sebenar dan ikhlas kepada Allah swt.

Saudara saudari muslimin dan muslimat sekalian,

Perpaduan dan kesatuan yang sebenarnya adalah mengikut ketetapan Allah swt. Firman Allah swt :

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَّاحِدَةً ، فَبَعَثَ اللهُ النَّبِيِّيْنَ مُبَشِّــرِيْنَ وَمُنْذِرِيْنَ ، وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيْمَا اخْتَلَفُوْا فِيْهِ ، وَمَا اخْتَلَفَ فِيْهِ إِلاَّ الَّذِيْنَ أُوْتُوْهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَ تْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْياً بَيْنَهُمْ ، فَهَدَى اللهُ الَّذِيْنَ اَمَنُوْا لِمَا اخْتَلَفُوْا فِيْهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ ، وَاللهُ يَهْدِى مَنْ يَشَــاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْــتَقِيْمٍ . ( البقرة – 213 )

Maksudnya :

“ Adalah manusia itu ummat yang satu. (Setelah timbulnya perselisihan) maka Allah mengutuskan kepada mereka para nabi yang memberi khabar gembira dan memberi ingatan. Dan Allah menurunkan bersama dengan nabi itu kitab supaya ia menghukum manusia dengan apa yang diturunkan oleh Allah swt dalam erkara yang menjadi pertelingkahan kepada mereka dan tidaklah menjadi pertelingkahan di antara mereka yakni di kalangan manusia melainkan setelah datangnya keterangan-keterangan yang ada di dalam kitab. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada orang-orang yang dikehendakinya kepada jalan yang lurus.”

Menjadi suatu lumrah kehidupan anbiya’ dan mursalin di dalam jalan dakwah mereka dengan tuduhan-tuduhan sebagai pemecah belah masyarakat dan memecah belahkan perpaduan. Nabi Nuh a.s yang mengajak manusia beriman kepada Allah swt, pembesar-pembesar kerajaan di zaman Nabi Nuh menuduh Nabi Nuh a.s sebagai pemecah belah perpaduan masyarakat mereka. Begitulah juga yang dilalui oleh Nabi Allah Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Isa a.s dan berlaku juga kepada batang tubuh khatamul anbiya’ Rasulullah saw. Tuduhan-tuduhan ini berpanjangan sehinggalah pada hari ini. Golongan yang ingin menegakkan kalimah La Ilaha Illa Allah dilemparkan dengan tuduhan memecahbelahkan perpaduan masyarakat. Tuduhan makin keterlaluan kepada golongan ummat Islam dengan tuduhan sebagai pelampau.

Mengapakah Nabi Muhammad saw dituduh sebagai pemecah belahkan masyarakat ? Kalaulah dakwah Nabi Muhammad hanya mengajak manusia menunaikan sembahyang, puasa, zakat dan haji, maka sudah tentulah Abu Jahal, Abu Lahab dan pengikut-pengikutnya tidak menghalang gerakan dakwah Nabi Muhammad saw. Tetapi disebabkan dakwah Nabi Muhammad saw merupakan dakwah yang ingin melihat perubahan kepada seluruh kehidupan manusia, maka dakwah beliau dihalang dan disekat dengan bermacam-macam cara. Beribadat dengan mengikut hukum hakam Allah dan cara hidup juga hendaklah mengikut ajaran Allah swt.

Maka janganlah kita keliru dengan dakwaan jahat musuh-musuh Islam terhadap golongan yang ingin menegakkan Islam secara syumul. Allah swt telah menjelaskan kepada kita bagaimana perpecahan ini mula timbul di kalangan ummat manusia :

وَمَا تَفَرَّقَ الَّذِيْنَ أُوْتُوْا الْكِتَابَ إِلاَّ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَ تْـهُمُ الْبَيِّنَةُ . ( البينة – 4 )

Maksudnya :

“ Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan Al-Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata.”

Begitu juga penjelasan daripada Allah swt :

وَاعْتَصِمُوْا بِـحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَ تَـفَرَّقُوْا . ( ال عمران – 103 )

Maksudnya :

“ Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah (agama Allah) , dan janganlah kamu bercerai berai.”

Kunci perpaduan telah dinyatakan oleh Allah swt. Perpaduan tersebut mestilah di atas dasar dan ketetapan Islam. Dengan perpaduan dan kesatuan inilah akan lahirnya keberkatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam al-Quran al-Karim :

وَلَوْ اَنَّ اَهْلَ الْقُرَى آمَنُوْا وَاتَّـقَوْا لَفَتَـحْـنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّــمَاءِ وَا لأَرْض ( الأعراف – 96 )

Maksudnya :

“ Dan sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya kami bukakan pintu keberkatan kepada mereka daripada langit dan bumi.”

Oleh kerana pemimpin-pemimpin di negara-negara Kapitalis dan negara-negara Komunis dan juga sebilangan besar pemimpin-pemimpin di negara-negara ummat Islam tidak menjadikan Islam sebagai dasar negara dan keimanan kepada Allah swt sebagai pengawalnya, maka Allah swt tidak menganugerahkan keberkatan dan negara pula sentiasa menghadapi bala bencana dan pelbagai masalah.

Berlainan pula apabila negara itu negara Islam. Rakyatnya beriman dan bertakwa. Allah memberi keberkatan dan rezeki yang melimpah ruah sebagaimana berlaku kepada negara Islam pertama di Madinah al-Munawwarah di bawah Rasulullah saw. Madinah yang berasal sebuah negeri padang pasir yang kering kontang, mempunyai sedikit air dan tanah yang subur. Tiba-tiba menjadi sebuah kuasa besar dunia dan digeruni oleh musuh Islam. Harta negara Islam Madinah melimpah ruah dan Rasulullah saw tidaklah mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan peribadi.

Keberkatan dan kemewahan ini bukan setakat pada masa hidup Rasulullah saw sahaja. Tetapi juga berlaku selepas itu. Pada masa pemerintahan khulafa’ ar-Rasyidin, negara Islam berkembang dan ramai pula manusia memeluk Islam. Dan orang-orang yang bukan Islam daripada luar datang berduyun-duyun ke Madinah al-Munawwarah untuk berniaga dan melihat kebaikan dan keadilan negara Islam.

Keberkatan itu berterusan selepas pemerintahan mereka. Contohnya pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz. Beliau hanya sempat memerintah selama dua tahun sahaja dengan melaksanakan hukum Allah dan sunnah Rasulullah saw. Apabila seorang gabenornya menghantar surat kepadanya memohon agar ditinggikan cukai kerana pendapatan wilayahnya berkurangan. Maka Umar Ibn Abdul Aziz membalas suratnya dengan berkata :

" إِنَّ اللهَ بَعَثَ مُحَمَّدًا دَاعِيًا وَلَمْ يَبْعَثْـهُ جَابِيـًـا "

“ Sesungguhnya Allah swt mengutus Nabi Muhammad saw sebagai penyeru (pendakwah) kepada Islam dan bukannya sebagai pemungut cukai.”

Bukan bermakna negara akan kekurangan pendapatan jika cukai tidak ditinggikan kerana Allah swt mengurniakan kekayaan negara melalui cara lain. Berlaku pada masa pemerintahannya harta negara melimpah ruah. Zakat dikeluarkan, orang-orang bukan Islam berlumba-lumba membayar jizyah dan kharaj.

Saudara – saudari muslimin dan muslimat sekalian,

Lihatlah apa yang berlaku di Chechnya, Kashmir, Palastin, Kosovo, Acheh dan di pelbagai tempat lagi yang membuktikan kepada kita bagaimana penderitaan yang dialami oleh teman-teman seaqidah dengan kita. Hasil daripada ummat Islam yang melupakan ajaran Allah swt. Membiarkan terus ketamadunan dan kehebatan Islam dirampas oleh musuh-musuh durjana agama Allah swt. Inilah yang dinyatakan oleh Rasulullah saw :

عن ثوبان رضى الله عنه قال : قال رســول الله صلى الله عليه وســلم : يُوْشَــكُ الأُمَمُ اَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَــةُ إِلَى قَصْـعَتِـهَا ، فَقَالَ قَائِلٌ أَوَمِنْ قِلَّةُ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ ؟ ، قَالَ : بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيْرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّـيْلِ وَلَيَنْـزعَنَّ اللهُ مِنْ صُدُوْرِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ فِى قُلُوْبِكُمُ الْوَهْنَ ، فَقَالَ قَائِلٌ : يا رســول الله وما هو الوَهْنُ ؟ قال : حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَّةُ الْمَوْتِ. ( رواه أحمد وأبو داود )

Maksudnya :

“ Daripada Thauban r.a berkata : Rasulullah saw pernah bersabda : “ Dibimbangkan ummat-ummat akan menerkam ke atas kamu sebagaimana orang-orang yang mahu makan menerkam kepada talam hidangannya. “ Berkata seseorang : “ Adakah kita daripada kalangan yang sedikit pada waktu itu ? “ Sabda Rasulullah saw : “ Bahkan kamu ramai pada waktu itu, tetapi kamu buih seperti buih-buih banjir. Allah telah mencabut daripada hati musuh kamu perasaan takut terhadap kamu dan melontarkan di dalam hati kamu al-Wahn. Ditanya kepada Rasulullah saw : “ Apakah al-Wahnu itu wahai Rasulullah ? Sabda baginda : “ Cintakan dunia dan takutkan mati ”.

Marilah kita menghisab dan menghitung kembali gerak langkah kita yang daripada hari ke hari semakin lemah dan sumbang. Marilah kita mengatur kembali geraklangkah kita menuju kecemerlangan dan menyusun kembali tindakan kita ke arah mardhotillah. Firman Allah swt :

فَاسْــتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَـكَ وَلاَ تَطْغَوْا ، إنـَّـهُ بِـمَا تَعْمَلُوْنَ بَـصِيْر . وَلاَ تَرْكَنُوْا اِلَى الَّذِيْنَ ظَلَمُوْا فَتَمَسـَّـكُمُ النَّارَ ، وَمَا لَكُمْ مِنْ دُوْنِ اللهِ مِنْ أَوْلِيـَـاءِ ثُمَّ لاَ تُنْصَـرُوْنَ . ( هود – 112 – 113 )

أقول قولى هذا وأســتغفر الله العظيم لى ولكم ولســائر المســلمين والمســلمات ، إنه هو الغفور الرحيم .